Zahid Buka Pintu Untuk Hamzah Kembali Ke UMNO
UMNO sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja untuk kembali menyertai parti itu termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikaitkan dengan kemungkinan dikenakan tindakan pemecatan oleh partinya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka kepada mana-mana pemimpin atau individu yang ingin kembali atau menyertai UMNO, selaras dengan objektif penubuhan gagasan tersebut.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai UMNO, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.
“UMNO adalah tempat untuk ahli UMNO atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penggulungan Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil pendekatan inklusif dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah politik yang stabil dan berpengalaman.
Untuk rekod, Hamzah pernah menjadi antara enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti itu pada 14 Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Ahmad Zahid ketika itu.
Perkembangan politik semasa membabitkan konflik kepemimpinan dalam Bersatu dikatakan mengaitkan nama Hamzah sebagai antara pemimpin yang berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan. – UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.