Hamzah Tampil Keras: Saya Boleh Jadi Ahli PN, Kenapa Tidak?
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak jika ‘rumah baharu’ itu menyertai Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kenyataan Presiden Bersatu itu memberi gambaran yang beliau mempunyai hak mutlak dalam menentukan suatu perkara dalam PN.
“Dia kata saya tak boleh jadi ahli PN. Siapa dia nak tentukan? Kalau saya boleh jadi ahli PN, adakah dia akan berhenti?
“Kalau dia kata nak berhenti, saya akan cuba sedaya upaya menjadi ahli PN supaya dia boleh berhenti,” katanya selepas majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan anjuran Bersatu Bahagian Port Dickson, semalam.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi menolak jika parti baharu Hamzah cenderung menyertai PN.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh tahu perkara itu perlu diputuskan secara bersama dalam PN membabitkan Pas, Gerakan dan MIPP.
Dalam pada itu, Hamzah turut menjawab pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, dengan berkata, perkara itu dilakukan demi kepentingan perjuangan yang lebih besar, bukan untuk satu parti sahaja.
“Bila Datuk Seri Zahid menjawab persoalan itu, saya diam sahaja kerana banyak perkara yang saya lakukan adalah untuk kepentingan lebih besar, bukan hanya untuk satu parti.
“Perjuangan ini melibatkan ramai pemimpin Melayu, jadi saya berjumpa semua pemimpin Melayu, bukan hanya UMNO tetapi juga parti lain,” katanya.
Hamzah berkata, pertemuan di Bangkok turut melibatkan wakil parti lain termasuk pemimpin Pas.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pertemuan individu lain dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dikritik Muhyiddin.
“Yang orang kuat dia sendiri jumpa Perdana Menteri, kau tak persoalkan. Patut kau (Muhyiddin) soalkan lah. Mengapa orang kuat kau tu jumpa Perdana Menteri.
“Kemungkinan perkara-perkara yang mereka bincangkan adalah untuk kepentingan diri,” katanya.
Selain itu, Hamzah berkata, beliau tidak menyangka ramai kepimpinan Bersatu, termasuk 118 Ketua Bahagian, masih menyokongnya walaupun beliau dipecat.
“Saya dapat tahu lebih 60 bahagian sudah dibubarkan. Kalau saya jadi presiden, walaupun pengasas parti, jika ramai berhenti, itu menunjukkan parti ini tiada lagi dokongan daripada pemimpin bahagian,” katanya. – UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.