Pimpinan PKR ‘tepu’, siapa selepas Anwar?
MUKADIMAH
Pemimpin veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), HASSAN KARIM, menegaskan bahawa parti itu berdepan risiko kehilangan aset politik penting sekiranya bekas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak lagi bersama perjuangan parti menjelang pilihan raya akan datang selepas beberapa siri kenyataan terbuka mengkritik Perdana Menteri.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, ISKANDAR ISHAK, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu turut menekankan keperluan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan strategi politik yang jelas menjelang pilihan raya akan datang, termasuk mempertimbangkan pilihan raya serentak bagi menjimatkan kos dan mengelakkan rakyat keletihan dengan politik yang berterusan.
Pada masa sama, beliau turut menegur kenyataan pimpinan DAP yang dilihat memberi tekanan kepada kerajaan berhubung kedudukan parti itu dalam Kabinet dengan tindakan sedemikian boleh memberi tamparan kepada Perdana Menteri serta mencetuskan persepsi ketidaktentuan dalam Kerajaan Perpaduan jika tidak ditangani dengan berhati-hati.
TAMBAHAN AHLI
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana YB melihat hala tuju PKR ketika ini?
Saya lihat PKR daripada segi organisasi tidak ada masalah besar yang mana kepimpinan parti itu mendapat sokongan daripada anggota dan banyak program berjalan dengan baik dan sekarang nampak Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lebih tumpuan kepada urusan parti menerusi jelajah ke negeri-negeri.
Jadi, walaupun ada sedikit sebanyak masalah timbul, tapi keseluruhannya saya rasa masih mantap. Dengan pertambahan lebih 5,000 ahli baharu terutama golongan muda itu petanda positif buat PKR dan masa depan parti.
KRITIKAN TERHADAP KERAJAAN
Pandangan YB sama ada roh reformasi masih hidup dalam PKR apabila menjadi kerajaan?
Bila kerajaan ini terbentuk, kita gembira, tapi pada tahun pertama saya ada mengkritik kerajaan dan menyebabkan beberapa menteri PKR agak defensif dan tidak senang dengan kritikan itu.
Tapi kritikan saya itu bukan semberono, terutama sekali, soal kepemimpinan dalam kerajaan itu, bagaimana kita mahu buat reformasi daripada segi undang-undang dan keadilan.
Contohnya, rasa tidak selesa apabila ada pemimpjn dari parti lain dalam kerajaan ini yang ada kes di mahkamah, jadi saya antara yang lantang dalam memberi kritikan dan pandangan.
PERDANA MENTERI BERSIKAP TERBUKA
Apa reaksi sering diterima atas kelantangan itu?
Perdana Menteri, saya tengok agak terbuka. Cuma peringkat awal yang saya nampak tidak senang dengan kritikan itu di kalangan menteri-menteri, contohnya bila saya kritik SOSMA.
Mereka anggap saya tidak memahami cara Kerajaan Madani yang perlu bertolak ansur dengan pelbagai parti dalam kerjasama, malah ada ketika saya menegur UMNO dalam isu tertentu, saya diminta supaya tidak menjaga hal ‘dalam kain’ parti lain.
Saya pernah dipanggil Lembaga Disiplin parti sekali, namun dalam hal ini Perdana Menteri ada menghubungi saya, mungkin bimbang saya merajuk dan beliau kata kepada saya, jika hendak kritik, mahu tegur dia sebagai perdana menteri atau kerajaan, dia terbuka, cuma dia pesan jangan mengkritik institusi raja.
JANGAN KHIANATI PARTI
Pandangan YB terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli yang semakin kerap membuat kenyataan terbuka, tidakkan boleh menjejaskan keutuhan parti?
Itu yang ada beza saya dengan Rafizi. Pertama, saya hormatilah beberapa isu-isu yang penting yang dikemukakan seperti rasuah, dia berani dan sangat teliti menerusi kajian dibuatnya.
Tapi saya lihat ada yang macam apa yang dinyatakan dalam podcast dia, ada kalanya agak melebih sedikit dan boleh merosakkan parti.
Apabila dia kata tidak akan bertanding wakili PKR dalam PRU akan datang, saya keluarkan kenyataan bahawa saya juga tidak akan bertanding lagi di Pasir Gudang namun akan tetap membantu kempen dan parti. Jadi, sini maknanya kita tidak bolehlah semudahnya melupakan peranan parti.
Saya rasa begitu kalau kita tidak bertanding ke atau tidak dipilih sekali pun, tidak mengapalah. Cuma jangan kita khianati parti. Cuma dalam isu pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara saya sependapat dengannya. Tapi ini bukan bermaksud saya main dua kolam dalam parti.
Rafizi umpama panglima PKR setiap kali pilihan raya, membawa pelbagai isu yang cukup kuat ketika kempen, jika beliau pilih untuk tidak bersama PKR, adakah itu satu kerugian kepada parti menghadapi PRN dan PRU akan datang?
PKR kena ambil berat perkara ini, dan saya gembira apabila tiada tindakan dikenakan terhadap Rafizi baru-baru ini dan dia masih ahli PKR dan itu keputusan bijak oleh parti. Rafizi, seorang yang saya anggap ada prinsip kuat dan dia masuk parti, dia bukan hendakkan jawatan, dia berpelajaran dan ada kepakarannya.
Saya kenal dia lama sejak dia muda lagi dan bila buat sesuatu itu dia buat bersungguh-sungguh, walaupun tahu risikonya, hingga pernah kena tahan, penjara, saman fitnah.
Saya tengok ini kualiti bukan semua orang ada. Ada yang buat sekejap sudah takut.
Kesimpulan yang saya boleh buat, maknanya kualiti macam begini parti kena hormati dan hargailah, walau dia ada kelemahan, ada orang kata dia bukan ‘team player’, suka bergerak sendirilah, apa pun saya harap Presiden PKR ajaklah berbuka puasa, berbual, pujuk dia, jangan dilepaskan dia begitu sahaja.
GANDINGAN RAFIZI – NURUL IZZAH
Jika Rafizi tetap memilih untuk menubuhkan parti baru, apa pandangan YB?
Ya, kerugian kepada PKR. Sebab PKR ini ada struktur. Sebab ada Datuk Seri Anwar dan parti juga ada duit dan dia perdana menteri.
Cuma persoalannya siapa yang akan memimpin PKR selepas Anwar? Barisan kepimpinan yang ada selain Anwar setakat ini sudah tepu.
Dalam pemilihan parti sebelum ini, ketika Rafizi ditentang oleh Nurul Izzah, Nurul Izzah minta saya jadi pencadang dia. Saya setujulah, sebab tujuan saya kalau setakat jawatan Timbalan Presiden, bolehlah.
Sebab Nurul Izzah ini pun saya tengok ada kepimpinan, kebolehan dan bukan kerana dia anak Perdana Menteri dan presiden parti.
Dia sebagai pemimpin wanita, dan saya pun tidak mahu dia diketepikan atau hanyut begitu sahaja selepas kalah pilihan raya. Pandangan saya untuk masa depan parti ini selepas Anwar, dengan harapan Rafizi perlahan sedikit (dalam buat kenyataan), dan dipersetujui juga oleh Anwar, untuk menjadikan Rafizi sebagai Presiden dan Nurul Izzah sebagai timbalan.
Kedua-dua mereka masih muda, belum 60-an pun, inilah masa depan PKR. Saya melihat setakat ini Nurul Izzah belum mampu untuk membawa jawatan Presiden, jadi perlu selangkah demi selangkah, legasi Anwar tidak akan hilang.
Gabungan mereka ini pasukan yang bagus, muda, akan dapat menarik orang muda, begitu juga golongan pertengahan sama ada Melayu atau bukan Melayu. Yang penting, parti jangan lupa setakat inilah undi Melayu untuk PKR tidak sekuat mana, kecuali dekat Pasir Gudang sahaja.
Rafizi ini berani, jadi pemimpin mesti berani. Lihat sahaja Anwar ketika dalam Pemuda UMNO, dalam ABIM dulu, kenapa orang sokong dia, sebab dia berani.
ISU KORUPSI
Apa agaknya punca menyebabkan kekecewaan Rafizi, adakah sebab reformasi tidak dilaksanakan seperti dijanji?
Saya nampak korupsi. Isu utama adalah korupsi dan satu lagi isu yang nampak kuat sekarang (kekecewaannya) dalam hal berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Saya rasa ketiadaannya nanti akan memberi kesan kepada PKR untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan untuk memenangi lebih banyak kerusi. Tapi kalau kita lihat kenyataan Rafizi yang tidak akan bertanding bersama PKR, dia seumpama memberi ‘peringatan’ dulu. Maknanya perkara itu belum tentu. Mungkin dia rasa dia mungkin tidak akan menjadi calon, tidak dicalonkan. Tapi Rafizi masih muda, jadi takkanlah dia hendak sepak kertas sahaja di Pandan itu, dia pemimpin jadi dia lihat kalau parti sudah tidak sudi dengan dia, dia mesti fikir, sudah buat perancangan dulu , dalam enam bulan atau setahun apa yang dia hendak buat. Rafizi pun ada (sokongan) jentera. Rafizi ada keazaman yang kuat, dan dia ada sembilan ahli parlimen PKR bersamanya, termasuk juga kalangan yang memegang jawatan menteri dalam kerajaan. Jika dia mahu bergerak sendiri selepas ini, kita tidak tahulah sejauh mana dia boleh pergi, kalau lihat Anwar dahulu bila wujudkan parti keadilan nasional, sejauh mana boleh pergi, tapi lihat sahaja PKR hari ini.
PILIHAN RAYA SERENTAK
Setiausaha Agung DAP juga meminta Perdana Menteri menjelaskan strategi kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya akan datang, pandangan YB tentang tuntutan itu?
Saya rasa itu tindakan betul dan saya setuju tentang cadangan ini. Sebab DAP ini apa pun kritikan orang, DAP tetap bekerja, ada pengalaman malah sistematik. DAP tidak akan apabila sudah berdepan masalah baru hendak fikir apa perlu dibuat, mahu buat plan A, plan B dalam masa sebulan dua tapi mereka fikir perlunya pilihan raya serentak untuk negeri dan Persekutuan.
Saya setuju kerana ia menjimatkan kos, jimat tenaga, rakyat tidak letih bila terpaksa berpolitik setiap hari, baru habis pilihan raya ini (Melaka) sudah ada pula pilihan raya negeri lagi satu pula. Ia jadi kelakar. Jadi, pilihan raya serentak itu perlu dilakukan tahun ini.
Jika keperluan menyatakan pendirian itu terus dilambatkan mungkin apakah kesannya kepada kerajaan pimpinan Anwar? Perlu buat kerja sekarang. Bincang dengan BN, bincang dengan semua, dapatkan keputusan. Malah UMNO dulu kata kita akan terus sama-sama dengan PH. Tapi UMNO tengok PH makin lemah, dalam PKR pun ada masalah.
Sebab itu mereka berani menyatakan akan tanding 115 kerusi pada pilihan raya ini. Apa maknanya? Ada tempat yang UMNO akan cabar PKR, lawan juga parti lain, wujud pertandingan tiga penjuru, bermaknanya ini peranglah… free for all.
Malah melihat kenyataan DAP, UMNO pun sudah mula tarik (brek), dengan melihat DAP pun sudah mula macam-macam seolah sebelah kaki sudah hendak keluar kerajaan. UMNO takkan hendak lingkup sama-sama, mungkin pandangan mereka begitulah.
PENYATUAN MELAYU
Pandangan mengenai usaha penyatuan ummah oleh kalangan politik Melayu dan Islam, apakah boleh direalisasikan?
Politik Melayu ini memang berpecah-pecah, jadi saya rasa hendak balik semula kepada keadaan asal yang mana hanya satu parti yang dominan seperti mana UMNO dahulu, mungkin dalam jangka masa yang terpandang ini agak susah.
Namun untuk menuntut supaya ada perpaduan kalangan orang Melayu itu saya sokong. Contoh dalam isu untuk iktiraf UEC, yang mana saya dari parti pelbagai kaum pun tidak akan kompromi perkara itu.
Untuk bersatu tidak semestinya dalam satu parti, tapi bersatu dalam tuntutan masalah orang Melayu, umpamanya daripada segi ekonomi, ya, kita setuju.
Undi orang Cina kini dilihat hanya dalam satu bakul iaitu DAP, tapi orang Melayu kita banyak bakul. Nasihat saya kepada parti-parti Melayu lain tengok macam mana masyarakat Cina berpolitik. Kalau hendak berpecah-pecah, itu akibatnya. Faham-faham sendirilah.
Bagi PKR sendiri, saya melihat ini juga satu ujian kepada Anwar sama ada beliau masih boleh menjadi ‘gam’ yang boleh mengikat parti seperti UMNO dan DAP dan lain-lain parti, sebagaimana beliau dapat membentuk kerajaan pada November 2022.
DAP JANGAN HENDAK TUNJUK TARING
Pandangan YB mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu akan melihat semula kedudukan mereka dalam Kabinet? Dalam keputusan DAP ini, apa kenyataan balas daripada pemimpin kanan PKR? DAP yang ada 40 kerusi sudah membuat ugutan terhadap Anwar, kasihan kepada Anwar, saya tunggu juga jawapan balas pimpinan parti, tapi tidak ada.
Pada saya DAP jangan hendak tunjuk taring, mahu keluar hendak tarik apa-apa pun, semua sudah rasa jadi menteri, bila kerajaan kuat, Anwar kuat anda sokong, bila PKR dan Anwar dalam keadaan ini, anda tekan. PKR umpama tidak ada panglima dalam barisan kepimpinan yang ada untuk mempertahankan Anwar.
Jika Kongres DAP Julai ini putuskan menteri daripada parti itu melepaskan jawatan dalam Kabinet, mungkin apa isyaratnya?
Jika itu diputuskan DAP, pastinya tamparan kepada Perdana Menteri, yang akan mencetuskan kehilangan keyakinan kepada kerajaan Madani. – Mingguan Malaysia




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.