Iran Amaran Harga Minyak Boleh Cecah AS$200 Setong”
WASHINGTON: Iran hari ini memberi amaran dunia perlu bersedia menghadapi harga minyak mencecah AS$200 setong, ketika pasukannya menyerang kapal dagang semalam manakala International Energy Agency (IEA) mencadangkan pelepasan besar-besaran rizab minyak strategik bagi mengekang kejutan harga tenaga yang paling buruk sejak 1970-an.
Perang yang tercetus selepas serangan udara bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel hampir dua minggu lalu setakat ini telah mengorbankan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya rakyat Iran dan Lebanon, ketika konflik itu merebak ke Lebanon dan mencetuskan kekacauan dalam pasaran tenaga serta pengangkutan global.
Walaupun Pentagon menyifatkan serangan udara yang dilancarkan sebagai paling sengit sejak perang bermula, Iran masih melancarkan serangan ke atas Israel dan beberapa sasaran di Asia Barat, menunjukkan ia masih mampu bertindak balas.
Semalam, tiga kapal dilaporkan terkena serangan di perairan Teluk selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata pasukannya menembak kapal yang tidak mematuhi arahan mereka.
Presiden AS, Donald Trump, yang belum menetapkan tempoh operasi ketenteraan, memberi bayangan bahawa perang belum akan ditamatkan.
Dalam satu perhimpunan di Kentucky, beliau berkata Amerika telah "memenangi" perang tetapi tidak mahu terpaksa kembali berperang setiap dua tahun.
"Kita tidak mahu berundur terlalu awal. Kita perlu habiskan misi," katanya.
Trump juga mendakwa, tentera AS telah memusnahkan 58 kapal tentera laut Iran dan menyatakan Iran kini "hampir ke penghujung kemampuan".
Menurutnya, Iran "tidak lagi mempunyai tentera laut, tentera udara atau sistem pertahanan yang berfungsi".
Trump berkata, AS akan memberi perhatian serius kepada Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Namun, setakat ini tiada tanda laluan itu selamat digunakan kerana Iran dikatakan telah menanam puluhan periuk api laut di kawasan berkenaan.
Negara kumpulan G7 – termasuk AS, Kanada, Jepun, Itali, United Kingdom, Jerman dan Perancis – turut mempertimbangkan untuk mengiringi kapal dagang bagi memastikan pelayaran bebas di Teluk.
Laporan ABC News menyebut, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran kemungkinan serangan dron Iran ke Pantai Barat AS, walaupun Trump berkata, beliau tidak bimbang dengan ancaman tersebut.
Pada masa sama, Jabatan Negara AS memberi amaran bahawa Iran dan sekutunya mungkin merancang menyerang kemudahan minyak milik AS di Iraq.
Harga minyak dunia yang melonjak hampir AS$120 setong awal minggu ini kembali turun sekitar AS$90, namun meningkat semula hampir lima peratus semalam susulan kebimbangan gangguan bekalan.
IEA mencadangkan pelepasan 400 juta tong minyak daripada rizab strategik global – langkah terbesar dalam sejarah.
Trump berkata, langkah itu akan membantu menurunkan harga minyak, sementara Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright mengumumkan pelepasan 172 juta tong daripada Rizab Strategik Petroleum AS bermula minggu depan.
Namun, jumlah itu masih hanya sebahagian kecil daripada bekalan yang biasanya melalui Selat Hormuz.
Jurucakap tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari memberi amaran kepada Washington: "Bersedialah untuk harga minyak AS$200 setong kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau yang telah anda porak-perandakan."
Beliau juga memberi amaran bank yang berurusan dengan AS atau Israel boleh menjadi sasaran serangan Iran.
Sejak perang bermula, 14 kapal dagang dilaporkan terkena serangan di kawasan Teluk.
Di Iran, ribuan orang menghadiri pengebumian komander tentera yang terbunuh dalam serangan udara.
Mereka membawa keranda dan gambar bekas pemimpin tertinggi Ali Khamenei serta anaknya Mojtaba Khamenei, yang kini menjadi pemimpin tertinggi baharu negara itu.
Seorang pegawai Iran memberitahu Reuters bahawa Mojtaba cedera ringan pada awal perang, ketika serangan udara membunuh ayahnya bersama beberapa ahli keluarga.
Walaupun Trump menggesa rakyat Iran bangkit menentang pemerintah, setakat ini tiada tanda protes besar-besaran yang mampu menggugat sistem pemerintahan republik Islam tersebut.
Ketua Polis Iran, Ahmadreza Radan memberi amaran bahawa sesiapa yang turun ke jalanan akan dianggap "musuh, bukan penunjuk perasaan." - REUTERS




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.