Amanah Kawasan Kubang Pasu Lulus Usul Desak PMX Singkir Umno Dari Kabinet Madani !!
Mesyuarat Tahunan 2026 AMANAH Kawasan Kubang Pasu meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kepimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya segera menilai semula komposisi Kabinet, termasuk kedudukan wakil UMNO/BN dan parti bersekutu dalam Kerajaan Madani, susulan perkembangan serta pendirian politik UMNO kebelakangan ini.
Usul mempersoalkan keselarasan antara kedudukan UMNO dalam kerajaan dengan perkembangan haluan politik parti berkenaan, termasuk keterbukaan terhadap kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). “Jika UMNO mahu berkerjasama dengan PN, mengapa masih kekal dalam Kerajaan Madani?” soal perwakilan, sambil menegaskan bahawa kedudukan dalam kerajaan perlu disertai komitmen politik yang jelas dan konsisten.
AMANAH Kubang Pasu turut mencadangkan sekiranya berlaku kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri atau Timbalan Menteri, jawatan berkenaan diagihkan secara adil dan saksama kepada parti-parti lain yang terus mendukung Kerajaan Madani, selaras dengan perubahan serta realiti kerjasama politik semasa. Usul berkenaan mahu perkara itu ditangani dengan segera dan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan menjelang PRU16.
AMANAH Kubang Pasu menegaskan bahawa struktur Kabinet perlu mencerminkan komitmen sebenar setiap parti terhadap kerajaan, sekali gus menuntut Perdana Menteri dan kepimpinan PH membuat pendirian yang jelas mengenai sama ada komposisi Kabinet sedia ada masih wajar dikekalkan atau perlu dirombak.
"BINA MASA DEPAN BERSAMA"
"AMANAH, PROGRESIF, PEDULI"




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.