https://critoxium.com/shop/

Terkini

Luka disebabkan lidah memang tidak akan sembuh


Oleh Nur Hadi Mohamad

“Ni kepala bapak aku, ni kepala bapak kau. Kalau kau anak jantan, kalau kau berani, kau cubalah pijak kepala bapak aku!”

Petikan dialog dari filem Nasib Si Labu Labi tadi adalah contoh bagaimana persengketaan dan perbezaan pendapat diselesaikan dengan emosi.

Walaupun ia sekadar komedi klasik naskhah Allahyarham P Ramlee, realitinya dialog tersebut adalah cerminan paling tepat terhadap budaya wacana masyarakat kita hari ini.

Pantang dicuit, ego dan sentimen akan memintas kewarasan akal.

Begitulah gambarannya apabila kita menelusuri krisis terbuka yang sedang menghangatkan ekosistem sukan negara antara ikon berbasikal negara, Azizulhasni Awang, bekas jurulatihnya John Beasley, dan wartawan sukan veteran, Rizal Hashim.

Pergeseran yang pada awalnya berpunca daripada tulisan sebuah kolum oleh Rizal itu mempersoalkan sistem pelapis dan pulangan dana awam akhirnya meleret menjadi perang media sosial yang sarat dengan sindiran serta serangan peribadi.

Bakat fizikal dan mentaliti atlet kita mungkin telah diasah sehingga bertaraf dunia. Namun menerusi perkembangan terbaru, nampak gayanya kemahiran komunikasi dan pengurusan emosi di ruang awam masih belum mencapai tahap yang sama.

Apabila seorang jaguh yang terbiasa dengan adrenalin di atas gelanggang diberikan akses terus kepada jutaan pengikut tanpa sebarang asas pendidikan perhubungan awam (PR), mereka mudah tergelincir.

Mereka tersalah anggap bahawa luahan emosi yang tidak ditapis itu adalah lambang kelantangan dan keberanian.

Membayar harga sangat mahal

Suatu masa dahulu, dinamik kuasa memihak secara total kepada pengamal media yang memonopoli naratif awam dan menjadi penjaga pintu kepada maklumat untuk rakyat.

Hari ini, kuasa itu telah diterbalikkan sepenuhnya.

Seorang jaguh Olimpian yang mempunyai jutaan pengikut di platform peribadi adalah individu yang memiliki capaian organik yang jauh ke depan untuk meninggalkan jualan akhbar atau portal berita.

Lantas, apabila Azizulhasni membalas kritikan Rizal dengan gaya bahasa sinis – memperkenalkan diri sebagai “atlet lanjut usia” dan “juara tiup belon Tadika Kemas Dungun 1993” – ia jelas bukanlah keterlanjuran kata.

Tindakan membalas kritikan melalui sindiran di media sosial boleh mengalihkan perhatian daripada persoalan dasar kepada persaingan meraih sokongan pengikut.

Kesannya, perbahasan mengenai kelemahan sistem sukan mungkin akan ditenggelamkan apabila perhatian beralih pula kepada pertikaman lidah di antara atlet dengan pengamal media.

Taktik sebegini sangat berkesan meraih sorakan netizen, tetapi harganya amat mahal. Ia membunuh terus wacana intelektual sukan kita.

Bagaimanapun, kita tidak boleh terus-menerus meromantiskan era kewartawanan tradisional seolah-olah ekosistem lama itu sentiasa suci.

Sejarah sukan tanah air sarat dengan insiden menyaksikan sesetengah media kovensional mencipta tajuk sensasi, membuat andaian melulu dan membina konotasi yang membunuh karakter tanpa memberikan ruang membela diri yang adil.

Pada era tersebut, atlet terpaksa pasrah menelan segala kritikan.

Lahirnya media sosial pada peringkat awal adalah satu kelegaan kerana ia menyediakan alat pertahanan diri.

Namun apa yang merisaukan hari ini ialah apabila perisai pertahanan ini disalah guna dan bermutasi menjadi ‘pedang’ untuk pembulian serta serangan peribadi bertopengkan tiket kebebasan bersuara.

Kita seolah-olah terlupa pada pepatah Arab klasik: “Luka disebabkan mata pedang masih boleh sembuh, tetapi luka disebabkan lidah tidak.” Parang emosi di media sosial ini akhirnya menetaskan luka peribadi yang sukar diubat.

Evolusi ini turut mendedahkan realiti di pihak pengamal media sendiri. Di era algoritma sekarang, industri kewartawanan didorong oleh interaksi seperti jumlah tontonan, tanda suka dan perkongsian.

Dalam mengejar kelangsungan trafik, wartawan sukan kadang-kala terpaksa bertindak seakan pempengaruh media sosial.

Apabila teguran analitikal dibalas dengan emosi lalu diheret ke garisan maya, sempadan antara “kewartawanan profesional” dan “penciptaan kandungan sensasi” menjadi semakin kabur.

Isu pokok, mendasar tidak dipedulikan Kedua-dua pihak akhirnya terperangkap, menari mengikut rentak algoritma yang dahagakan konflik. Kemuncak krisis itu menyaksikan reaksi daripada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

SAM menuntut agar pengamal media dihormati, manakala menteri mengingatkan tentang prinsip hak untuk menjawab serta bahaya mengejar kepantasan berita berbanding ketepatan fakta.

Namun, tindak balas itu mendedahkan satu lagi kekeliruan: kegagalan membezakan antara laporan berita harian dengan kolum pendapat.

Seperti yang ditegaskan oleh Rizal, tugas seorang kolumnis bukanlah sekadar melaporkan keputusan perlawanan, sebaliknya menganalisis, mempersoalkan dasar dan menuntut akauntabiliti penggunaan dana awam.

Apabila wacana berstruktur dalam kolum pendapat dipotong-potong menjadi keratan picisan di media sosial, isu tadbir urus yang mahu dibangkitkan terus cair.

Akhirnya, ia sekadar bertukar menjadi perkelahian ‘menjaga kawasan’ masing-masing – SAM membela pengamal media, Azizul mempertahankan jurulatihnya dan menteri sekadar memberi teguran umum.

Persoalan utama mengenai kelemahan sistem sukan kita pula terus dibiarkan tanpa sebarang jawapan.

Di sebalik pertikaman lidah ini, pihak yang paling tersenyum lega pastinya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana isu teras sebenar tidak menjadi perkara utama yang diangkat dan dibincangkan.

Fakta paling kritikal yang cuba dibentangkan oleh John Beasley tentang kelompongan pembangunan bakat akar umbi, ketiadaan siri perlumbaan domestik yang sihat dan kegagalan sokongan di peringkat negeri tenggelam sepenuhnya di dalam lubang perseteruan.

Kegagalan pengurusan atasan mewujudkan rantaian bakat yang kompetitif dari akar umbi menjadikan jurulatih elit di puncak piramid sentiasa dijadikan mangsa korban.

Kita sentiasa menghukum puncak piramid atas struktur tapak yang sememangnya rapuh.

Perlukan kematangan berwacana

Lebih mendukacitakan, krisis itu mendedahkan kegagalan badan induk seperti Majlis Sukan Negara (MSN) melindungi aset mereka.

Di liga profesional antarabangsa, atlet diikat dengan protokol media yang ketat.

Hantaran atau kenyataan yang menyerang integriti pihak lain secara terbuka pasti disusuli dengan siasatan dan hukuman.

Namun di negara kita, sepertinya atlet elit dibiarkan menguruskan krisis PR mereka sendiri tanpa panduan dan bimbingan.

Sudah tiba masanya MSN melabur dalam latihan pengurusan media yang komprehensif buat atlet bertaraf elit. Mereka adalah wira negara, maka reputasi mereka perlu dilindungi daripada keterlanjuran jari sendiri di skrin peranti yang ada.

Kematangan wacana serta adab berbeza pendapat perlu segera dipulihkan. Dalam tradisi keilmuan, perbezaan pandangan itu lumrah, tetapi ia wajib dipandu adab iaitu mengkritik hujah, bukannya menyerang peribadi.

Bertitik tolak dari prinsip itu, bagi pihak yang dikritik, menjawab persoalan tersebut dengan dada yang lapang dan data yang utuh adalah lambang sebenar jiwa seorang juara.

Jika emosi terus dijadikan kiblat, wacana sukan kita akan selamanya terperangkap umpama Labu dan Labi – asyik mahu memijak kepala bapak masing-masing, sedangkan tiang ekosistem sukan di sekeliling kita sebenarnya kian reput dimakan anai-anai.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.