https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pedulikan kecamuk politik, agenda bangun negara jangan dilupa


Oleh Zulkifli Jalil

Memasuki bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan gegak-gempita muncul isu Perikatan Nasional (PN) dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), kemudian ditarik balik oleh mahkamah serta insiden-insiden tidak terduga, termasuk kes Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua pihak perlu muhasabah diri.

Apa lagi di pihak kerajaan yang perlu meneruskan agenda pembangunan negara lebih agresif menyelesai permasalahan rakyat.

Yang perlu diingatkan di sini, populariti diri tidak penting. Paling utama imej kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat segalanya. Maka semua pihak daripada pegawai kerajaan semua peringkat perjawatan, baik agensi, jabatan, universiti sehingga Jemaah Menteri perlu terus serlahkan mencabar diri.

Bertahan lama

Tanpa memiliki kualiti diperlukan untuk menggerakkan organisasi, kementerian dan berkomunikasi dengan baik, kerjaya dalam arena masing-masing tidak akan bertahan lama walaupun anda disenangi ketua jabatan atau peringkat teratas, Perdana Menteri.

Tidak perlu memprovokatif satu-satu isu bersentimenkan kaum. Meskipun kebelakangan ini ada cubaan 'meledakkannya', mujur ia sekadar sensasi meraih liputan media. Namun, tidaklah sampai dibawa masuk untuk perbincangan atau keputusan Kabinet.

Setakat ini dengan kerajaan memasuki tahun keempat pentadbirannya, tidak berlaku kontroversi besar. Belum terdengar lagi seperti pernah dibidalkan di Amerika, "If you want to gain recognition, get involved in a scandal" (Jika anda ingin pengiktirafan, libatkan diri dalam skandal). Perkataan 'skandal' itu barangkali di negara ini boleh digantikan dengan sensasi.

'Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' - pepatah Melayu lama sering terabai. Senantiasa berwaspadalah gambar, video dan kenyataan sensasi dikutip daripada ungkapan pembesar kerajaan boleh dikongsi serata dunia.

Tertekan, tersinggung

Ambil iktibar dan teladan waktu musim wabak COVID-19 melanda negara tempoh hari. Ramai hidup tertekan. Rumah didiami berkurung di dalamnya hampir masuk sebulan kian berbahang. Waktu itu penghuninya mudah marah dan tersinggung apabila dihidangkan dengan idea bukan-bukan yang sepatutnya serius apabila datang daripada pak-pak menteri atau ibu-ibu menteri.

Kali ini juga perlu terus tumpu menangani situasi nilai ringgit agar terus mencanak, mengelak bursa daripada melesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Memastikan kita peka dengan denyutan hati rakyat bukan satu ungkapan retorik sengaja dialun-alukan. Bahaya jika amarah berterusan akan membawa padah yang tiba-tiba.

Jauhkan tindak-tanduk berupa fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran yang dikhuatiri menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan Melayu dan institusi Raja Melayu.

Elakkan insiden-insiden lepas seperti percubaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan yang kelihatan tidak kompeten dan menghakis keyakinan rakyat.

Retorik

Harus difahami, generasi baharu yang sejak kecil diajar menyalurkan informasi secara dalam talian tidak ingat lagi retorik dan cara berpolitik dulu-dulu. Kitalah harus bersedia menghadapi perang sensasi dan politik berpentaskan media sosial bersama golongan ini.

Pelan sempurna jika tidak dilaksanakan dengan baik, akan gagal. Pelan tidak baik, jika dilaksanakan dengan baik, akan pasti berjaya. Bacaan yang terlalu mudah. Tapi yang jelas - tangani kegagalan dengan bekerja keras. Perancangan perlu tampak realistik dan lancar.

Mengamati sekeliling hari ini, selain kos hidup terus mencengkam, kita juga sebenarnya dahagakan bimbingan asuhan sahsiah diri. Ini soal kehilangan cara hidup atau budaya dilarikan zaman. Yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri. Yang masih tiada jawapan jelas baginya.

Idealisme nasional

Cuba ambil China sebagai bahan makmal. Negara itu terus berjaya kerana mempunyai idealisme nasional berpaksikan disiplin sosial kuat bagi 1.4 bilion warganya. Rakyat China sentiasa diasuh dengan asakan nilai, fizikal dan asuhan nasionalisme sosialisme yang menampakkan hasil sosiapolitiknya.

Sains, matematik, pengajian nuklear, metafizik dan sebagainya dicetuskan budaya dalaman mereka sendiri, bukan dari cetusan luaran. Politik nasionalisme mereka mampu menidakkan Facebook, Twitter dan WhatsApp. Diganti dengan ciptaan tempatan sendiri. Hasilnya, China berjaya menghasilkan pesawat komersial buatan sendiri, C91, kapal selam, kapal perang, roket dan stesen angkasa lepas.

Dan China mampu hidup sendirian tanpa bantuan kepada dunia luar, kecuali dalam hal berkaitan fuel atau bahan api seperti petroleum.

Gosip, persepsi

Kita masih belum terlewat. Di pihak berkuasa hindarilah tiupan gosip, persepsi dan kontroversi yang berisiko merubah keadaan baik, menjadi buruk. Mana-mana pendiri kerajaan pun boleh kaget dan tergugat dek penangan parodi dan drama pendek tiktok.

Mesti serius mengukur dan memperkemas rangka survival dan rangka keutuhan negara. Jangan putus asa, alpa atau kecewa.

Ini semua sebenarnya hanya dapat dicapai melalui usaha bina-negara (nation building) yang setakat ini belum tampak diyakini.

Dan apa sahaja keputusan dari PRN Melaka nanti, ia pasti akan menjadi detik perubahan landskap politik negara. Sama ada impak dari Johor, Negeri Sembilan dan disusuli Melaka akan menjalar ke beberapa negeri yang tipis majoritinya, seterusnya membawa pembubaran Parlimen, kita tunggu dan lihat.

Bagi pengundi di Melaka, kita percaya anda sudah ada dalam fikiran siapa yang mahu dipangkah atau kena 'pangkah'.

Malaysia perlu terus bangkit. Sentiasa ambil iktibar dari peristiwa yang lepas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.