Ahli Majlis PBT: Kerajaan negeri Perlu Kaji Insentif Tambahan
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengharapkan
peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh semua Ahli Majlis Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) bukan bersifat separuh masa atau kerja sambilan.
Ini adalah kerana fungsi mereka cukup penting dalam menghubungkan
rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Majlis ibarat ‘wakil rakyat’ di PBT masing-masing,
mereka perlu dekat dengan rakyat untuk membawa ‘suara’ penduduk setempat
bagi menyelesaikan masalah yang mereka bangkitkan dan mereka umpama
‘duta’ PBT bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku di
kawasan mereka.
Justeru, sudah tiba masanya elaun Ahli Majlis dikaji
semula kerana mereka juga berperanan seperti ‘wakil rakyat’. Sepertimana
seorang Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli
Majlis PBT juga memerlukan sumber kewangan untuk bergerak di seluruh
kawasan bagi tujuan pemantauan atau sebagainya.
AMANAH Perak yakin dan percaya perlantikan serta
kelayakan semua Ahli Majlis PBT bukan semata-mata ‘mengisi’ kerja
politik semata-mata tetapi ianya benar-benar berperanan membantu PBT
menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi dan sudah tentunya
Negeri Perak perlu menjadi contoh terbaik di negara ini.
#HarapanBaru
SALMAN HAJI SALEH
Setiausaha
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak



Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.