Hipokrasi Mahathir
SENJATA
makan tuan. Inilah ungkapan paling sesuai untuk bekas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak mengkritik lawatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) atas
jemputan Presiden Donald J. Trump di White House sempena ulang tahun
hubungan Malaysia-Amerika Syarikat ke-60.
Masakan tidak dalam usaha Dr. Mahathir
memburukkan Najib di mata dunia dengan melemparkan pelbagai dakwaan
termasuk akan ditahan oleh polis antarabangsa atau Interpol atas tuduhan
pengubahan wang haram, Perdana Menteri mendapat layanan kelas pertama
apabila menjejakkan kaki di Washington pada 11 September lalu untuk
bertemu dengan Trump pada keesokannya sehinggalah pulang ke tanah air.
Lebih mengejutkan, Trump sanggup melanggar
protokol White House dengan menghantar pulang Najib hingga ke muka
pintu. Sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita bangga apabila seorang
Perdana Menteri negara ini mendapat layanan yang cukup hebat dan
istimewa daripada Presiden sebuah negara berkuasa besar.
Berbalik
kepada kritikan Dr. Mahathir terhadap pertemuan tersebut, bekas
Perdana Menteri itu seolah-olah lupa atau mungkin tiada pihak yang
memberitahunya yang beliau pernah menggunakan khidmat pelobi
antarabangsa berpangkalan di Hong Kong untuk bertemu dengan Presiden
George W. Bush pada tahun 2002.
Malah jutaan
ringgit terpaksa digunakan oleh Dr. Mahathir untuk dibelanjakan kepada
pihak pelobi agar pertemuannya dengan Bush dapat direalisasikan.
Kelihatan Dr. Mahathir begitu terdesak untuk bertemu dengan Bush hingga
memaksanya menggunakan khidmat pelobi.
Berdasarkan
laporan media, semuanya ini bertujuan untuk memulihkan semula imej Dr.
Mahathir di kaca mata AS yang tercalar susulan kenyataan kurang
menyenangkan oleh Naib Presiden negara berkenaan ketika itu, Al Gore
pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi
Asia-Pasifik (APEC) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun
1998.
Kenyataan Al Gore itu berkaitan dengan
tindakan Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
Perdana Menteri selain kritikan terhadap pemerintahan bekas Perdana
Menteri itu yang dikatakan menyekat kebebasan rakyat.
Kisah
ini bukan satu dakwaan jauh sekali rekaan. Kisah ini benar-benar
berlaku dan pihak berkaitan termasuk Najib serta beberapa bekas menteri
tahu tentangnya kerana mereka berada dalam Kabinet Dr. Mahathir ketika
itu.
Dalam pada itu pendedahan yang
dilakukan oleh Datuk Megat Fairouz Junaidi iaitu anak lelaki Tan Sri
Megat Junid Megat Ayub dalam media kelmarin memberi gambaran lebih jelas
mengenai pertemuan itu memandangkan Allahyarham bapanya telah diarah
melaksanakan rancangan tersebut.
Menurut
Megat Fairouz Junaidi selepas menerima arahan dalam sekitar 2001,
Allahyarham Megat Junid telah bertemu dengan beberapa pihak termasuk
membayar sejumlah wang kepada pelobi dalam usaha menjayakan pertemuan
antara Dr. Mahathir dan Bush.
Akhirnya pada
Mei 2002, Dr. Mahathir dan Bush mengadakan pertemuan di AS selepas
diatur oleh pihak pelobi dengan melibatkan kos berjuta-juta ringgit.
Dalam pada itu, Perdana Menteri ketika berucap dalam majlis meraikan
kepulangannya dari Britain dan Amerika Syarikat di Kompleks Bunga Raya,
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini,
telah mendedahkan bahawa pelobi yang digunakan oleh Dr. Mahathir itu
ialah Ken Schiffer.
Justeru, Dr. Mahathir
tidak boleh marah atau mengecam mana-mana pihak yang menggelarkan
dirinya sebagai hipokrit kerana beliau sendiri terpaksa menggunakan
khidmat pelobi untuk bertemu dengan Bush dan situasi keadaan itu amat
berbeza dengan Najib.
Kehadiran Najib di
White House adalah jemputan Trump bagi meraikan hubungan Malaysia dan AS
selama 60 tahun dan peluang itu kemudian digunakan oleh Perdana
Menteri untuk mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara
terutama dalam bidang ekonomi.
Begitu juga
dengan tuduhan melulu Dr. Mahathir terhadap rancangan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd. meningkatkan
pelaburan mereka di AS antaranya membeli lebih banyak pesawat Boeing
bagi memacu kemajuan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines
Bhd. (MAB).
Dr. Mahathir jangan sesekali lupa
yang mana beliau pernah membuat kenyataan pada 26 April 2005 dengan
menyatakan bahawa KWSP perlu melabur lebih banyak di seberang laut bagi
membolehkan pencarum menerima dividen lebih baik.
Hakikatnya,
ahli-ahli ekonomi dalam isu ini mempunyai pandangan lebih fokus apabila
mereka berpandangan usaha Najib itu mampu membuka lebih banyak peluang
khususnya kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk
meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat sekali gus menjana lebih
banyak pendapatan.
Ini memandangkan polisi
Trump lebih tertumpu kepada pasaran domestik AS yang antara lain
menggalakkan syarikat-syarikat dari negara luar membuka kilang-kilang
dan melabur di negara berkenaan.
Bagi
penulis, sudah-sudahlah dan jangan jadi hipokrit. Sebagai seorang
negarawan Dr. Mahathir tidak sewajarnya bertindak sedemikian. Ini era
Najib dan biarlah beliau pula menguruskan negara ini mengikut acuannya
seperti mana ruang yang diberikan kepada Dr. Mahathir untuk memerintah
selama 22 tahun tanpa diganggu oleh sesiapa.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.