https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kes Jenayah , Hasil Lambakan Warga Asing ?



Kes penipuan dalam talian meningkat dengan mendadak di Negeri Sembilan dengan 540 kes telah dilaporkan berlaku dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini membabitkan kerugian kira-kira RM4.32 juta.

Keadaan ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, pihak polis merekodkan sebanyak 225 kes dengan membabitkan jumlah kerugian hanya RM1.77 juta berbanding kerugian sebanyak RM4.32 juta pada tahun ini.

1. Sindiket penipuan ini dikatakan melibatkan pembelian barangan secara dalam talian, jerat cinta di internet, 'Macau Scam' dan pinjaman tidak wujud.

Sindiket ini dipercayai didalangi oleh kebanyakan warga asing dan turut tidak ketinggalan warga tempatan yang turut menggunakan akaun pihak ketiga untuk menjalankan urusan, bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam siasatan pihak polis juga, mereka percaya pihak ketiga itu turut menerima komisen untuk setiap urusan niaga yang berjaya.

2. Kes penipuan 'Macau Scam' mencatatkan nilai kerugian paling tinggi iaitu RM1.7 juta diikuti kes pembelian barangan menerusi atas talian sebanyak RM1.1 juta pada tahun ini.

Manakala, kes pembelian barangan menerusi dalam talian juga merekodkan peningkatan ketara tahun ini dengan 286 kes berbanding 109 kes tahun lalu bagi tempoh sama. Kajian polis mendapati jenayah penipuan itu menunjukkan peningkatan yang ketara, perbandingan menunjukkan kenaikan melebihi 100 peratus, malah ada melebihi sehingga 200 peratus.

Persoalannya, apakah akan terjadi jika terdapat begitu banyak kes sebegini di Malaysia terutamanya lambakan pekerja warga asing di Malaysia?

3. Saya meneliti jumlah kerugian yang diberikan oleh PDRM mungkin lebih besar lagi jika dilihat saban hari ada sahaja berita mengenai jenayah komersial sama ada yang dilaporkan oleh media massa mahupun yang tidak dilaporkan.

4. Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Komersial kerana jenayah komersial sukar dibanteras berbanding jenayah jalanan.

Jenayah komersial dan penipuan siber ini lebih merebak di negara kita kerana mungkin terdapat 'orang dalam' dan penipuan licik ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak polis, dengan penubuhan suruhanjaya itu ia dapat menangani masalah jenayah ini.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu memantau kemasukan pekerja warga asing di negara ini. Kebanjiran warga asing telah menyebabkan jenayah ini semakin merebak dan mereka nampaknya semakin berani melakukan jenayah.

5. Saya berharap orang ramai untuk lebih berhati-hati agar jangan mudah terpedaya serta terpengaruh dengan keuntungan yang datang bergolek dan tawaran yang tidak masuk akal.

Masyarakat perlu menjadikan pengajaran ratusan kes yang lalu sebelum ini pernah dilaporkan supaya tiada kejadian seumpama itu akan berlaku lagi.

YB Aminuddin Harun
ADUN Sikamat
Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan
Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.