Kurangkan ‘mengata’, daftar segera pengundi
Oleh
‘PEMERINTAHAN
dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat tidak akan lenyap dari muka
bumi ini.’ - Abraham Lincoln, Mantan Presiden Amerika Syarikat.
Tunjang kepada prinsip demokrasi
adalah hak rakyat untuk memilih pemimpin. Prinsip ini yang membezakan
pentadbiran monarki dan demokrasi. Ini juga bermakna hanya dalam sistem
demokrasi sahaja rakyat kebanyakan boleh menentu dan memilih pemimpin
mereka.
Dalam konteks amalan demokrasi berparlimen di
Malaysia, sudah 13 kali rakyat Malaysia menggunakan hak sebagai
warganegara Malaysia untuk memilih suara pemimpin yang akan mewakili
mereka dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan. Lebih penting lagi, hak
untuk memilih ini merupakan satu-satunya hak yang hanya diberikan kepada
warganegara. Malah dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri ada
menggariskan tatacara dan tataurus Pilihan Raya di negara kita.
Bahagian
VIII Perlembagaan Persekutuan merangkumi peruntukan perkara yang
berkaitan dengan Pilihan Raya. Bermula dari Perkara 113 iaitu Perjalanan
Pilihan Raya, diikuti dengan Perkara 114 iaitu Keanggotaan Suruhanjaya
Pilihan Raya, Perkara 115 pula berkenaan dengan Bantuan kepada
Suruhanjaya Pilihan Raya, Perkara 116 mengenai Bahagian Pilihan Raya
Persekutuan, Perkara 117 berkenaan Bahagian Pilihan Raya Negeri, serta
Perkara 118 bagi cara mencabar Pemilihan manakala Perkara 118A berkenaan
dengan Cara Mempersoalkan Petisyen Pilihan Raya mengenai tidak adanya
Pemilihan, Perkara 119 berkenaan dengan Kelayakan Pemilih dan terakhir
iaitu Perkara 120 berkenaan dengan Pemilihan terus ke Dewan Negara.
Bagaimanapun,
di Malaysia pendaftaran Pemilih, atau lebih kerap dipanggil umum
sebagai ‘pengundi’, tidaklah secara automatik apabila umur seseorang itu
mencecah 21 tahun. Sebaliknya, mana-mana warganegara yang memenuhi
syarat-syarat kelayakan Pemilih seperti yang terkandung dalam Perkara
119(1) Perlembagaan Persekutuan, haruslah berdaftar dengan Suruhanjaya
Pilihan Raya untuk menjadi pemilih dan mengundi di kawasan Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami juga Perlembagaan Persekutuan
turut menyatakan keadaan-keadaan bila mana seseorang itu hilang
kelayakan Pemilih dalam Perkara 119(3).
Menurut
Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)
2002, mana-mana pengundi berdaftar berhak untuk mengundi dalam pilihan
raya parlimen dan negeri. Hak untuk mengundi bagi pemilih yang berdaftar
adalah mutlak dan ia merupakan satu kesalahan kepada sesiapa yang
menghalang seseorang pengundi yang berhak daripada mengundi. Ini
sejajar dengan peruntukan Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954
(Akta 5). Seksyen 4 dalam Akta ini selanjutnya menyatakan mana-mana
Pegawai Pilihanraya tidak boleh sengaja menghalang mana-mana Pemilih
untuk mengundi di tempat pengundian. Kedua-dua peruntukan ini secara
perundangannya menjamin hak setiap Pemilih untuk mengundi dalam pilihan
Raya tanpa gentar serta takut.
Namun selepas
60 tahun kemerdekaan negara masih terdapat warganegara yang masih belum
menjalankan tugas dan haknya dengan mendaftar menjadi pemilih.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
setakat Februari 2017 masih terdapat kira-kira 4.1 juta orang yang belum
mendaftar sebagai pemilih. Selanjutnya, statistik juga menunjukkan
peratusan yang keluar mengundi dalam pilihan raya di Malaysia hanyalah
75%.
Statistik ini menggambarkan seolah-olah tidak timbul perasaan cakna
dalam diri warganegara Malaysia untuk keluar mengundi.
Pelbagai
alasan boleh diberikan bagi menjustifikasi tindakan untuk tidak
mendaftar atau yang mendaftar tetapi tidak keluar mengundi. Ada yang
beranggapan tiada makna undinya kerana orang lain telah mengundi atau
tanggapan pilihan raya tidak telus.
Namun
dari sudut perundangan, pilihan raya adalah satu-satunya cara yang
diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat mengatur dan
menentukan wakil kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.
Ia satu-satunya hak yang hanya boleh dinikmati oleh warganegara untuk
menentukan pemerintahan kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri untuk
jangka masa lima tahun.
Tuntasnya selari
dengan kematangan demokrasi berparlimen di Malaysia, sewajarnya
mana-mana rakyat yang memenuhi syarat di bawah undang-undang untuk
mendaftar sebagai pemilih. Mereka juga perlu menuntut hak yang diberikan
untuk memilih wakil mereka. Setiap undian akan menentukan hala tuju
kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk lima tahun mendatang.
Penulis menjemput seluruh rakyat negara ini untuk sama-sama kurangkan
berteriak dan mengata di media sosial sebaliknya, marilah kita ambil
tindakan dengan mendaftar sebagai Pemilih dan mengundi dalam Pilihan
Raya.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.