Pertemuan tersebut memberikan manfaat yang amat besar kepada Malaysia namun seperti biasa pihak pembangkang menimbulkan pelbagai isu dan tuduhan terhadap Najib malah sebelum berangkat ke negara Uncle Sam itu lagi mereka telah membuat pelbagai cerita dan pembohongan.

Namun apa yang berlaku sebaliknya, Najib diberikan penghormatan yang amat besar oleh Kerajaan AS khususnya Trump. Bagi menjawab tuduhan tersebut, wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM telah menembual Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indutsri, Datuk Seri Mustapa Mo hamed yang menyertai rombongan Najib ke AS berjumpa dengan Trump serta tokoh-tokoh perniagaan di negara tersebut.
 MINGGUAN: Bagaimana pandangan Datuk Seri berhubung hasil keseluruhan lawatan ke AS khususnya pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini?

Mustapa: Saya mengikuti hampir kesemua pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin politik tertinggi, ahli Senat dan tokoh-tokoh perniagaan semasa lawatan ke Washington DC. Secara keseluruhannya lawatan ini amat berjaya. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke White House sejak beliau menyandang jawatan ini kira-kira lapan tahun lalu. Malah, lawatan ini cukup signifikan memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS.

Lawatan ini juga mencerminkan pendekatan pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam meneruskan kesinambungan hubungan luar kita dengan AS khususnya selepas peralihan kuasa daripada Presiden Barack Obama kepada Trump. Sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, untung nasib negara kita di pentas antarabangsa bergantung kepada kebijaksanaan pentadbiran dalam mencorak dasar luar negara. Hubungan rapat Perdana Menteri dengan beberapa pemimpin dunia seperti AS, Jepun, China, India dan Arab Saudi banyak menguntungkan rakyat kita.

Delegasi Malaysia disambut baik oleh Presiden Trump dan barisan pentadbiran tertinggi AS yang lain termasuk Naib Presiden, Mike Pence dan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson. Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dengan kejayaan Perdana Menteri yang mengutarakan pandangan Malaysia mengenai pelbagai isu dengan cukup baik. Jelas kepada saya bahawa Presiden Trump menghormati dan menghargai pandangan Perdana Menteri kita dalam hal-hal diplomasi, politik dan ekonomi.

Melalui lawatan ini juga, kita berjaya memahami secara lebih mendalam pendekatan serta dasar-dasar ekonomi terkini yang diamalkan oleh AS. Ini penting kerana AS merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia dan rakan dagang ketiga terbesar untuk Malaysia dengan jumlah dagangan mencecah RM136 bilion pada tahun lepas. Oleh itu, sebarang perubahan dasar pentadbiran AS perlu difahami kerana ia secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap keadaan ekonomi dunia dan hubungan dagangan kita sendiri.

Apa yang paling penting, lawatan ini juga membolehkan kita mengukuhkan kerjasama ekonomi dan politik antara kedua-dua negara. Ini tentunya akan mendatangkan kesan yang positif kepada negara kita. Kejayaan lawatan kali ini juga menyangkal beberapa tuduhan seperti kononnya Perdana Menteri tidak berani ke AS. Ada juga yang mendakwa beliau tidak akan membangkitkan isu Rohingnya. Ini semua adalah fitnah.

Apakah antara isu-isu ekonomi yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut?

Mustapa: Antara isu ekonomi yang dititikberatkan oleh pentadbiran AS adalah berkenaan defisit perdagangan mereka dengan Malaysia, yang dianggarkan bernilai AS$25 bilion. Malaysia disenaraikan sebagai salah sebuah negara di mana AS mencatatkan defisit perdagangan, maksudnya jumlah eksport kita ke sana melebihi jumlah import barangan dari AS. Mengurangkan defisit perdagangan adalah antara keutamaan tertinggi Trump.

Sewaktu pertemuan Perdana Menteri dengan Trump, saya berpeluang menjelaskan kepada mereka bahawa meskipun Malaysia memiliki lebihan dagangan, namun jumlah yang direkodkan kita adalah sekitar AS$5 bilion, bukannya setinggi AS$25 bilion seperti dinyatakan oleh mereka.

Perbezaan angka ini timbul disebabkan oleh cara pengiraan yang berbeza, di mana mereka mengambil kira import barangan yang berasal dari Malaysia tetapi dieksport melalui negara lain. Contohnya, barangan elektronik yang dieksport ke AS melalui Singapura. Dalam rekod kita eksport ini dianggap sebagai eksport ke Singapura, tetapi bagi AS, ia dikira sebagai import dari Malaysia, bukannya Singapura.

Malah, cara pengiraan jumlah eksport kita juga berbeza dengan AS. Kita menggunakan sistem Free on Board (FOB), yang tidak mengambil kira kos perkapalan dan insuran. Manakala AS pula menggunakan sistem Cost, Insurance and Freight (CIF) yang mana kesemua kos penghantaran diambil kira sehinggalah barangan tersebut sampai ke AS. Ini adalah antara sebab kenapa jumlah defisit perdagangan mengikut rekod mereka adalah lebih tinggi.

Saya turut menjelaskan bahawa syarikat AS yang beroperasi di Malaysia juga kebanyakannya mengeksport barangan ke AS. Antara penyumbang kepada eksport kita yang besar di AS adalah sektor elektrik dan elektronik (E&E). Contohnya lima daripada 10 pengeksport E&E utama di Malaysia merupakan syarikat dari AS yang menjual produk keluaran mereka ke serata dunia termasuklah ke AS. Ini antara sebab kenapa jumlah eksport kita ke AS adalah besar.

Turut dibangkitkan adalah berkenaan pelaburan syarikat Malaysia di AS berjumlah lebih RM67 bilion termasuklah dalam ekuiti, syarikat berteknologi tinggi, pembuatan dan hospitaliti. Perdana Menteri mengatakan syarikat-syarikat ini berminat untuk meluaskan lagi perniagaan dan pelaburan di sana.
Selain itu, pentadbiran AS juga turut menyatakan minat syarikat-syarikat mereka untuk turut serta dalam projek-projek infrastruktur di Malaysia, termasuklah Keretapi Laju Malaysia-Singapura.

Bagaimana dengan TPP, apakah dibincangkan di AS dan apakah masih ada ruang untuk pelaksanaannya selepas ini?

Mustapa: Isu TPP tidak dibincangkan dalam lawatan ini kerana seperti sedia maklum AS telah menarik diri daripada TPP secara rasmi pada 23 Januari yang lalu. Namun begitu, TPP masih menjadi isu utama dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh korporat AS. Mereka menyokong penuh TPP dan akan terus berusaha untuk meyakinkan pentadbiran AS untuk mengubah fikiran, kerana mereka berpendapat TPP akan menguntungkan semua pihak.

Jadi persoalan seterusnya, apakah Malaysia dan negara-negara lain wajar meneruskan usaha untuk melaksanakan TPP tanpa penyertaan AS? Salah satu tarikan utama bagi Malaysia untuk menyertai TPP selama ini merupakan peluang akses pasaran yang meluas di AS. Beberapa negara TPP berpendapat meskipun tanpa AS, TPP masih relevan sebagai sebuah perjanjian perdagangan yang komprehensif dan berkualiti tinggi yang menjadi rujukan kepada semua perjanjian-perjanjian perdagangan lain.

Hala tuju TPP telah dibincangkan oleh 11 Menteri-menteri TPP di Hanoi pada April tahun ini. Susulan itu, negara-negara TPP kini sedang berbincang mengenai kaedah terbaik untuk melaksanakan perjanjian tersebut tanpa penyertaan AS sambil memastikan TPP berupaya memberi manfaat maksimum kepada negara masing-masing.

Harapan kita adalah agar hala tuju TPP lebih jelas setelah pemimpin-pemimpin dan menteri-menteri TPP bertemu pada bulan November ini di Vietnam.

Ada pihak mengatakan kerajaan menggadaikan kepentingan negara melalui pelaburan-pelaburan di luar negara, apatah lagi dalam keadaan ia boleh digunakan untuk pembangunan dalam negara. Bagaimana pula komen Datuk Seri?

Mustapa: Sebelum saya mengulas perkara ini, saya ingin mengimbau beberapa tuduhan terdahulu. Sewaktu kita mengukuhkan kerjasama ekonomi kepada China, kita dituduh menjual negara kepada China. Manakala setelah TPP ditandatangani, Malaysia dikatakan akan dijajah oleh AS. Syarikat-syarikat tempatan dan peluang-peluang perniagaan di Malaysia semua dikatakan akan ditelan oleh AS.

Jadi ini bukanlah tuduhan baru, cuma bezanya kalau sebelum ini kita dituduh menjual negara kerana menerima pelaburan asing, kali ini kita dikatakan menggadaikan kepentingan negara kerana syarikat Malaysia melabur di luar sana.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, secara keseluruhannya stok pelaburan kita di luar negara kini bernilai RM570 bilion, mengatasi pelaburan asing diterima berjumlah RM550 bilion. Syarikat-syarikat kita cukup hebat di luar negara dan terlibat dalam pelbagai projek berskala besar di negara lain dalam bidang minyak & gas, perbankan, perkhidmatan, pertanian dan infrastruktur. Kita lebih banyak melabur di luar berbanding pelaburan yang diterima di sini.

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, syarikat Malaysia haruslah meneroka peluang perniagaan di luar negara. Kita tidak boleh hidup umpama katak di bawah tempurung. Apa yang penting adalah pelaburan ini menjanjikan pulangan yang akan di bawa semula ke negara kita. Jadi pelaburan ini tidak sewajarnya dipolitikkan dan dilemparkan tuduhan bahawa ia menggadaikan kepentingan negara.

Berhubung persoalan mengapa sejumlah wang yang cukup besar dibelanjakan di luar negara sedangkan masih banyak lagi infrastruktur di dalam negara yang boleh dibangunkan, ini mencerminkan kejahilan pembangkang dalam aspek pelaburan dan perniagaan serta tidak lebih dari sekadar cubaan mempermainkan sentimen rakyat.

Kesemua pelaburan ini merupakan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah syarikat seperti KWSP atau Khazanah Nasional menggunakan dana mereka sendiri. Ini bukan perkara baru kerana mereka sudah pun melabur di AS, misalnya KWSP telah mula melabur di AS sejak 2008 manakala Khazanah Nasional pula mempunyai pejabat di Silicon Valley sejak 2013. Pelaburan ini ditentukan oleh pihak pengurusan mereka, dan mendapat persetujuan lembaga pengarah mereka sendiri.

Malah, ia juga perlu mendapat kelulusan Bank Negara. Bagi KWSP misalnya, beberapa pelaburan mereka di luar negara mendatangkan pulangan yang lebih besar sekitar 11 peratus berbanding pulangan sekitar 5 peratus dari pelaburan dalam negara. Ini secara tidak langsung dapat memberikan dividen yang lebih baik kepada 14.7 juta pencarum KWSP.

Perlu dijelaskan juga bahawa pelaburan yang saya nyatakan ini bukanlah wang kerajaan yang boleh digunakan seperti mana dakwaan mereka untuk menampung perbelanjaan infrastruktur dan sosio ekonomi lain dalam negara. Ini adalah dua perkara berbeza.

Apakah benar bahawa kita tidak mendapat apa-apa keuntungan dan pelaburan daripada lawatan kali ini?

Mustapa: Dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali. Dalam beberapa pertemuan Perdana Menteri dengan tokoh-tokoh syarikat AS, mereka menzahirkan keyakinan yang tinggi dengan potensi ekonomi Malaysia.

Syarikat AS telah melabur sebanyak RM70 bilion dalam sektor pembuatan Malaysia sehingga ke hari ini, malah mereka juga aktif dalam sektor lain seperti minyak dan gas, perbankan dan insuran, perkhidmatan serta elektrik dan elektronik. Kira-kira 200,000 rakyat Malaysia kini sedang bekerja di syarikat AS yang beroperasi dalam negara kita.

Hasil bancian ASEAN Business Outlook Survey yang dijalankan, sebanyak 63 peratus syarikat AS yang ditemubual menjangkakan pendapatan dari operasi mereka di Malaysia akan bertambah menjelang 2018. Manakala 57 peratus dari responden juga bercadang untuk meluaskan operasi mereka di Malaysia.

Sebagai contoh, beberapa hari yang lalu saya merasmikan pusat pengumpulan dan penghantaran dunia milik Broadcom, syarikat pengeluar semikonduktor kedua terbesar di dunia yang berasal dari AS dan beroperasi di Penang.

Menerusi pelaburan bernilai RM59 juta ini, Broadcom akan menjadikan Malaysia sebagai hub pengumpulan sebelum barangan mereka diedarkan ke pelbagai pasaran luar negara. Ini membuktikan keyakinan tinggi mereka terhadap kekuatan ekonomi negara.

Apakah kerajaan menanggung beban daripada penswastaan MAS? Wajarkah MAS membeli pesawat baru dalam keadaan kewangan syarikat sekarang?

Mustapa: MAS menghadapi banyak masalah apabila diswastakan dan terpaksa diambil alih oleh Khazanah dan diberikan suntikan modal sebanyak RM3 bilion bagi memulihkan syarikat penerbangan ini. MAS kini sedang mengorak langkah untuk kembali menjadi antara syarikat penerbangan ulung dan urusan pembelian pesawat ini merupakan salah satu keputusan yang dibuat oleh pengurusan syarikat bagi memastikan MAS lebih kompetitif

Cadangan pembelian kapal terbang Boeing dan Dreamliner ini penting untuk menggantikan pesawat yang sudah lama dan bagi memastikan mereka dapat terus menyediakan perkhidmatan bermutu tinggi buat para pengguna. Dreamliner umpamanya merupakan antara pesawat yang paling canggih di dunia. Malah MAS juga perlu meneroka laluan-laluan antarabangsa yang baharu, apatah lagi untuk kekal bersaing dalam sektor penerbangan yang kian sengit dan mencabar.

Bagaimanakah kerajaan merancang untuk merapatkan lagi hubungan dengan AS selepas ini?

Mustapa: Kita memiliki hubungan diplomatik dan ekonomi yang amat baik dengan AS dan ini perlu diteruskan di masa akan datang. AS merupakan antara pelabur dan rakan dagang terbesar Malaysia, jadi kita perlu kekalkan hubungan baik ini.

Buat pada masa ini, Malaysia telah pun mempunyai mekanisme perbincangan dua hala dengan pihak AS berkenaan isu-isu perdagangan dan pelaburan melalui Perjanjian Fasilitasi Perdagangan dan Pelaburan (TIFA), yang melibatkan kerjasama dalam pelbagai bidang ekonomi.
Perjanjian TIFA yang telah ditandatangani pada tahun 2004 boleh dijadikan sebagai asas sekiranya Malaysia berminat untuk melaksanakan FTA dua hala dengan AS pada masa yang sesuai bagi kedua belah pihak. Namun pada masa ini, cadangan FTA dua hala dengan AS ini masih terlalu awal dan perlu dikaji dengan lebih mendalam.