Segera edar ubat murah Hepatitis C
Oleh SM Mohamed Idris
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan syabas kepadakerajaan kerana mengeluarkan lesen berhubung “hak kerajaan” untuk mendapatkan versi generik (umum) ubat Hepatitis C, sofosbuvir, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam kenyataan akhbar beliau pada 20 September lalu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan syabas kepadakerajaan kerana mengeluarkan lesen berhubung “hak kerajaan” untuk mendapatkan versi generik (umum) ubat Hepatitis C, sofosbuvir, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam kenyataan akhbar beliau pada 20 September lalu.
Langkah ini memberi harapan kepada 500,000 pesakit Hepatitis C di
Malaysia dan keluarga mereka kerana akhirnya terdapat ubat yang berkesan
pada harga yang mampu dibeli.
Kami menggesa kerajaan untuk memastikan ubat berkenaan boleh diperolehi
dalam tempoh beberapa hari atau sekurang-kurangnya seminggu dua.
Langkah kerajaan itu sepatutnya boleh menjimatkan antara 95-99 peratus.
Pada ketika ini kos bagi rawatan lengkap selama 12 minggu ialah
kira-kira RM300,000.
Dalam sidang akhbarnya, menteri kesihatan berkata harga terakhir yang
dirundingkan dengan syarikat pemegang paten bagi ubat sofosbuvir ialah
RM50,000.
CAP percaya dengan adanya lesen pemberian kerajaan, penggunaan ubat
generik boleh menurunkan harganya antara RM500 hingga RM1,000 bagi
rawatan lengkap setiap pesakit.
Dalam kata lain, kerajaan dan pesakit boleh menjimatkan kos sehingga
95-99 peratus dengan mengambil ubat versi generik, melalui pengeluaran
lesen kegunaan kerajaan.
Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengeluarkan lesen
kegunaan kerajaan atau lesen wajib bagi sofosbuvir atau mana-mana ubatan
di bawah kategori yang dikenali sebagai “direct acting anti-virals
(DAA)” yang berkesan untuk merawat Hepatitis C. Langkah yang dimulakan
ini boleh menjadi pendorong kepada negara-negara lain untuk
mencontohinya.
Memberikan lesen seumpamanya adalah sepadan dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia dan akta paten di Malaysia.
Kami mengucapkan syabas kepada menteri kesihatan dan rakan-rakan
setugasnya dalam Kementerian Kesihatan dan lain-lain kementerian di atas
langkah berani ini yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada ribuan
pesakit Hepatitis C.
Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar mengambil tindakan susulan
yang sewajarnya untuk mendapatkan ubat sofosbuvir berkenaan dan
menjadikannya mudah diperolehi dalam masa beberapa hari atau minggu,
kerana ribuan nyawa sedang terancam.
Kementerian Kesihatan juga perlu cuba mendapatkan lain-lain ubat
Hepatitis C yang diperlukan untuk digabungkan bersama ubat sofosbuvir.
Selain itu ia juga perlu mengambil langkah untuk mengetepikan batasan
berhubung penjualannya pada harga mampu beli di Malaysia.
Kementerian Kesihatan juga perlu melengkapkan ujian klinikal yang
dijalankan bersama Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), dan
meneruskan kolaborasi berkenaan dengan tujuan untuk menjadikan kombinasi
ubat yang sesuai boleh diperolehi di Malaysia dengan harga sasaran awal
RM1,000 seorang bagi setiap rawatan.
* SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.