https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tingkatkan perjuangan hadapi pilihan raya sukar

Oleh Abu Firdaus 

Banyak orang kata pilihan raya umum ke-14 ini adalah keadaan terbaik bagi menumbangkan Barisan Nasional dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan lebih baik, yang dicita-citakan oleh pembangkang sejak negara ini mencapai kemerdekaan, 60 tahun lalu.

Tetapi dalam pilihan raya pilihan raya lalu saya pernah dengar juga harapan seperti ini. Cuba kira daripada tahun 1986, di mana banyak para pemimpin Parti Amanah Negara turut menghadapinya sebagai anak muda walaupun melalui parti lama mereka iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dalam pilihan raya tahun 1986, dirasakan bahawa kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan kerana pelbagai isu yang ada pada masa itu di samping kesedaran Islam yang meningkat. Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional bertambah dalam pilihan raya umum 1990 apabila UMNO berpecah kepada UMNO Baru dan Parti Semangat 46.

Bagaimanapun dalam pilihan raya umum tahun 1995, harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional sudah pudar kerana Parti Semangat 46 yang menukar namanya kepada Parti Melayu Semangat 46 sudah kurang semangat. Beberapa anggota parti dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat meninggalkan pihak pembangkang dan menyokong Barisan Nasional.

Tetapi dalam pilihan raya umum 1998, harapan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional menjadi besar, lebih besar daripada tahun 1990. Ini kerana UMNO sekali lagi pecah untuk menghasilkan Parti Keadilan Nasional. Bukan itu saja parti-parti pembangkang utama ketika itu, PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP dapat bersatu dalam Barisan Alternatif.

Setelah gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, maka harapan untuk itu menjadi tipis bagi pilihan raya tahun 2004 dan 2008. Walaupun dalam pilihan raya 2008 memberi harapan lebih besar berbanding dengan pilihan raya 2004.

Namun untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dirasa masih tinggal menjadi impian.

Ketika itu DAP sudah keluar Barisan Alternatif, maka tinggal PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti yang menyatukan Keadilan dan PRM.

 Namun dalam pilihan raya itu, parti pembangkang dapat bersatu dengan memberikan pelawanan satu lawan satu menentang Barisan Nasional. Malah Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga mendapat tempat atas rundingannya dengan PKR.

Namun keputusan pilihan raya umum 2008 adalah merupakan tsunami politik yang membuka harapan baharu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Malah selepas pilihan raya itu dirasakan kerajaan Barisan Nasional masih boleh ditumbangkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Pakatan Rakyat dan beliau merancangkan satu kerajaan baharu menjelang 16 September 2008. Kini semua itu tinggal kenangan.

Walaupun Pakatan Rakyat masih dapat bertahan dalam pilihan raya umum itu, tetapi ia terlepas di Perak dan Kedah. Berlaku pula pertandingan tiga penjuru apabila PAS turut bertanding melawan PSM dan PKR di dua kawasan. Tetapi harapan untuk menubuhkan kerajaan alternatif tidak begitu ada.

Kini menjelang pilihan raya umum ke-14, harapan begitu cerah. UMNO berpecah lagi. Yang keluar bukan calang calang orang. Bekas Presiden UMNO, bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Naib Presiden UMNO. Mereka yang keluar UMNO itu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Warisan Sabah. Mereka menyertai pihak pembangkang.

Tetapi pembangkang pun sudah berpecah. PAS berpecah dengan sebahagiannya bersama Amanah.
Pakatan Rakyat pun sudah tiada. Gantinya Pakatan Harapan yang dianggotai Amanah, PKR, DAP dan PPBM. Pertandingan tiga penjuru dengan PAS mungkin berlaku. PAS telah menjadi parti pembangkang yang mesra UMNO.

Tetapi Barisan Nasional sudah lama memerintah iaitu dari tahun 1974. UMNO pula dari tahun 1957 dan diperbaharui dalam bentuk UMNO Baru pada tahun 1987, maka kedua-duanya sudah dirasakan sampai masanya untuk diubah.

Maknanya harapan besar akan berlaku perubahan pada pilihan raya umum ke-14. Tetapi ia tidak semudah itu.

 Oleh kerana perubahan kerajaan tidak pernah berlaku di Malaysia, maka keadaan transisi ini akan ditentang habis habisan dengan apa jua caranya oleh mereka yang masih bergantung kuasa ini.

Bersedia jugalah untuk hilang harapan dan perjuangan Amanah hakikatnya masih jauh.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.