https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bukan BN, bukan Pakatan Harapan tetapi PAS

Oleh Subky Latif 

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU 14) kini kian hampir. Apa yang menjadi persoalan adalah tentang pertandingan tiga penjuru antara PAS, Umno/Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Yang mejadikan ia sedemikian pada kali ini adalah justeru terlerainya persefahaman Pakatan Rakyat parti- parti pembangkang sebelum ini dan keputusan PAS untuk tidak menyertai pakatan pembangkang baharu yang diberi nama Pakatan Harapan. Pakatan parti-parti pembangkang sebelum ini dimulai dengan Barisan Alternatif antara PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM pada hujung tahun 1990-an.

Maka sekalian para nujum politik mengandaikan bahawa pilihan pengundi adalah tertumpu kepada BN dan Harapan. Adapun PAS adalah pilihan ketiga dan antara sebabnya adalah ia dipercayai tidak akan menurunkan lebih dari 100 calon Parlimen dan mensasarkan perhatian yang sangat minima di Sabah dan Sarawak.

Sekalipun sokongan pengundi bukan Melayu BN belum dapat dipastikan akan pulih dan sokongan pengundi Melayu juga belum dapat ditentukan sama ada boleh dipertahankan seperti sebelum ini tetapi ia mengharapkan ia akan beroleh kedudukan yang lebih baik setelah PAS meninggalkan Pakatan atau pun dengan kata lainnya ia telah ditendang DAP keluar dari Pakatan.

Undi popularnya mungkin merosot berbanding PRU 13, tetapi ia dikira bertuah dan boleh berpuas hati sekiranya beroleh majoriti mudah di parlimen dan negeri-negeri.

Politik Umno mengambil pendekatan untuk mengelirukan orang ramai dengan sangkaan kononnya ia sedia bekerjasama dengan PAS. Ia mungkin tidak dapat meraih sokongan penyokong PAS, tetapi jika ada penyokong PAS yang mengalihkan sokongan mereka tentunya ini menguntungkannya.

Politik Pakatan Harapan pula banyak bergantung dengan andaian BN akan bertahaluf dengan PAS. Sekalipun ia menjadikan PAS tidak popular tetapi majoriti penyokong tegar PAS tetap bersama PAS di mana jua ia berada.

Jika PAS bertahaluf dengan BN, maka pertandingan tiga pejuru tidak berlaku. Pertandingan dua penjuru itu adalah di antara BN-PAS dan Harapan.

Jika muafakat itu berlaku penyokong tegar Umno mungkin tidak banyak beralih arah kerana menentang muafakat itu tetapi sebahagian yang tidak dapat bertanding kerana kerusi diberi kepada PAS mungkin berkecuali dan tidak mnyokong calon PAS.

Bagaimana pun majoriti penyokong tegar Umno beserta majoriti penyokong tegar PAS mungkin mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya. Mungkin kerjasama itu tidak sebaik yang dicapai BN pada kali pertama bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum 1974, tetapi ia boleh memberi keputusan yang lebih baik berbanding apa yang dicapai BN dalam PRU 12 dan PRU 13.

Dengan kelahiran Bersatu dan kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam politik bagaimanapun belum tentu dapat memberikan harapan besar kepada Pakatan Harapan jika pertempuran dua penjuru itu berlaku. Pertempuran dua penjuru itu akan hanya mendatangkan harapan besar kepada Pakatan Harapan sekiranya PAS bersama mereka tetapi sekiranya tidak besar kemungkinan harapan itu akan menguncup!

Apapun tahaluf PAS-Umno itu sebenarnya adalah amat payah. PAS tidak akan bersedia menerimanya jika kekuatannya tidak akan terjamin dengan adanya kerjasama tersebut.

Sekali pun ia tidak mengharapkan kekuatan Umno akan berkurangan daripada kekuatannya, tetapi tentunya ia mahu menjadi sama-sama kuat. Tidak ia mahu menjadi lebih lemah dari pihak yang satu lagi, iaitu Umno.

Juga tiada kemungkinan untuk PAS menjadi ketua kepada Umno kerana tentunya Umno merasakan bahawa ia adalah ketua. Oleh itu amat payah bagi PAS untuk bersama sekiranya Umno merasakan bahawa ia adalah ketua. Sudah tentu jugalah calon PAS tidak akan melebihi jumlah calon Umno dan sudah semestinya jumlah bakal menteri yang akan dilantik tidak akan sama banyak jumlahnya.

Pun begitu jumlah MP BN dan menteri BN yang lebih dari PAS tidak menjadikan Umno merasakan bahawa ia adalah ketua dan mempunyai kuasa veto.

Ia adalah satu keadaan yang sukar diterima Umno. Maka sekiranya ia tidak dapat diterima Umno maka tahaluf itu tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu perlawanan tiga penjuru adalah tidak dapat dielakkan sama sekali. Bagaimanapun sekiranya tiada kerjasama dengan mana-mana pihak sebelum pilihan raya, maka ini tidak bermakna kerjasama tidak boleh berlaku selepas pilihan raya. Kerja sama selepas pilihan raya boleh berlaku antara PAS dengan pihak-pihak lain yang menghormati parti tersebut.

Adapun mungkin Umno/BN mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk meraih sokongan dengan kedudukannya sebagai kerajaan sementara semasa pilihan raya. Kerajaan sementara Umno itu tidaklah sama seperti kerajaan sementara di negara-negara dengan penduduk yang tinggi kesedaran madaninya. Kerajaan sementara BN adalah kerajaan sementara yang bukan kerajaan sementara.

Kelebihan itulah yang mengekalkan kuasanya dalam setiap pilihan raya sebelum ini. Peluang itu diperolehinya kerana kefahaman tentang masyarakat madani itu adalah amat rendah. Jika rakyat terus rendah fahaman madaninya, maka mengekalkan Umno/BN dengan Dato’ Seri Mohd Najib Razak sebagai perdana menterinya hanya akan menjadikan negara ber-tambah rosak. Rakyat akan bertambah terbeban dan kehidupan akan terarah kepada apa yang diderita oleh rakyat Indonesia selama ini.

Rakyatnya terpaksa mencari rezeki di negeri orang secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Keruntuhan akhlak akan bertambah. Sebut apa saja; ekonomi, kewangan, pendidikan, bahasa kebangsaan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi maka semuanya sudah menjadi caca merba dan menuju kegagalan.Pengangguran, jenayah, ketagihan dadah, murtad, keruntuhan akhlak, rasuah dan lain-lain juga turut bertambah.BN kini juga sudah tidak berharga.Yang ada hanyalah Umno.

Bagaimanapun Umno juga sudah tdak mampu membawa dirinya. Jika kerajaan tiada maka ia pun tidak wujud. Sebagai contoh Umno Kelantan hanya hidup kerana adanya kerajaan pusat. Umno Selangor dan Umno Pulau Pinang hidup kerana dijaga oleh kerajaan pusat.

Kerana itu Umno amat lemah dari berbagai-bagai sudut. Ia tidak mampu untuk mewujudkan kerajaan yang kuat dan tidak berdaya untuk menegakkan bangsa yang kuat dan berdaulat.

Jika menjelang PRU 14 ini rakyat gagal menjadi masyarakat madani dengan segera maka Umno-BN akan terus kekal berkuasa. Segala-gala tidak menjamin masa depan yang selamat untuk semua.
Pada masa sama Pakatan Harapan juga tidak menjamin harapan untuk semua. Pertama ia tidak dikuasai sepenuhnya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kedatangan Tun Mahathir menjadikan pengaruh dan pimpinan tertumpu kepada Mahathir.

Sama ada Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri ataupun tidak adalah tidak penting kerana selama Anwar belum menjadi Perdana Menteri, maka yang berpengaruh adalah Mahathir.
Mahathir mengukuhkan semula sistem yang hampir runtuh dibawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Sekalipun Mahathir tidak seburuk dan selemah Najib, tetapi Mahathir bukanlah yang terbaik untuk membela Islam dan Melayu. Jika Melayu yang diwakilinya tidak daapt didaulatkannya, maka dia tidak ada keupayaan untuk membela kaum lain.

Rasuah pada zaman Mahathir adalah tinggi sekalipun ia tidak setinggi zaman Najib. Jenayah sudah tinggi walau tidak setinggi sekarang.

Dasar bahasa Melayu menjadi caca marba bermula pada zaman Mahathir dan bertambah buruk pada zaman Najib.Kejayaan graduan Melayu dalam bidang sains, pendidikan, akademik sebelum Mahathir adalah amat membanggakan.

Tetapi dengan dasar pengajian sains dan matematik yang ditukar ke bahasa Inggeris, maka pencapaian keilmuan orang Melayu jatuh berselerak dan runtuh.

Keruntuhan itu semuanya bermula di zaman Mahathir dan jika dia diberikan semula kuasa, maka ia tidak menjanjikan masa depan yang baik juga.

Ketika umat Islam mahu memperkasakan Mahkamah Syariah, maka sekutu-sekutu Pakatan Harapan menolak RUU 355. Harapan mengekalkan dasar DAP iaitu tidak mahu menjadikan isu Islam sebagai dari sebahagian isu yang dipersetujui. Ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak festival arak, Harapan pula membenarkan ia diadakan di Selangor. Jika Harapan diberi kuasa, maka fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dapat dibendung.

Maka pilihan semua dalam PRU 14 ini bukan lagi BN-Umno dan tidak juga Harapan tetapi kepada PAS di mana saja ia bertanding. Jika ia tidak dapat membentuk kerajaan, sekurang-kurangnya kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRU akan ditentukan oleh PAS.




































Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.