https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hidup tanpa rasa sakit

DEXTER CAHILL kelihatan begitu riang saat dia berlari berkejaran bersama rakan-rakan sebaya di taman permainan tadikanya. Malang tidak berbau, kanak-kanak empat tahun itu secara tidak sengaja tersadung lalu jatuh tersungkur di atas rumput.

Dexter tidak berupaya bangun. Kaki kirinya patah, namun dia hanya duduk termangu tanpa menunjukkan sebarang ekspresi wajah.

“Dexter tidak menjerit mahupun menangis kesakitan. Saya fikir dia okey tetapi rupa-rupanya kakinya patah,” kata ibunya, Lindsay.

Mengimbau kembali kejadian itu, wanita berusia 34 tahun itu berkata, selepas menerima panggilan telefon daripada pihak tadika, dia tergesa-gesa memandu untuk melihat keadaan anaknya.

“Sebaik tiba di sana, saya terkejut kerana Dexter kelihatan macam biasa. Dia langsung tidak panik walaupun dikelilingi pasukan paramedik.

“Di hospital, doktor membetulkan kedudukan tulang dan menampal simen pada bahagian tersebut. Dia tidak memerlukan ubat tahan sakit untuk menenangkannya. Apa yang Dexter mahukan hanyalah lolipop,” cerita Lindsay.

Dalam kejadian itu, Dexter mengalami patah pada bahagian tangan, ibu jari, tulang metatarsal dan tulang tibia pada kakinya.

Cabut gigi sendiri

Meskipun demikian, Dexter tidak sedikit pun mengalami rasa sakit. Keadaan aneh itu sebenarnya berpunca daripada gangguan genetik dipanggil neuropati autonomik sensori keturunan jenis 4 (HSAN IV).

Penyakit ganjil itu menyebabkan pesakitnya tidak dapat merasai rasa sakit baik luka kecil mahupun kecederaan parah.

Cerita Lindsay, dia pertama kali menyedari masalah Dexter kerana kanak-kanak itu tidak pernah berasa sakit dan rengsa semasa proses pertumbuhan gigi.

“Sewaktu mula-mula tumbuh gigi, Dexter suka menggesel lidahnya pada gigi sehingga berdarah. Dia juga pernah mencabut tiga batang giginya sendiri. Selain itu, saya juga perasan kesan lebam, calar dan luka pada badannya tetapi dia tidak pernah mengadu sakit,” katanya.

DEXTER langsung tidak berasa sakit semasa kakinya patah dalam kejadian kemalangan di tadikanya.
Dalam kejadian lain, Lindsay memberitahu, Dexter juga tidak mudah berasa sejuk seperti individu normal lain.

“Ada suatu ketika Dexter sedang seronok bermain air di dalam kolam sehinggalah sepupunya datang untuk menyertainya. Sebaik memasukkan kaki ke dalam kolam, sepupu Dexter menyedari bahawa air itu terlalu sejuk dan boleh mengakibatkan hipotermia,” ceritanya.

Lindsay berkata, penyakit tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada Dexter dalam masa panjang kerana kanak-kanak itu tidak menyedari dia berada dalam kesakitan berikutan tidak mengalami rasa sakit.

“Kami perlu sentiasa memastikan suhu di rumah tidak terlalu panas atau terlalu sejuk agar Dexter sentiasa selesa,” ujarnya.

Fungsi saraf

Sementara itu, pakar genetik manusia, Institut Genetik Manusia, Universiti Aachen, Jerman, Dr. Ingo Kurth berpendapat, penyakit HSAN IV amat jarang ditemui kerana hanya menyerang satu daripada 125 juta kelahiran di seluruh dunia.

“Kedua-dua ibu bapa perlu menjadi pembawa gen rosak yang jarang-jarang berlaku untuk mewariskan penyakit ini kepada anak mereka,” katanya.

Menurut Kurth, HSAN IV bermula semasa tempoh kehamilan dan dibezakan menerusi ketidakupayaan untuk berasa sakit serta berpeluh atau anhidrosis.

“Anhidrosis boleh menyebabkan demam berulang dan suhu badan tinggi. Ketidakmampuan untuk merasakan kesakitan pula boleh mengakibatkan mutasi diri yang tidak disengajakan, keretakan berulang serta kerosakan sendi,” jelasnya.

Tambahnya, kehilangan deria pada penderita HSAN IV disebabkan oleh fungsi saraf tidak normal yang mengawal tindak balas terhadap kesakitan dan suhu sekeliling.
https://susukunyitplus.blogspot.my/
















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.