https://critoxium.com/shop/

Terkini

Psikologi Pendidikan DiSebalik Kisah Anak Yang Soleh Dan Toleh


OLEH :DR. AHMAD KAMAL BIN ARIFFIN.

PENDAHULUAN

Tangggungjawab seorang anak ialah mentaati ibubapanya. Diantara keistimewaan anak yang soleh ialah anak yang mendengar kata. Kehadirannya dirumah menenangkan ibubapa. Wajahnya sejuk mata memandang. Bila dia bersuara, kata-katanya baik dan intonasinya sederhana. Anak-anak yang soleh dia tekun menimba ilmu. Dia juga anak yang berdisiplin tinggi di rumah dan di sekolah. Di sekolah, dia disenangi sekalian rakan dan para gurunya. Sebaliknya, anak menjadi negatif sama ada di rumah mahupun di luar rumah kerana hatinya sudah rosak. Jiwanya penuh dengan keinginan untuk bermain, bersosial dan melepak. Ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan jenayah jika tidak dibendung. Perkara ini selalu boleh dibaca di dalam media sosial seperti internet dan akhbar tempatan. Maka terbitlah isu remaja basikal lajak, remaja hedonism, remaja sumbang mahram, remaja membuli, remaja kaki rempit, remaja ponteng, remaja samseng, remaja curi di sana dan di sini.

CABARAN MENDIDIK ANAK- ANAK.

Di dalam pantun Melayu lama, ada merakamkan betapa beratnya tanggungjawab mendidik dan menjaga seorang anak dan ia dinyatakan seperti berikut:
Bawa pinang di dalam raga,
Keluar menjala si anak udang;
Anak seorang bimbang dijaga,
Tidak sama kerbau sekandang.

Anak-anak umumnya tidak boleh dibenarkan bersosial hingga keluar rumah tanpa keizinan ibubapa.

Ia lebih teruk lagi jika anak-anak itu tidak pulang ke rumah dan bermalam di luar tanpa diketahui ke mana dan dimana dia menginap. Justeru, pihak ibubapa wajar bersikap serius untuk membina karakter anak-anak khususnya anak-anak perempuan. Anak perempuan berbeza dengan anak lelaki kerana anak perempuan sifatnya lemah, memerlukan perlindungan yang lebih dan mereka cenderung untuk mudah dieksploitasi oleh lelaki-lelaki diluar sana yang kebanyakannya berniat negatif terhadapnya. Jika tidak dicegah segera, kita takut jadi ibarat kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ambil sahaja peringatan daripada Saidina Ali bin Abi Thalib RA bahawa “Didiklah anak engkau sesuai dengan zamannya kerana zamannya tidak sama dengan zaman engkau”. Maknanya, mendidik anak di alaf baharu kini mesti ada ilmu. Ilmu yang sesuai atau secocok dengan zamannya.

Pada hari ini, terlalu banyak isu dan cabaran anak-anak yang memerlukan kalangan ibubapa celik dan berpengetahuan futuristik agar tidak ketinggalan dengan teknologi komunikasi zaman baharu misalnya;

1. Aplikasi whattapps
2. Facebook
3. Twitter
4. Youtube
5. Emel
6. Live TV
7. Live Chat
8. E Video
9. E Learning

Ibubapa tidak boleh bersikap berserah pada takdir ilahi mahupun oleh didikan guru di sekolah anak semata-mata. Sikap ini jelasnya disebut lepas tangan atau “zon selesa” atau ambil mudah untuk membiarkan sahaja kemajuan teknologi komunikasi massa dunia hanya sekadar dilihat tanpa ada inisiatif untuk mempelajari dan mengawal selia penggunaannya dalam kalangan anak-anak.

KOMUNIKASI INSANIAH DALAM INSTITUSI KELUARGA BAHAGIA

Perintah mentaati ibu bapa serta larangan meninggikan suara dan mengherdik anak-anak jelas dalam al-Quran. Bagaimana seorang anak boleh mentaati ibu bapanya dan memuliakannya sekiranya mereka tidak dididik ke arah itu. Mendidik anak-anak mentaati ibu bapa bukan terletak di tangan para guru dan cikgu sekolah semata. Ibu bapa perlu menerapkan nilai ini semenjak mereka kecil dengan menunjukkan sikap dan contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak sendiri.

Gambaran kita sebagai ibu bapa yang melayan baik datuk dan nenek mereka menjadi cermin dan ikutan untuk anak-anak mencontohinya. Layanan mesra dan sikap prihatin ibu bapa dengan masalah dan persoalan remeh temeh anak-anak menjadi cermin untuk anak-anak menghormati dan mendengar kata ibu bapanya. Ketegasan ibu bapa kepada perkara yang berkaitan agama, keselamatan dan kehormatan menjadi cermin untuk anak-anak lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya. Perkara ini sering ditegas oleh jumhur alim ulama dan motivator di seluruh negara kita.

Allah telah berfirman dan maksudnya;
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’ 4:59).

MEMOHON KEIZINAN IBUBAPA.

Islam amat menitik beratkan peraturan dan disiplin dalam kehidupan. Dalam kehidupan seharian, anak-anak perlu diasuh untuk meminta izin dahulu apabila mahu mengambil sesuatu yang bukan kepunyaannya, memasuki bilik kedua-dua ibu bapa dan memasuki rumah orang lain. Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadikan amalan meminta izin sama ada mahu keluar rumah, jumpa kawan-kawan, pergi tuisyen, pasar, kedai untuk beli-belah, sebagai satu budaya mahmudah (Islamik) dalam keluarga. Apa makna menganut agama Islam tetapi tidak bersikap sebagai muslimin? Para ibu bapa perlu menerapkan amalan meminta izin dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Sekiranya ini telah menjadi amalan semenjak kanak-kanak lagi, lebih mudahlah para ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak dan tingkah laku mereka.

Firman Allah, maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)” - (al-Nuur 24:27).

BERMUSYAWARAH DALAM INSTITUSI KELUARGA.

Ibubapa perlu membudayakan amalan bermusyawarah dalam institusi keluarganya. Berbincang boleh dilaksanakan secara tidak formal misalnya ketika makan tengah hari atau minum petang. Dengan sistem komunikasi yang bersifat terbuka, anak-anak akan berasa selamat untuk berkongsi masalah dan pengalaman, isu personal atau apa sahaja dengan ibubapanya. Banyak khilaf (pendirian silap) dan persepsi salah anak-anak mengenai isu persepsi buruk terhadap tingkahlaku guru di sekolah, kebebasan bermain, bergaul dan mengguna internet atau gadget, boleh dibimbing oleh ibubapa secara tidak langsung. Tindakan sebegini sangat positif dari segi sains tingkahlaku bina konsep kendiri remaja Malaysia.

Allah telah berfirman, maksudnya;
“Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”; (Al-Syura 42:38).

MEMBATASKAN PERGAULAN ANAK-ANAK
.
Adab pergaulan antara kaum lelaki dan perempuan (penting buat pedoman kanak-kanak dan remaja) mesti diberi penekanan oleh ibubapa bagi mengelakkan isu maksiat, zina dan sumbang mahram.

Sejarah Islam membuktikan, bahawa Rasulullah S.a.w. telah memerintahkan para ibu bapa kaum muslimin agar mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila mereka sudah sampai usia baligh.

Ibu bapa boleh merujuk Surah al-Nuur ayat 31 yang menjelaskan tentang 12 golongan yang boleh digauli dengan baik oleh anak-anak gadis mereka.

Menjaga adab pergaulan dalam kalangan anak-anak dan membataskan aktiviti sosial dalam kalangan anak-anak perempuan adalah amat dititikberatkan demi menjada maruah dan keselamatan anak-anak perempuan kita. Jangan jadi ibarat pepatah “Sudah terhantuk ditimpa tangga”. Mencegah lebih baik daripada merawat.

MENDEKATI RAKAN RAKAN SEBAYA ANAK-ANAK.

Ibubapa mesti ambil berat tentang siapa rakan sebaya anak-anak mereka. Diantara perkara yang mesti dilakukan ialah mengetahui siapa nama mereka, ibubapa mereka, dimana rumah mereka, apakah nombor telefonnya dan hobi mereka. Tujuannya adalah untuk menimbulkan kemesraan dan kejelekitan hubungan perorangan yang merentasi sempadan hubungan komunikasi antara ibubapa dan rakan-rakan anak mereka sendiri. Jika perkara ini diambil peduli, insya Allah anak-anak sebenarnya rasa diri mereka dihargai dan dikasihi oleh ibubapa mereka. Apa yang penting, semasa proses sapaan oleh ibubapa terhadap rakan atau sahabat anak-anak itu, ibubapa perlu bersikap rendah hati, bercakap dengan bahasa yang mudah, nada yang rendah dan semacam keanak-anakan juga.

Anak-anak remaja sebenarnya suka ibubapa mereka bersikap “sporting” atau “mesra” sekali sekala. Mengenainya, bahawa Nabi Muhammad Saw ada menyatakan agar ibubapa ummatnya bersikap hikmah dan menjadi teladan mulia kepada anak-anak mereka dalam proses membina akhlak mulia dalam kalangan kanak-kanak muslim.

BERSAMA MEREKA KETIKA KELUAR RUMAH.

Undang-undang Islam telah menunjukkan konsep melindungi dan mencegah anak khususnya anak perempuan daripada gejala negatif misalnya apabila seseorang anak perempuan itu keluar daripada rumah, hendaklah bersamanya ditemani seorang muhrim misalnya bapanya atau abangnya.

Melindungi saudara perempuan kita adalah merupakan adab dan akhlak yang dituntut oleh Allah Taala dalam kalangan ummat Islam. Ianya untuk membina sebuah institusi masyarakat yang selamat dan bebas daripada gejala sosial, penyakit AIDS, kecelaruan ummah dan krisis moral dalam kalangan generasi muda Malaysia. Nilai-nilai ini masih boleh dipertahankan dalam institusi keluarga apabila ibu bapa bersedia mengimbangi antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Jangan biarkan anak-anak menjadi fakir miskin tanpa pembelaan sebelum tiba saat kematian ibu bapanya di hari muka

KESIMPULAN

Proses mendidik anak agar berjiwa rabbani, celik belajar dan berperibadi mulia memerlukan kemahiran, pengetahuan dan penghayatan keagamaan yang tinggi. Hakikatnya ibubapa adalah “role model” kepada kalangan anak-anaknya. Insya Allah, berkat daya usaha yang tidak mengenal putus asa, para ibubapa akan berjaya melahirkan anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat. Jangan pernah berputus asa. Setiap kesulitan hidup pasti menjemput satu nikmat kejayaan pada masa depan.

Insya Allah.
Haraplah selagi bernafas.

Penulis Pengasas adalah Pusat Asuhan Pertiwi Malaysia.
https://susukunyitplus.blogspot.my/
 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.