https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dulu berhenti kerana ideologi, sekarang kerana gaji

Oleh A KADIR JASIN 

Dengan izin sebuah catatan ringkas yang berunsur peribadi mengenai media massa sebagai jawapan kepada komen pembahas ‘Kluangman’ dalam tampalan (posting) bertajuk “Apandi, Sumpah Bohong dan Hipokrasi Orang Islam” tanggal 12 Disember.

Beliau berkata (verbatim): “Saya percaya jika zam, johan jaffar dan dato' sendiri kalau masih kekal atau dilantik semula sejak awal sebagai Ketua Pegarang aau ceo media prima akan mengambil pendekatan yang sama seperti sekarang, berpihak kepada najib !!!” (12:53 AM).
Reaksi saya adalah seperti berikut:
Saya akui semua pengarang dan wartawan wajib ambil kira siapa yang miliki media tempat mereka bekerja melainkan syarikat itu pengarang, wartawan atau pengurusan sendiri miliki. Itu pun mereka wajib patuhi undang-undang negara dan norma masyarakat.

Tapi dalam apa keadaan sekali pun, pengarang dan wartawan wajib ada idealisme dan mengamalkan profesionalisme ke tahap paling tinggi yang mungkin dan terdaya.

Saudara (Tan Sri) Zam aka Zainuddin Maidin (foto, atas)  “dibersarakan” pada awal tahun 1990-an sebagai ketua pengarang Utusan kerana tindak-tanduk pemangku beliau mengenai dakwaan kononnya Tun Dr Mahathir mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu dalam lawatan ke Indonesia.

Setelah disiasat didapati dakwaan itu tidak tepat. Zam, yang ketika itu berada di luar negara, mengambil tanggungjawab dan “dibersarakan”.

(Tan Sri) Johan Jaaffar (Ketua Pengarang Utusan selepas Zam) letak jawatan secara sukarela pada pertengahan tahun 1998 kerana pergolakan politik dalam Umno dan kerajaan.

Ini disusuli oleh (Datuk) Ahmad Nazri Abdullah (Pengarang Kumpulan Berita Harian) yang berhenti secara sukarela juga berikutan pemecatan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Kedua-dua mereka rapat dengan Anwar

. Johan juga akrab dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dilantik jadi pengerusi Media Prima apabila Najib naik jadi PM.

Saya masuk kumpulan NSTP/Media Prima pada tahun 1976 dari Bernama.
 Saya letak jawatan ketua pengarang Kumpulan NSTP pada bulan Jun tahun 2000 kerana saya mendapati sukar hendak jalankan tugas secara profesional dan berlaku adil kepada wartawan NSTP/TV3, khususnya yang dicap sebagai simpatisan Anwar.

Oleh sebab saya tak bersedia bertindak mengikut apa yang dihasratkan oleh pemilik utama maka saya meletakkan jawatan.

Ketika Zam, Johan, Ahmad Nazri dan saya jadi pengarang, jualan akhbar dan audiens TV sedang melonjak naik. Edaran surat khabar memuncak pada tahun 2003/04. Tetapi jualan jatuh secara mendadak dan berterusan selepas itu. Perubahan politik, kemajuan teknologi maklumat dan kelembapan ekonomi memainkan peranan.

Kira-kira empat tahun lalu saya mengunjungi pengurus atasan Media Prima dan NSTP. Mereka anak buah saya ketika saya di NSTP.
Saya kata, saya simpati dengan mereka dan memberi amaran keadaan akan menjadi bertambah buruk bagi mereka akibat ledakan teknologi maklumat, kekangan ekonomi dan dasar editorial yang terlalu partisan.

Saya telah banyak kali meramalkan yang media arus perdana, khususnya milik parti-parti Barisan Nasional, akan berubah hanya jika BN kalah. Selepas BN kalah mereka akan menjadi media antikerajaan.

Sekarang amat sedikit pengarang dan wartawan yang berhenti kerana isu ideologi dan integriti. Mereka berhenti kerana syarikat mereka tak berdaya lagi bayar gaji.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.