https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras

SUNGAI BULOH - Operasi merobohkan rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya pada waktu itu membantah perobohan berkenaan memandangkan penduduk terlibat tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan terbabit.

    "Lepas itu, kita terus usaha dan akhirnya mereka dapat tawaran Rumah Selangorku dan tidak perlu menunggu giliran seperti penduduk lain.

"Dan pada 2 Ogos lepas kita serahkan surat tawaran (Rumah Selangorku) berkenaan dan memberi notis untuk perobohan berkenaan beberapa hari kemudian dengan menetapkan tempoh selama 30 hari buat penduduk mencari rumah sewa lain," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai gesaan 92 orang penduduk terlibat yang meminta agar kerajaan Selangor dapat menangguhkan terlebih dahulu proses perobohan kediaman mereka sehingga akhir tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai perobohan itu, Mohd Khairuddin berkata, ada di antara penduduk yang masih berdegil dan mengharapkan beberapa tuntutan lain daripada kerajaan negeri seperti membayar pampasan deposit sewa rumah serta sewa bulanan.

"Malah mereka juga enggan untuk melengkapkan dokumen tawaran Rumah Selangorku itu kerana mengharapkan pampasan lain.

"Semasa perobohan dilakukan di Kampung Kubu Gajah sebelum ini, tiada sebarang masalah timbul dan penduduk di sana dengan rela hati rumah mereka dirobohkan selepas menerima tawaran Rumah Selangorku," katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, matlamat utama perobohan rumah berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Kedondong dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan ini.

Beliau yang juga merupakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor memaklumkan sekiranya projek itu tidak diteruskan, ratusan rumah di kawasan Paya Jaras akan berdepan isu banjir yang teruk pada setiap tahun.

"Saya pun dalam keadaan tersepit dan sebarang keputusan saya buat perlu memikirkan secara keseluruhan.

"Sistem saliran di Paya Jaras semua kita dah baik pulih cuma fokus saya sekarang adalah untuk selesaikan isu banjir yang membebankan ratusan penduduk setempat di sini," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.