https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kami akan panggil Isa minggu depan, kata polis

PETALING JAYA: Tan Sri Isa Samad akan dipanggil untuk membantu siasatan pemindahan 4 bidang tanah milik agensi itu di Jalan Semarak kerana beliau mengetuai Felda ketika kes itu berlaku pada 2015, kata Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

“Siasatan awal polis mendapati Tan Sri Isa adalah individu penting yang boleh membantu siasatan kes tanah Felda dan minggu depan polis akan memanggil beliau untuk diambil keterangan.

“Beliau sebagai pengerusi Felda ketika itu ada kaitan dengan keputusan melabur, itu mesti (disiasat),” katanya dipetik Berita Harian Online selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman hari ini.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai 1 Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.

Rashid berkata, setakat ini, keterangan lebih 5 individu termasuk pegawai Felda, Pejabat Tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah dirakamkan.

Timbalan ketua polis negara itu berkata, polis turut mengambil dokumen mengenai syarikat terbabit dalam kes itu daripada SSM dan menyiasat proses pertukaran hak milik tanah itu di Pejabat Tanah.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan dan pemalsuan dokumen.

Pada 21 Disember lalu, akhbar itu mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak yang dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi mencurigakan pada 2015.
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (PA) bagi membangunkan tanah itu.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengakui berlaku transaksi 4 bidang tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

Katanya, beliau hanya sedar mengenai pemindahan hak milik tanah itu pada akhir Januari lalu ketika Jabatan Pengurusan Felda memaklumkan 3 perjanjian jual beli tanah terbabit kepadanya.
Sabtu lalu, akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan Synergy Promenade.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.