https://critoxium.com/shop/

Terkini

Usah biar Palestin tinggal sejarah

Baitulmaqdis, kota suci bagi tiga agama iaitu Islam, Judaisme dan Kristian menjadi rebutan di antara Palestin dan Israel dalam konflik berpanjangan yang berdekad lamanya. Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Baitulmuqadis sebagai ibu negara Israel, sekali gus memarakkan kembali api kemarahan umat Islam di serata dunia.

Sejarah menunjukkan, kota Baitulmaqdis dan wilayah di mana letaknya Palestin dan Israel pada hari ini, didiami ribuan tahun oleh masyarakat Yahudi, Arab dan Armenia. Kemakmuran Palestin dan kedudukan strategiknya di pinggir Laut Mediterranean mengundang banyak kuasa besar untuk menjajah wilayah ini.

Ketika zaman pemerintahan Rom di antara 66 hingga 136 Masihi, ramai orang Yahudi diusir keluar dan inilah titik tolak bermulanya diaspora Yahudi. Keadaan ini berterusan ketika berlakunya Perang Salib pada 1099 sehingga wilayah ini diletakkan di bawah pentadbiran Empayar Uthmaniyah yang akhirnya, runtuh pada 1914. Ketika zaman Empayar Uthmaniyah, Palestin adalah kawasan majoriti berpenduduk Muslim.

Selepas kejatuhan empayar Muslim ini, wilayah Palestin ditadbir pihak British, yang menyokong penubuhan negara Israel dalam wilayah Palestin menerusi Pengisytiharan Balfour pada 1917.
Semenjak itu, pemindahan penduduk Yahudi ke Palestin kian bertambah dari tahun ke tahun.

Pada 1936, pihak Arab memberontak ke atas pihak British dan Yahudi. Pentadbir British menubuhkan Suruhanjaya Peel bagi mengenal pasti masalah terjadinya pemberontakan ini. Hasil dapatan suruhanjaya ini menyebut konflik terjadi kerana pihak Arab dan Yahudi ingin mentadbir tanah yang sama.

Palestin dibahagi dua

Bagi mengatasi masalah ini, Suruhanjaya Peel mencadangkan, Palestin dibahagikan kepada dua wilayah, iaitu wilayah negara Arab Palestin dan Yahudi, Israel. Masyarakat Yahudi menegaskan, Palestin adalah tanah tradisi mereka, suatu penyataan yang ditolak keras oleh dunia Arab.

Palestin tidak bersetuju dengan pelan 'penyelesaian dua negara' ini dan melancarkan beberapa serangan yang turut disertai oleh negara Arab di rantau berkenaan. Israel akhirnya meraih kemenangan manakala Palestin kehilangan banyak tanah yang pernah menjadi wilayah mereka.

Seperti Palestin, Tanah Melayu juga mengalami beberapa siri penjajahan oleh pelbagai kuasa penjajah seperti Siam, Portugis, Belanda, Jepun dan British. Kedah pernah diserang dan dijajah oleh Siam antara 1821 hingga 1842 yang mengakibatkan Kedah kehilangan banyak wilayahnya seperti Satun yang kini menjadi milik Thailand.

Pattani juga mengalami nasib sama. Walaupun pernah menjadi sebuah Kesultanan Melayu yang berdaulat, penjajahan Siam pada 1909 menyebabkan wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat pada hari ini diletakkan di bawah kedaulatan Thailand. Sungguhpun pemberontakan terhadap Bangkok masih berlaku, ia tidak merebak menjadi konflik berat seperti sedang berlangsung di Palestin.

Singapura, yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Johor secara rasmi menjadi tanah jajahan British pada 1824. Negeri Melayu yang lain pula secara perlahan-lahan menjadi tanah naungan British bermula daripada Perjanjian Pangkor yang dimeterai pada 1874. Pada ketika ini, pihak British menggalakkan migrasi masyarakat bukan Melayu terutama dari China dan India untuk menampung keperluan dan kepentingan aktiviti ekonomi mereka di Tanah Melayu.

Oleh kerana itu seperti Palestin, Tanah Melayu juga mengalami perubahan demografi etnik yang sangat jelas. Tanah Melayu (atau Malaya/Malaysia) berubah wajah dari wilayah yang diduduki orang Melayu kepada sebuah negara berbilang bangsa dan agama. Akibat penjajahan British, Singapura yang dahulunya wilayah yang ditadbir oleh Sultan Melayu kini menjadi sebuah negara majoriti berketurunan Cina.

Sungguhpun Malaysia negara berbilang kaum, jarang sekali konflik berlaku di negara ini. Senario sangat berbeza dengan keadaan di Palestin. Sifat timbang rasa dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia berketurunan Melayu memungkinkan penduduk bukan Melayu di negara ini diterima sebagai warganegara tanpa banyak masalah menjelang kemerdekaan negara pada 1957.

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dibuktikan dengan data yang dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global yang meletakkan Malaysia antara 30 negara paling aman di dunia pada 2017.

Malah, masyarakat Melayu di Singapura dan Thailand juga boleh menerima kedudukan mereka sebagai masyarakat minoriti walaupun pada asalnya, Singapura dan selatan Thailand secara tradisinya adalah sebahagian dari Tanah Melayu.

Konflik berpanjangan

Konflik Israel-Palestin ini masih berpanjangan. Israel diiktiraf sebagai antara negara paling maju di dunia manakala Palestin masih dibelenggu kemiskinan, kedaifan, keganasan dan peperangan.

Dunia memandang konflik ini sebagai konflik agama hakikatnya, ia bersangkut paut juga dengan nasionalisme kedua-dua bangsa. Masyarakat Arab Palestin perlu mengambil jalan tengah secara diplomasi. Sikap tolak ansur dan toleransi masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat bukan Melayu amnya membolehkan Malaysia wujud sebagai negara makmur. Ini boleh dijadikan contoh untuk Palestin membina semula negaranya
.
Malah, Malaysia tidak pernah bermusuh dengan Singapura, negara tetangga yang pernah menimbulkan ketegangan ketika ia berada di dalam Persekutuan 52 tahun lalu.

Bukan bermaksud menerima kekalahan apalagi mengiktiraf kewujudan Israel. Selama ini, perpecahan dunia Arab dan kelemahan Palestin memberikan ruang untuk Israel menindas dan terus menunjukkan taringnya.

Oleh itu, solidariti negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini yang menyokong Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin adalah suatu tindakan sangat tepat.
Semoga negara Islam terus bersatu hati untuk bersama mendukung kedaulatan Palestin.

Jangan sampai satu hari nanti negara Palestin sekadar tinggal coretan sejarah Asia Barat semata-mata.

Profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.