Kebaikan solat terhadap kesihatan
Oleh DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON
DEWASA ini terdapat segelintir individu Muslim yang langsung tidak peduli tentang kewajipan melakukan solat fardu.
Mereka terkesima dengan tipu daya
kehidupan dunia yang sementara sehingga terlalu sibuk bekerjaya dan
melakukan aktiviti seharian tanpa mempedulikan solat. Sedangkan apabila
diteliti, solat adalah tiang agama dan antara persoalan utama yang
dipertanggungjawabkan pada hari akhirat.
Dalam sebuah riwayat disebutkan: “Sesungguhnya
antara yang pertama ditanya pada hari akhirat ialah solat, jika baik
solatnya maka berjaya dan beruntung, jika rosak solatnya maka gagal dan
kerugian”. (Riwayat Ahmad dan Ashab al-Sunan)
Individu
Muslim yang menjaga solat, apatah lagi dilakukan secara berjemaah juga
dijanjikan ganjaran dan pahala berlipat kali ganda. Ini kerana ketika
solat, seseorang dalam keadaan bermunajat kepada Allah SWT, sekali gus
mempertaut hubungan antara makhluk dan khalik yakni pencipta.
Selanjutnya apabila diteliti, solat bukan sahaja semata-mata ibadat yang
difardukan tetapi mengandungi manfaat yang besar untuk kesihatan tubuh
badan manusia.
Dalam sebuah seminar yang
dianjurkan oleh pihak Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM
Pasir Gudang baru-baru ini, Prof. Ir Dr. Fatimah Ibrahim daripada
Universiti Malaya membentangkan hasil kajian mengenai kesan pergerakan
solat terhadap kesihatan manusia yang dilakukan sejak beberapa tahun
yang lalu.
Menurut beliau ketika mengangkat
tangan dalam takbiratulihram, kuantiti oksigen bertambah dengan banyak
masuk ke dalam paru-paru dan kuantiti darah beroksigen mengandungi
nutrien yang dibawa oleh sel-sel badan turut bertambah. Ini kerana
ketika mengangkat tangan ke paras bahu, bidang dada diluaskan dan tulang
belakang diseimbangkan. Dengan cara ini kapasiti udara dalam paru-paru
akan bertambah secara semula jadi.
Ketika
meletakkan tangan di antara pusat dan dada setelah takbiratulihram,
menjadikan individu yang solat di kedudukan paling stabil dan tenang.
Ini kerana pada ketika itu sendi siku, pergelangan tangan dan otot dalam
keadaan rehat sepenuhnya. Dalam kedudukan itu darah mampu mengalir
dengan lancar, cecair dalam sendi bertambah, bahkan boleh mengelak
risiko diserang penyakit sendi reumatik atau kaku sendi.
Melalui
pergerakan rukuk secara sempurna pula, pergerakan bendalir dalam badan
akan mengalir dengan sempurna. Otot di bahagian depan tubuh mengalami
pengecutan dan otot di bahagian belakang akan mengalami proses
pengenduran. Kedudukan tangan di atas lutut semasa rukuk mampu
menetapkan tulang tempurung pada posisi sebenar. Disebutkan juga,
kegagalan melakukan rukuk dengan sempurna menyebabkan kandungan
kolestrol meningkat, berisiko sakit pinggang dan mengganggu sistem
kardiovaskular atau jantung.
Selain itu,
melalui kaedah sujud dan duduk untuk tahiyat dengan membengkokkan jari
kaki menghadap ke arah kiblat mampu menurunkan kandungan kolesterol
badan serta meningkatkan jisim sel badan kepada paras lebih tinggi.
Berdasarkan kajiannya juga, seseorang yang tidak membengkokkan jari kaki
ke arah kiblat berisiko mendapat penyakit jantung, strok dan kegemukan
akibat pengecutan tisu otot yang kemudiannya dipenuhi oleh gumpalan
lemak badan.
Posisi sujud juga dapat
menguatkan otot leher, tengkuk, lengan dan otot bahu. Ini kerana semasa
sujud, keseimbangan posisi tulang belakang berlaku dan pengaliran darah
beroksigen ke otak bertambah. Hasilnya keupayaan otak untuk berfikir
juga bertambah dan melambatkan proses keletihan otak.
Dalam
pembentangannya juga, Prof. Fatimah turut membentangkan hasil kajian
mengenai solat yang berupaya menurunkan berat badan, merawat masalah
mati pucuk, mencegah penyakit jantung dan merupakan senaman regangan
yang paling efektif dan berkesan.
Sehubungan
itu, tidak ada alasan bagi kaum Muslimin untuk meninggalkan sembahyang.
Malah kesanggupan segelintir yang sanggup berbelanja besar membeli
peralatan senaman mahupun berjam-jam melakukan aerobik dan bersenam di
gimnasium boleh digantikan dengan melazimi solat fardu lima waktu dan
ditambah dengan banyak melakukan solat-solat sunat yang kini terbukti
bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan manusia.
Untuk
tujuan itu juga umat Islam diajak mempelajari kaedah solat yang
sempurna sebagaimana diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW sehingga
diterima dengan sempurna dan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. Ini
dapat dilakukan dengan menghadiri kuliah-kuliah fardu ain yang banyak
dianjurkan oleh pihak masjid dan surau di seluruh negara.
Tanpa
ilmu dan pengetahuan solat yang sempurna, boleh jadi seseorang tidak
beroleh apa-apa daripada solatnya. Lebih buruk lagi apabila dihumbankan
ke dalam neraka akibat tidak bersungguh-sungguh dan lalai melakukan
solat pada waktu yang ditetapkan.
Melalui
kajian-kajian seperti ini terbukti betapa solat mempunyai hikmah yang
tersurat dan tersirat yang membuka peluang penyelidikan dan kajian lebih
mendalam. Ia juga jelas menunjukkan kebesaran dan keagungan Allah SWT
kepada makhluknya dengan mewajibkan solat lima waktu sehari semalam
berserta manfaat untuk kelangsungan kehidupan manusia.






Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.