AGIHAN kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor dan Pulau
Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) tertangguh kerana parti
komponen PKR.
Di Selangor, hanya PKR yang bertegas mengatakan rundingan rasmi sudah
bermula sementara DAP, Amanah dan Bersatu berkata jawatankuasa pun
belum ditubuhkan untuk membincangkan rundingan kerusi.
Di Pulau Pinang, difahamkan bahawa PKR sedang meninjau bahagian kerusi lebih besar, malah termasuk kerusi yang dipegang DAP.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui ada dua versi cerita tentang apa yang berlaku di Selangor.
Bagaimanapun, beliau diyakinkan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali,
yang mengetuai rundingan kerusi di negeri itu sebagai ketua PH negeri,
akan menangani isu berkenaan dalam cara lebih formal minggu depan.
“Tarikh akhir itu berguna tetapi hanya sebagai prinsip asas. Pada akhirnya, semua parti akan perlu lebih fleksibel.
“Perkara ini perlu dilakukan dengan cara tersusun. Kita sebelum ini
berjaya menyelesaikan kerusi persekutuan. Bagi selebihnya, kita perlu
membenarkan proses berkenaan berlangsung, asalkan kita tidak ambil masa
terlalu lama.
“Saya tidak fikir kita perlu begitu tegar. Ia juga membabitkan emosi.
Rakyat tidak sokong kita kerana duit, dan akar umbi bekerja keras untuk
perjuangan ini,” katanya ketika ditemui pada program motivasi pelajar
di Bandar Perda, Pulau Pinang, semalam.
Tarikh akhir untuk jawatankuasa PH menyelesaikan rundingan kerusi
ialah 31 Januari. Bagi yang tidak berjaya diselesaikan, pembahagian
kerusi akan ditentukan oleh kepimpinan pusat.
Nurul Izzah berkata semua gabungan politik berdepan isu pembahagian
kerusi, tetapi turut menyentuh bahawa agihan kerusi di Selangor berbeza
kali ini, dengan bekas sekutu PAS kini tiada lagi dalam pakatan “dengan
pilihan untuk mengukuhkan Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya”.
PAS yang memutuskan hubungan politik dengan DAP dan PKR pada 2015 dan
2017, mengakhiri gabungan lama Pakatan Rakyat, dijangka akan
mencetuskan pertandingan tiga penjuru di banyak kerusi di seluruh
negara, terutama kawasan majoriti Melayu. Penganalisis meramalkan
pertandingan seumpama itu akan memberi kelebihan kepada BN.
Dilaporkan salah satu alasan penangguhan dalam rundingan kerusi ialah
cubaan PKR untuk menarik penyertaan PAS. Dikatakan ada kebimbangan PH
mungkin gagal mempertahankan negeri itu tanpa bantuan parti Islam
berkenaan.
“Semua orang mahu kerusi marginal dan menyatakan hujahan mereka. Ini
normal. Ia politik dinamik.. ia satu proses,” kata Nurul Izzah.
“Kita juga perlu mengingatkan semua orang ini keputusan penting. Kami
turut terkena kesannya. Sudah bertahun-tahun kami di sini, turut merana
seperti ramai yang lain.
“Di hujungnya, kita perlu mengutamakan rakyat. Mereka menunggu tawaran PH pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Nurul Izzah mengakui ia mungkin boleh dikendalikan dengan lebih baik,
tetapi PH juga mahu rakyat untuk faham bahawa gabungan itu sedang cuba
membuat sehabis baik.
PKR dan PAS masing-masing memegang 13 kerusi dalam 56 kerusi DUN
Selangor. DAP ada 14 kerusi sementara Amanah, dua. BN mempunyai 12
kerusi sementara dua lagi bebas.
Rundingan kerusi Pulau Pinang bermasalah?
Sementara itu, di Pulau Pinang di mana DAP mengetuai gabungan itu,
seorang pemimpin PKR memberitahu The Malaysian Insight bahawa rundingan
itu juga menemui jalan buntu kerana DAP enggan menyerahkan beberapa
kerusinya.
Oleh sebab itu, Ketua Penerangan PKR negeri Dr Afif Bahardin berkata partinya juga tidak akan mengalah.
“Jika PKR perlu lepaskan kerusi, kami mahu DAP juga lakukan yang sama
bagi memberi ruang kepada Bersatu dan Amanah. Jika DAP enggan berbuat
demikian, PKR mahu semua 16 kerusinya.
“Penyerahan kerusi ini baik untuk semangat PH. Ia akan membantu dua
lagi parti (Bersatu dan Amanah),” katanya \
Dr Afif, yang juga timbalan ketua Pemuda PKR berkata jika rundingan
kerusi tidak boleh diselesaikan di peringkat negeri, keputusannya akan
diserahkan kepada jawatankuasa nasional.
“Keseimbangan itu berubah sejak Pakatan Rakyat berkubur. Kami ada
empat parti komponen dalam PH sekarang, bukan tiga. Sehingga hari ini,
ia masih jalan buntu,” katanya yang juga exco kesihatan Pulau Pinang.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Pada PRU lalu, DAP bertanding di 19
kerusi, dan menang semuanya. PKR bertanding 16 kerusi tetapi hanya
menang 10.
PAS bertanding enam kerusi, termasuk satu yang mencetuskan
pertandingan tiga penjuru dengan PKR dan BN. Parti Islam itu hanya
menang satu di Permatang Pasir, di mana PH menyerahkan kepada Amanah
untuk bertanding. BN menerusi parti utamanya Umno, dapat 10 kerusi.
Semua kerusi DAP ialah kawasan majoriti Cina dan kerusi campuran
sementara PKR bertanding di kerusi majoriti Melayu dan campuran. Jika
DAP melepaskan kerusinya, ia mungkin akan diberikan kepada PKR, bukannya
Bersatu dan Amanah, parti yang berasaskan Melayu. Kerusi kawasan Melayu
yang tidak ditandingi oleh PKR akan diberikan kepada Bersatu dan
Amanah.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa beberapa kerusi
Melayu di Pulau Pinang akan dibahagikan antara PKR, Bersatu dan Amanah.
Seorang sumber dalaman Bersatu Pulau Pinang berkata partinya dan
parti serpihan Pas iaitu Amanah bersetuju mereka akan bertanding di 10
kerusi yang dipegang BN.
“Kami PH Pulau Pinang sudah bersetujud ari hari pertama bahawa semua
kerusi yang dimenangi pada PRU 2013 tidak akan dirundingkan. DAP boleh
teruskan dengan 19 kerusi dan PKR 10 kerusi sementara Amanah ambil
kerusi PAS.
“Ia dipersetujui sebulat suara. Tidak ada tentang penyerahan kerusi
yang menang. Saya tidak boleh sahkan sama ada PKR benar-benar melihat ke
arah itu,” katanya.
Sumber dari Bersatu berkata tidak mungkin DAP akan menyerahkan kerusi
yang disandangnya, tetapi beliau tetap yakin pembahagian kerusi akan
dapat diselesaikan.
Nurul Izzah turut bersetuju kerusi yang disandang tidak terbuka untuk
rundingan, kecuali kerusi yang dipindahkan mempunyai kekuatan setara
bagi kedua-dua parti.
“Tidak mungkin,” katanya ketika ditanya secara umum adakah PH
mempunyai polisi di mana parti komponen menyerahkan kerusi yang
dimenangi sebelum ini kepada sekutu mereka.
“Ia perlulah kerusi yang kekuatannya sama dan dipersetujui kedua-dua
parti. Anda perlu hormat kerusi yang dimenangi parti berkenaan,”
katanya.
Sementara itu, Setiausaha PH Pulau Pinang Wong Hon Wai daripada DAP
berkata gabungan pembangkang di negeri itu mempunyai jadual sendiri
untuk menyelesaikan rundingan kerusi.
“Kami akan umumkan nanti,” katanya, tanpa menjelaskan tentang perkembangan rundingan itu
(IKLAN: Antara buku-buku terakhir Ahmad Lutfi Othman: Catatan Hujung, Pencuri Pilih Anjing, dan Lorong Sunyi Media Bebas. Sesiapa yang belum memilikinya, dan berminat, boleh hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291, dengan harga istimewa, potongan 50%.)
Rundingan kerusi Pakatan di Selangor, Pulau Pinang bermasalah?
Reviewed by DetikDaily
on
Januari 28, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi selepas hampir 10 tahun melalui pelb...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.