Malaikat kenal orang suka bersedekah
Oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
BOLEH atau tidak memahat nama di langit. Apabila nama terpahat di langit, kita akan dicintai para penghuninya.
Kenyataan ini seakan-akan
mustahil dicapai kerana kita sebagai penghuni bumi tak mampu tinggal di
langit. Bahkan langit terus kekal misteri kepada manusia. Sebenarnya
tiada yang mustahil jika kita mendalami agama. Dalam sebuah hadis
Rasulullah SAW menyebut kisah seorang hamba yang dicintai Allah dan
makhluk langit.
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah
bersabda: “Apabila Allah SWT cintakan seorang hamba, Dia akan memanggil
Jibril dan berkata sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka
hendaklah kamu mencintainya. Maka Jibril cintakan si fulan itu. Kemudian
Jibril menyeru malaikat di langit dengan katanya ‘sesungguhnya Allah
mencintai si fulan itu, maka hendaklah kamu semua mencintainya. Maka
seluruh penghuni langit akan mencintainya. Lalu dijadikan rasa
penerimaan (cinta kepada si fulan itu) kepada penghuni bumi,” - Sahih
Bukhari dan Muslim.
Inilah yang disebut Allah dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang
melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang
ramai (termasuk makhluk langit) perasaan kasih sayang,” (Maryam
[19:96]).
Subhanallah! Jika dikhabarkan ada orang
besar lagi hebat bertanya khabar, pasti anda tersenyum bangga. Kembang
kuncup hidung. Tidur malam dengan senyum simpul membawa mimpi indah. Itu
baru pertanyaan seorang manusia. Bayangkan bagaimana pula perasaan jika
Allah dan makhluk langit yang bertanya khabar atau menyebut nama anda!
HEBATNYA AMALAN BERSEDEKAH
1. Kisah nama manusia di bumi disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya:
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW
pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di
sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan,
“Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!”
Awan itu pun bergerak
lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam. Saluran
air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan
(dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan
menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran
air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa
namamu?”
Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru
didengarnya dari angkasa.
Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba
Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”
Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi
saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu
berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa
yang anda buat dengan kebun ini?” Petani itu berkata, “Baiklah, kalau
anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar
dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya
saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk
modal cucuk tanam),” - Sahih Muslim.
Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai
malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para
malaikat kerana sedekahnya.
2. Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat. Sabda Rasulullah SAW:
Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW
bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba
melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan
kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi
berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan
kedekut) kemusnahan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
3. Bahkan pada Ramadan, Jibril
lebih banyak menemui Rasulullah SAW. Berikutan lawatan lebih masa Jibril
itu, Baginda menjadi seorang yang sangat pemurah bersedekah pada bulan
berkenaan, seolah-olah Baginda mahu menggembirakan Jibril yang sangat
suka kepada sifat suka bersedekah:
“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah
(melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan
ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril
mengulang kaji al-Quran dengan Nabi pada Ramadan. Baginda benar-benar
pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” -
Sahih Bukhari.
4. Selain dicintai para malaikat,
faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia
menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada
yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak
bersedekah:
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian
daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang
daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada
saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya
kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang
sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi
daripada orang yang soleh,” (al-Munafiqun [63.10]).
5. Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya
Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara
hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang
kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua
sebaik-baik pemberi rezeki,” (Saba’ [34:39]).
Benar sekali firman Allah ini, sedekah
pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas. Ada pahala, ada syurga,
ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang
harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita.
Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat
kerana doa mereka.
Oleh itu, marilah kita sama-sama
menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah
dan dikenali oleh para malaikat. Amin!
Sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.
- Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita.
- Apabila dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.
- Oleh itu, marilah bersama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali para malaikat. Amin!





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.