Betapa tidak! Pemimpin politik apalagi yang dinamakan sebagai ‘Perdana Menteri sementara’ mesti ada integriti. Integriti dituntut ialah harus ada kejelasan dalam perjuangan politik. 

Jelaskah perjuangan politik Dr. Mahathir sekiranya suatu ketika dahulu mengkritik DAP sebagai parti rasis dan anti-Islam tiba-tiba memeluk Lim Kit Siang sebagai rakan seperjuangan dengan niat menumbangkan UMNO parti yang didukungnya sekian lama dan menjatuhkan kerajaan di­pim­pin Najib?

Berintegritikah Dr. Mahathir yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dengan masalah moral kemudian dalam Perhimpunan Agung PPBM baru-baru ini memohon maaf kepada khalayak kesilapan beliau lakukan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri?

Betulkah kenyataan Dr. Mahathir menuduh mufti-mufti kafir dalam isu Memali dan ia tuduhan keterlaluan sedangkan beliau pada waktu itu dikatakan berada di Kuala Lumpur dan masih me­ngurus kerajaan sebaliknya beban Memali dipikul oleh Musa Hitam (kini Tun). 

Semakin banyak Dr. Mahathir membuat kenyataan semakin bertambah beban Pakatan Harapan. Kenyataan yang memberi harapan tidak ada. Bagaimana Pakatan Harapan boleh menguasai Putrajaya sedangkan pengundi dan khalayak tidak boleh diperbodohkan dengan kenyataan melulu dan patah balik yang menjelikkan?

Cadangan menjadikan Dr. Mahathir ‘Perdana Menteri se­men­tara’ sekiranya Pakatan Pem­bangkang menang belum ten­tu dipersetujui Anwar. Di mahkamah, Anwar masih boleh bersalaman dengan Dr. Mahathir kerana muslihat politik tetapi menerima Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang di luar tabie.

Dr. Mahathir terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri. Mugabe dari Zimbabwee yang sebaya de­ngannya sudah mengundur diri. Menjadi Perdana Menteri untuk membalas dendam bukanlah suatu budaya Melayu dan Islam.

Cita-cita Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semula membayangkan seolah-olah pakatan pembangkang tidak mempunyai calon berintegriti untuk memegang jawatan itu. Dalam PAN terdapat ramai orang Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang berbakat. 

Dalam PKR juga ramai orang ABIM berpotensi. Apakah mereka sanggup menerima Dr. Mahathir yang ditentang­nya sekian lama menjadi Perdana Menteri untuk membawa perubahan demokratik di Malaysia?

Selama 22 tahun memerintah Malaysia Dr. Mahathir pernah dituduh tidak demokratik. Musuh-musuh politiknya di ‘ISA’kan. Bagaimana Dr. Mahathir boleh memimpin Malaysia dalam kea­daan demokratik sedangkan ke­nyataan politiknya akhir-akhir ini tidak menggambarkan sifat telus dan matang.

Ahli politik yang berdendam bukanlah ahli politik baik. Dendam politik adalah suatu pe­nyakit kronik. Seseorang mencari jalan dan cara tidak sah atau batil untuk menjatuhkan musuh politiknya. Soal apa yang orang kata tentang dirinya tidak peduli. 

Orang ini sanggup berkawan dengan musuh tradisinya dan berkawan dengan pihak luar yang dibidasnya dulu semata-mata untuk melampiaskan dendam kesumat yang terlalu mendalam.

Khalayak menilai apa yang Dr. Mahathir lakukan. Orang Melayu memang terkejut dengan helah politik beliau terkini. Untuk orang Melayu menjatuhkan kerajaan dan melihat orang Melayu hilang kuasa bukanlah suatu hal mudah. 

Walaupun sebahagian daripada mereka berasa tidak puas hati dengan kerajaan tetapi meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan yang didominasi DAP bukanlah jawapan terbaik.

Orang Melayu umumnya masih sedar bahawa pentingnya kerajaan yang terasnya orang Melayu di Malaysia. Mereka tidak mahu masa depan anak-anak di­urus oleh kelompok cauvinis dan rasis dalam politik dan anti-Islam dan menjadikan PKR dan PAN untuk diperkuda.

Oleh itu kehadiran Dr. Mahathir dalam memimpin Pakatan Harapan adalah suatu beban kerana watak beliau semakin melalut dan bercelaru dan tidak memungkinkan dapat sokongan rakyat. 

Dijangka dua tiga bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Dr. Mahathir akan membuat banyak lagi kenyataan politik yang lebih menyempitkan peluang Pakatan Harapan untuk menang. 

Kenyataan patah balik Dr. Mahathir dan politik dendamnya dengan tuduhan melampau terhadap musuh politik dan orang lain menyebabkan khalayak semakin meluat dan tidak lagi ya­kin Dr. Mahathir bakal membawa jalur politik yang siuman.

Bagi Pakatan Harapan ­me­letakkan Dr. Mahathir sebagai lambang kemenangan PRU-14 adalah suatu kesilapan besar. Pemimpin yang patut ditonjolkan ialah yang mempunyai integriti tinggi sedangkan rekod Dr. Mahathir masa lalu apa lagi kini integritinya dalam persoalan.

Menjadikan Anwar sebagai tokoh masa depan juga satu kesilapan. Pengaruh Anwar mungkin masih ada dalam kalangan pendukung PKR tetapi khalayak semakin tahu siapa sebenarnya Anwar. Cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri hanya suatu impian semata.

Mendepani cabaran politik masa depan bagi Malaysia memerlukan daya kepimpinan dan kepengikutan jelas hala tuju perjuangannya. Rekod perjuangan masa lalu bagi Malaysia telah mampu membawa Malaysia ke tahap yang kita lihat pada hari ini. Perjuangan kerana agama, bangsa dan negara menjadi inti perjua­ngan kini dan selamanya.

Tanpa asas ini Malaysia bakal menempuh bahaya perpecahan dan hilang kuasa seperti yang berlaku di banyak negara Islam lain. Bercita-cita untuk menumbangkan kerajaan suatu hal tetapi menampilkan sebuah kerajaan baharu yang mampu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara menjadi hal yang amat mustahak.