Ada apa dengan Pakatan Harapan Kedah?
Oleh
SEKITARNYA, masih
berkaitan masalah pembahagian kerusi yang gagal dimuktamadkan di
peringkat negeri sehingga terpaksa dibawa ke peringkat pimpinan
tertinggi Pakatan Harapan diketuai DAP. Apa pun, ini bukan sesuatu yang
mengejutkan kerana perbalahan sesama parti sekutu pembangkang berkaitan
pertindihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah lama
dirasai, ibaratnya berlindung di sebalik telunjuk.
Malah, bukan rahsia lagi apabila
kalangan pemimpin pembangkang negeri ketika ini mengidam kerusi Menteri
Besar di Wisma Darul Aman atau merasai nyaman udara pagi di kediaman
rasminya, di Seri Mentaloon Alor Setar. Jadi percaturan untuk meletakkan
calon parti masing-masing harus ke depan. Masing-masing mahu bertanding
banyak kerusi.
Khabarnya, Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan
Harapan pernah diadakan sebelum ini untuk membincangkan masalah
pertindihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, namun masih tidak
selesai. Ibaratnya, pi mai, pi mai tang tu juga masalah sama berbangkit
apatah lagi menjelang PRU-14 ini isu ini menjadi bertambah panas.
Difahamkan
empat kerusi DUN menjadi rebutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
PKR, DAP dan PAN iaitu Guar Chempedak, Gurun, Kulim dan Pantai Merdeka.
Kerusi berkenaan ada yang tradisi
ditandingi oleh sekutu masing-masing dalam PRU-13 namun kini cuba
dirampas, termasuk Gurun yang ditandingi PKR pada PRU itu tetapi
untuk PRU-14 diintai pula oleh DAP dan Kulim yang pernah ditandingi
PKR, kini PPBM juga mahukan calonnya di situ.
Begitu
juga dengan PAN, hasrat mahu bertanding di Guar Chempedak dan Pantai
Merdeka yang ditandingi Pas dalam PRU-13 tidak kesampaian apabila PPBM
turut merasakan kononnya pengaruh mereka hebat di DUN itu lantas
mahukan kerusi tersebut.
Mesej jelas
daripada pertindihan kerusi oleh PPBM, PKR, PAN dan DAP ini jelas
menunjukkan Pakatan Harapan Kedah ini tidak mempunyai persefahaman
kerana mementingkan kuasa semata.
Ini bukan
sekadar mendedahkan sikap tamak haloba kerana merasakan diri
masing-masing bagus serta berpengaruh, perbalahan itu juga menunjukkan
parti-parti pembangkang tidak mempercayai antara satu sama lain.
Masing-masing cuba membuktikan siapa yang hebat.
Untuk
rekod, pada PRU-13 pembahagian kerusi untuk pembangkang Kedah adalah 24
untuk Pas, PKR (10) dan DAP (dua). Sesuatu yang pasti dengan
tersingkirnya Pas dan lahirnya PPBM serta PAN hanya menambah parah
krisis dalaman pembangkang di Kedah.
PKR
kini masih tidak mahu berganjak daripada hasrat mereka yang mahukan 16
kerusi berbanding 10 yang ditandingi mereka sebelum ini barangkali juga
kerana mereka adalah senior dalam pakatan itu.
Walau
bagaimanapun, pada masa sama PPBM seolah-olah bulat mahu dominan dalam
Pakatan Harapan Kedah setelah merasakan sekutunya seperti PKR dan DAP
hanya picisan di negeri ini melihat kepada rekod masing-masing pada
PRU-13. Dalam PRU-13, PKR hanya memenangi empat kerusi, DAP (dua) dan
Pas (sembilan).
Di sebalik keghairahan
Pakatan Harapan untuk menawan Kedah, banyak pemerhati politik
berpandangan bahawa ia bukan semudah yang mereka jangkakan. Apatah lagi
propaganda pembangkang ketika ini hanya berbaur hasutan dan politik
kebencian tanpa memberi keyakinan sejauh mana mereka mampu menjamin
kemajuan negeri ini melainkan cuma menyebarkan manifesto bak berada di
kayangan.
Selain itu, masalah dalaman parti
itu menjadikan pembangkang terkebelakang dalam soal menjaga kebajikan
orang Kedah dan ia barangkali kerana masing-masing tidak ikhlas berbakti
dan masih mahu menunggu sehingga calon parti mereka diletakkan di
kawasan itu.
Situasi sama melanda DUN Ayer
Hitam disandang Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang
kebelakangan ini dilihat lebih banyak menghabiskan masa di luar
kawasan seperti Selangor.
Melihat situasi
pembangkang Kedah itu, apa yang pasti masing-masing berkecamuk dan
hilang arah. Namun ajaibnya, masih berangan mahu menakluk Kedah dan
natijahnya, kelak nasib siapakah yang akan diperjudikan?-U/M









Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.