https://critoxium.com/shop/

Terkini

Memori silam tidak boleh dipadam




 Oleh


MANUSIA adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh ALLAH SWT. Manusia dicipta dengan begitu unik dan pelbagai. Namun setiap manusia secara asasnya telah diberikan hati dan perasaan serta akal bagi membantu mereka untuk meneruskan kehidupan atas landasan yang betul dan benar.

Tidak cukup dengan itu, kita semua telah diberikan pedoman dan petunjuk yang jelas ALLAH SWT.
Cuma kita sahaja yang gagal mengikuti pedoman dan petunjuk tersebut dengan yakin dan betul.

Di antara keunikan manusia, kita diberikan kemampuan dan keupayaan untuk menyimpan segala memori semenjak dari kelahiran sehinggalah sekarang. Segala memori kita adalah bersangkutan dengan lima deria ciptaan Tuhan iaitu; melihat, mendengar, menyentuh, merasa dan bau. Apa yang jelas kesemua deria tersebut adalah sensitif dengan persekitaran dan juga peristiwa di mana akhirnya membentuk memori yang pahit atau manis dalam kehidupan kita.

Baru-baru ini, saya telah diajukan pertanyaan oleh seseorang menerusi media sosial berkaitan memori pahit yang sukar dilupakan olehnya semenjak 30 tahun lalu. Setiap kali beliau cuba untuk melupakan peristiwa berkenaan, maka setiap kali jugalah peristiwa tersebut mencengkamkan dirinya sehingga beliau menjadi tidak tenang dan selesa.

 Kes sebegini telah mengingatkan saya sewaktu mengendalikan sesi kaunseling dengan seorang klien sebelum ini. Beliau juga menghadapi masalah sama iaitu tidak dapat melupakan memori pahit bertembung dengan suaminya yang berpegangan tangan dengan wanita lain dalam sebuah restoran sewaktu makan tengah hari. Reaksi suaminya juga terkejut dengan pertemuan tersebut. Walaupun begitu beliau dengan tenang keluar dari restoran berkenaan untuk balik ke rumah.

Namun impaknya cukup besar, sehinggakan pernah ada ketikanya, beliau sesak nafas setiap kali waktu tengah hari kerana mengingatkan peristiwa berkenaan. Klien saya juga meminta bantuan yang sama iaitu, untuk mendapatkan kaedah yang terbaik bagi memadamkan memori pahit berkenaan supaya tidak mengganggu hidup beliau.

Sebetulnya dalam keadaan normal, semua memori kita tidak boleh dipadam kecuali kita menghadapi pelbagai jenis penyakit dan kecelakaan yang melibatkan bahagian otak. Secara analoginya, bahagian dalaman otak kita umpama sebuah trampoline iaitu sebuah alatan gimnastik di mana semakin kuat kita melompat di atasnya maka semakin tinggi kita akan melambung ke atas.

Ini bermakna jika kita semakin memikirkan memori-memori pahit yang berada di dalam minda kita, maka semakin terganggulah diri kita. Oleh itu, cara yang terbaik agar memori tersebut tidak mempengaruhi kita adalah dengan mengakui dan menerima bahawa memori pahit tersebut telah menjadi sebahagian kehidupan kita.

 Apa yang penting, kita harus belajar bagaimana untuk mengelak diri kita daripada menerima impak yang kuat daripada memori berkenaan. Sebelum itu, kita juga harus tahu kenapa memori pahit tersebut secara tiba-tiba boleh muncul dan mempengaruhi emosi negatif kita.

Menurut pakar psikologi, setiap hari kita akan dipengaruhi oleh trigger atau pencetus yang boleh memberikan impak yang positif atau negatif kepada kita. Sebagai contoh, jika kita sedang menonton filem yang sedih, kadangkala menjadi pencetus kepada ingatan peristiwa yang sedih semasa kita kecil dan akhirnya menjadi semakin berangkai dan membongkarkan semula memori pahit yang kita pendam selama ini.

Persoalannya, adakah kita perlu mengelak menonton cerita yang sedih supaya tidak mendorong cetusan yang negatif kepada kita?. Jawapannya, tiada masalah dengan cerita berkenaan. Apa yang menimbulkan masalah ialah kita gagal menangani cetusan berkenaan dengan baik.

Sebetulnya, bagi memastikan memori pahit tersebut tidak mengganggu diri, kita harus mengembangkan lagi memori manis yang berada dalam kehidupan kita. Secara prinsipnya, dalam apa jua keadaan kita sebenarnya mempunyai memori manis yang berganda banyaknya berbanding dengan memori pahit. Kegagalan kita ialah, terlalu memberi fokus kepada memori pahit berbanding yang manis.

Terdapat banyak cara untuk mengembangkan emosi positif kita. Apa yang penting kita perlu tingkatkan lagi hubungan sosial dengan masyarakat. Pilihlah kawan-kawan yang positif mindanya. Jauhkan rakan-rakan yang suka meracuni dan menyentap perasaan kita.

Malah terdapat saranan yang diberikan oleh pakar-pakar psikologi agar kita cari kawan yang begitu memahami dan boleh berkongsi segala peristiwa pahit dan manis secara bersama bagi menambahkan lagi aura positif dalam diri kita. Walaupun begitu, mendekatkan diri dengan pencipta-Nya banyak membantu merungkaikan jiwa yang kusut. Jangan hanya bermusim, lakukan secara istiqamah.-S/H
http://detikoffline.blogspot.my/2018/02/membebaskan-media-minda-sama-sukar-sama.html
http://madu3kurma.com/
https://susukunyitplus.blogspot.my/
 http://madu3kurma.com/

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.