Keindahan ‘ideologi’ politik Islam
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
ARTIKEL ini sebagai menjawab salah faham daripada inti pati pada Dialog Presiden PAS bersama NGO India pada 4 Februari 2018 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.
ARTIKEL ini sebagai menjawab salah faham daripada inti pati pada Dialog Presiden PAS bersama NGO India pada 4 Februari 2018 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.
Tidak sunyi dari serangan
Sejak PAS ditubuhkan, parti tertua
negara ini tidak pernah sunyi dengan serangan musuh politik.
Bermacam-macam peluru cuba dibenam ke dalam jasad PAS. Ada juga anggota
PAS yang tersungkur dengan peluru-peluru tersebut, keluar menubuhkan
wadah baru atau bersama wadah musuh. Tetapi tuhan takdirkan PAS tidak
pernah terkorban dengan serangan itu. Malah mereka pula yang menanggung
rugi kerana sentiasa kehabisan peluru.
Kali ini mereka beroleh peluru baru
untuk membantai PAS iaitu isu dua kabinet. Sudah menjadi kerja mereka,
kalau tak cari salah PAS maka tidak ada maknalah mereka terlibat dalam
ruang politik. Berkecimpung dalam politik Malaysia bermaksud wajib
serang PAS.
Kenapa mereka tidak kemuka cadangan
solusi untuk membantu negara? Sebab bagi mereka politik bukan untuk
mencari solusi, tapi untuk menghentam orang sahaja. Bila orang yang
dihentam jatuh, merekalah yang akan naik.
Apa mereka nak buat bila naik? Tak penting. Biarlah apa nak jadi pada negara. Yang penting dapat kuasa.
Sambutan India kepada PAS
Ucapan Presiden PAS yang diputar belit
itu adalah sebahagian dari pengisian PAS dengan komuniti India di Hotel
Seri Malaysia Pulau Pinang pagi 4 Februari lalu. Sambutan yang diterima
sangat hebat. Dewan penuh. Penonton live facebook mencecah
14000 orang, atau mungkin lebih jika dikira secara unik. Sesi soal
jawab meriah dengan berbagai respon yang mengharapkan PAS mampu membawa
perubahan untuk kaum mereka.
Walaupun Pulau Pinang dikenali sebagai
kubu kuat DAP, sambutan kaum India memberikan signal bahawa DAP dalam
bahaya. Seandainya PAS mampu menjadi platform atau faktor penyatu
kepada semua pihak yang tidak berpuas hati dengan urus tadbir pincang
DAP termasuk bangsa Cina sendiri, tidak mustahil maruah DAP akan
terlondeh di satu-satunya negeri harapan mereka.
Dua Kabinet rekaan media
Berhubung dua Kabinet, tidak ada satu
pun ayat yang keluar dari mulut Tuan Guru menyebut terma tersebut.
Kenyataan beliau yang dikelirukan adalah dari penjelasannya tentang
kandungan kitab _Ahkam Sultaniah_ yang ditulis oleh Imam Mawardi. Beliau
menjelaskan bahawa Islam membahagikan peranan Badan Eksekutif iaitu
Kabinet atau Jemaah Menteri kepada dua bentuk iaitu Wizarah Tafwidh dan Wizarah Tanfiz. Wizarah Tafwidh adalah Menteri yang berkuasa menentukan dasar umum dan polisi yang berkait dengan kedaulatan dan hala tuju depan negara. Wizarah Tanfiz pula
adalah Menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan perlaksanaan
(eksekutif) terhadap dasar-dasar kerajaan dan undang-undang negara.
Ia bukan sistem Kabinet baharu yang
perlu dibentuk. Kerajaan yang dibentuk oleh BN selama ini sudah
mengamalkan pembahagian sedemikian tetapi bukan atas dasar agama,
sebaliknya lebih kepada kedudukan kaum. Ada Kementerian yang perlu orang
Melayu pegang, ada Kementerian yang wajar diberikan kepada Cina dan
begitu juga India, dan wakil etnik Sabah dan Sarawak. Bukan sesuatu yang
pelik.
Kesemua Menteri samada Tafwidh atau Tanfiz berada
di dalam satu kabinet yang sama dikenali sebagai Jemaah Menteri.
Sebarang perkara yang memerlukan keputusan bersama akan turut melibatkan
Menteri bukan Islam. Keputusan Menteri adalah tanggungjawab bersama (collective responsibility) setiap anggota Kabinet.
Bukan Islam jadi Menteri
Tujuan perbincangan ini dimasukkan dalam Ahkam Sultaniah adalah bagi memberikan tempat kepada bukan Islam untuk terlibat dalam pemerintahan negara iaitu pada kumpulan Wizarah Tanfiz, sesuai dengan waqi'
beliau dalam masyarakat berbilang agama di Iraq. Dari segi prinsip,
pemisahan ini perlu agar kita jelas di mana batas-batas penglibatan
bukan Islam di dalam sesebuah pemerintahan bagi menjamin ideologi
negara.
Mengikut Kabinet yang ada sekarang, hanya beberapa portfolio yang berada di bawah klasifikasi Wizarah Tafwidh seperti
Menteri Ekonomi, Pertahanan, Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Luar dan
Pendidikan. Adapun yang lain, kebanyakannya bersifat Wizarah Tanfiz.
Ini bermakna Islam membuka ruang yang besar di dalam kepada bukan Islam
untuk turut bersama di dalam pentadbiran sekiranya mereka memiliki
merit yang sepatutnya sebagai seorang Menteri.
Senang cerita, apa yang Presiden PAS
cuba sampaikan adalah bagi menjelaskan bahawa Islam membenarkan orang
bukan Islam terlibat dalam pentadbiran. Tidak sama dengan sistem
teokrasi ataupun negara Mullah, negara Taliban atau Islamic State
yang dibawa IS yang tidak menepati fikah Islam. Malangnya musuh politik
PAS pantas memainkan isu kononnya PAS telah melakukan diskriminasi
terhadap penganut agama lain.
Keterbukaan Islam dari idealogi lain
Jika difahamai secara lebih murni, Islam
merupakan satu-satunya 'ideologi' perjuangan yang membenarkan penganut
ideologi lain bersama di dalam pentadbiran negara. Mengikut amalan
negara-negara maju lain, jika Parti Liberal memerintah, semua Kabinet
akan dipilih dari mereka yang berideologi Liberal bagi memastikan
Liberalisme menjadi ideologi negara. Jika Konservatif memerintah,
seluruh menteri Kabinet adalah pejuang Konservatisme. Begitulah dengan
Komunisme, Sosialisme dan Fasisme.
Jika ada yang sedikit terbuka seperti di
UK, paling tinggi pihak berlainan ideologi hanya berada di tahap ketua
jabatan sahaja. Tidak di peringkat Kabinet, melainkan jika pembentukan
kerajaan berlaku dengan gabungan beberapa parti.
Inilah apa yang cuba dijelaskan oleh
Tuan Guru Presiden berkenaan akidah negara. Akidah merujuk kepada
ideologi dalam bahasa arab.
Policy Maker dan Decision Maker
Seperkara yang mungkin tidak disedari adalah, pemisahan antara wizarah tafwidh dan tanfiz hanya
berlaku di dalam Badan Eksekutif. Di badan Legislatif iaitu Parlimen,
Islam turut membenarkan bukan Islam terlibat dalam mesyuarat bahkan
mempunyai suara dalam menggubal atau meminda undang-undang dan
perlembagaan. Rasulullah S.A.W telah menunjukkan perkara ini apabila
kalangan Yahudi yang minoriti turut dijemput sebagai 'panel penggubal'
piagam Madinah selain dari musyrikin Arab sendiri.
Begitu juga di Badan Kehakiman, oleh
kerana Islam menerima amalan dua kepelbagaian set undang-undang
sebagaimana yang sudah diamalkan di dalam negara menerusi sistem federalisme,
Islam turut membenarkan hakim dilantik dari kalangan bukan Islam bagi
kes-kes yang tidak melibatkan orang Islam. Bagi jawatan peguam dan
pengamal undang-undang lain juga, tidak ada masalah bagi bukan Islam
terlibat.
Audiens jelas, orang luar pula keliru!?
Sekiranya kita berada di dalam dialog
tersebut, tentu sekali kita akan jelas bagaimana rahmatnya 'ideologi'
Islam yang dibawa oleh PAS untuk semua kaum dan agama. Walaupun sesi
soal jawab rancak dengan persoalan, tetapi tidak ada satupun soalan yang
ditimbulkan berkenaan wizarah itu. Menunjukkan mereka tidak ada
masalah dari sudut itu. Polemik ini timbul selepas laporan media
disebarkan oleh portal-portal yang tidak bertanggungjawab.
Malangnya yang menimbulkan kekeliruan
adalah orang Islam sendiri. Lebih menyedihkan, ia dijaja oleh kalangan
agamawan dari parti PKR, PAN dan juga yang mendakwa diri sebagai ahli
akademik Islam dan pendakwah bebas tetapi sentiasa bias ke atas PAS.
Mustahil mereka yang sudah ditahap PhD tidak pernah membaca Ahkam Sultaniah yang begitu masyhur itu. Mustahil mereka tidak faham apa itu tabayyun bila didatangi sebarang berita.
Martabat bahasa Ibunda
Suka untuk saya kongsikan, antara
perkara menarik yang dijelaskan oleh Tuan Guru Presiden di dalam dialog
adalah nasib pendidikan kaum India. Mereka mengeluh dengan tahap
pendidikan kaum mereka yang masih lemah kerana SJK India hanya di tahap
Sekolah Rendah sahaja. Menyebabkan ramai generasi India tidak mampu
kedepan kerana tidak menguasai bahasa kaum lain.
PAS memberikan komitmen untuk menangani
masalah ini kerana PAS percaya, untuk mengilmukan sesuatu bangsa mesti
dengan bahasa mereka sendiri. Perkara ini bertepatan dengan dapatan
UNESCO yang menunjukkan bahawa pembelajaran dalam bahasa asing gagal
mengilmukan sesuatu bangsa. Negara patut belajar dari sejarah Islam, dan
juga mencontohi dasar pendidikan berkait dengan bahasa di Jepun,
Jerman, Perancis, China dan lain-lain. Mereka maju dengan bahasa ibunda
masing-masing.
Dialog Interfaith
Di dalam dialog ini, Presiden
menyampaikan mesej akidah Islam dengan sangat harmoni. Beliau
menerangkan konsep ketuhanan Islam yang menolak penyembahan
patung-patung dan batu walaupun di hadapannya adalah penganut Hindu.
Beliau turut berkongsi beberapa kaitan agama Islam syariat terdahulu
dengan Hindu seperti asal usul Brahma, Shiva dan upacara bakar mayat.
Beliau tidak sesekali bersikap apologetik menyembunyikan kebenaran Islam demi menjaga hati orang kafir.
Dalam waktu yang sama, beliau
menjelaskan bahawa Islam tidak memaksa seseorang meninggalkan agama
mereka. Islam mesti dianut dengan kerelaan dan kesedaran. Bahkan Islam
menjaga hak-hak agama lain dengan membenarkan mereka mendirikan
rumah-rumah ibadat dan mengamalkan upacara mereka selagi tidak melampaui
hak asasi manusia.
Untuk maklumat semua, Kelantan telah
memperkenalkan elaun untuk Sami-sami yang menjaga rumah ibadat di sana.
Satu perkembangan yang baik dalam menggambarkan penghormatan PAS
terhadap agama lain.
Demokrasi wasilah dakwah
Majlis tersebut benar-benar membuktikan
PAS memanfaatkan wasilah politik bagi tujuan dakwah. Ruang demokrasi
yang diberikan ini diolah bagi menguntungkan Islam bukan sekadar bagi
mencapai matlamat kuasa sahaja.
Perkongsian Presiden PAS sama
sepertimana siri-siri kuliah Dhuhanya di Rusila. Cuma lebih fokus kepada
info-info yang wajar diketahui kaum India. Menunjukkan bahawa apa yang
disampaikan di Masjid Rusila itu tidak hanya untuk orang yang biasa
ikuti kuliah beliau sahaja, tetapi umum untuk semua. Tiada apa yang
sensitif dan tidak perlu bimbang untuk berkongsi.
Ikuti rakaman asal
Banyak lagi perkara-perkara menarik yang
boleh didapati dalam program tersebut. Sesiapa yang mengikutinya, pasti
akan terpaku dan terpesona dengan keindahan Islam. Tidak hairanlah
sepanjang program berlangsung, jumlah penonton sentiasa meningkat hingga
mencecah 14000 orang pada masa kemuncak.
Saya cadangkan yang masih belum mengikutinya untuk berbuat demikian menerusi Facebook PAS Pulau Pinang. Baik bagi bukan Islam yang selama ini masih skeptikal dengan Islam dan baik juga bagi orang Islam yang merasa diri masih jahil tentang agama sendiri.
Klik link dibawah untuk redirect ke rakaman tersebut:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1678627502200591&id=209205819142774
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1678627502200591&id=209205819142774
Islam benar, penganutnya boleh salah
Untuk akhir, saya kongsikan satu lagi
perkara menarik yang dinyatakan Presiden PAS. Untuk memahami agama ini,
perlu melihat kepada inti pati ajaran Islam sendiri. Jangan melihat
kepada penganutnya sahaja. Kerana manusia bersifat lemah dan sentiasa
melakukan kesilapan.
Jangan melihat kepada rekod pemerintah
yang mendakwa Islam sama ada dalam sejarah lalu atau di zaman moden,
kerana mereka juga manusia. Tidak semestinya Islam itu bertepatan dengan
setiap tindakan mereka. Rujukan utama Islam hanyalah al-Quran dan
Sunnah. PAS memberi komitmen untuk sentiasa bergerak di arena politik
selari tuntutan al-Quran dan Sunnah, tetapi tidak terikat dengan
mana-mana amalan orang Islam lain. Hanya yang selari dengan tuntutan
Islam sahaja dicontohi. Yang salah dijauhi.
Apatah lagi, pemerintah Islam yang ada
sekarang hampir semuanya adalah mereka yang mendapat restu dari kuasa
Barat yang tidak mahu Islam yang sebenar didaulatkan. Kalau ada kalangan
Islam yang sebenar meraih tampuk kekuasaan, pasti Barat akan berusaha
menggagalkannya seperti yang pernah berlaku di Algeria, Mesir dan Turki.
Ya. Tekanan antarabangsa. Kalau faham bab ini, pasti dapat membaca kenapa PAS mengambil pendekatan mempersadakan diri sebagai King Maker dan memperkenalkan konsep Kerajaan Teknokrat, bukannya untuk terus muncul sebagai kepimpinan tertinggi.









Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.