Konsep Ta’awun Siyasi
Oleh ABDUL HADI AWANG
FIRMAN Allah:
FIRMAN Allah:
وَلَا
يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ
إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan
jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka
pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu
menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan
dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah
Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(al-Maidah: 2)
Allah telah memberi petunjuk kepada umat
Islam sejak generasi pertama yang ditugaskan untuk menyelamatkan
manusia seramai-ramainya bersama Islam. Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun
(bertolong-menolong) dalam perkara yang baik dan taqwa (mentaati
Allah), terus beristiqamah di atas dasar Islam dan matlamatnya dengan
melaksanakan Islam dan menegakkannya.
Tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan
permusuhan walaupun terhadap musuh yang menzaliminya, apatah lagi dalam
kalangan umat Islam yang berbeza pendapat, berlainan pendekatan dan
berlakunya salah faham, serta tenggelam dalam kejahilan. Konsep ini juga
dipanjangkan dalam hubungan masyarakat majmuk dalam satu negara
walaupun berbeza agama bangsa sehingga berlakunya ketegangan. Selain
itu, dilakukan juga dalam hubungan luar negara.
Pendekatan ini menghubungkan Islam
dengan semua pihak bagi menyampaikan risalahnya ke seluruh alam.
Petunjuk ini pernah berjaya menembusi hati bangsa Arab padang pasir yang
keras, degil dan sifat pemanasnya yang bernyala, cepat bermusuh dan
berperang.
Hatinya laksana kerasnya batu dan tanah
yang dibakar oleh kepanasan suhu cuaca dan kehidupannya yang kering
kontang, tetapi Islam berjaya menyatukan umat yang beriman daripada
kalangan bangsa Arab, diikuti berbagai bangsa dan kaum di atas aqidah
Islam atau menarik kalangan bukan Islam di atas persamaan konsep
kemanusiaan yang masih tetap menjadi sifat yang matang mahukan kebaikan
dan menolak kejahatan.
Objektifnya adalah memilih titik
persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal
(fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan dengan sabar
menghadapi cabaran, walaupun menunggu masa yang lama.
Rasulullah S.A.W meneguhkan perpaduan umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar
yang terdiri daripada berbagai kabilah dan keluarga yang pernah
berperang pada zaman jahiliah, akhirnya bersatu di bawah persaudaraan
iman dan bendera Islam.
Seterusnya secara langsung menerima
persamaan sifat yang baik di kalangan bukan Islam, sama ada di kalangan
keluarganya ketika di Makkah dan kalangan bukan Islam yang menerima
Piagam Madinah dan berhubung juga dengan Kabilah Arab di luar Makkah dan
Madinah, walaupun mereka itu masih menganut agama syirik.
Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf
(bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa
meninggalkan perkara prinsip akidah Islam, sempadan syariat dan
akhlaknya. Tahaluf diharamkan dan dibatalkan apabila tidak lagi
menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau
tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa sahaja keburukan.
Di Marhalah Makiyyah, Rasulullah S.A.W bersama keluarganya kalangan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Abu Talib yang belum menganut Islam. Manakala Marhalah Madaniyyah
pula, Baginda S.A.W menerima kaum bukan Islam dalam kalangan ahli kitab
yang dimasukkan dalam Piagam Madinah yang terkenal menjadi contoh
kontrak sosial masyarakat majmuk dalam satu negara.
Seterusnya membuka ruang kepada Kabilah Khuza’ah dan lain-lain yang berada di bloknya dalam perjanjian Hudaibiyyah dan mengiktiraf amal kebajikan Hatim Al-Toei pada masa jahiliah sehingga bertindak membebaskan kabilahnya yang belum Islam.
Kenyataan yang tegas meneruskan dakwah
walaupun mereka tidak bersama lagi melindungi Rasulullah S.A.W ketika di
Makkah. Bertindak membatalkan Suluh Hudaibiyah apabila Bani
Bakar yang berada di blok Musyrikin memerangi Khuza’ah yang bernaung di
bawah Negara Islam, sehingga menjadi sebab dilakukan Fathu Makkah.
Semua konsep hubungan dengan pihak lain seperti tahaluf, suluh, mujadalah, taawun
dan lain-lain bertujuan untuk membuka pintu dakwah secara langsung atau
tidak langsung kepada pihak lain, dengan syarat beristiqamah di atas
akidah dan menuju matlamat menyampaikan Islam kepada pihak lain, supaya
melihat secara langsung ajaran Islam yang diamalkan membawa kebaikan
kepada seluruh manusia dan menolak segala kemungkaran walaupun dilakukan
oleh bangsa arab dan keluarganya.
Menangani Politik Semasa
Al-Quran dan pelaksanaannya oleh
Rasulullah S.A.W adalah petunjuk di sepanjang zaman sehingga Hari
Kiamat. Maka ahli PAS hendaklah berpegang teguh dan istiqamah kepada
Perlembagaan PAS yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum
tertinggi dan menjadi asas paling mulia dalam perlembagaannya, dan
hendaklah mentafsirkannya dalam amalan politik semasa dengan teguh dan
istiqamah, tanpa hanyut atau sesat daripada dasar dan matlamat Islamnya.
Semua keputusan melaksanakan pendekatan berdamai dengan pihak lain seperti Tahaluf
yang pernah dilakukan beberapa kali dalam senario perjalanan PAS
dirancang oleh pimpinan pusat dan dilaksanakan setelah diputuskan oleh
dahulunya Dewan Ulama dan terkini pula Majlis Syura Ulama.
Keputusan telah dibuat juga dengan membatalkan Tahaluf
bersama Pakatan Rakyat oleh Majlis Syura Ulama berdasarkan hukum
Syariat, lalu dilaksanakan oleh PAS Pusat. Kini diperkenalkan pula
konsep Ta’awun yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang lebih ketat seperti Tahaluf.
BPMS dan Ta’awun
PAS memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah (berdepan
secara damai) dengan menyertai amalan demokrasi pilihan raya mengikut
konsep keutamaan dalam dakwah dan jihad yang bertujuan menyelamatkan
manusia bersama Islam, sama ada menganut Islam atau berada di bawah
pemerintahan Islam tanpa menganutnya, tetapi melihat pelaksanaan Islam
yang adil terhadap semua dan membawa rahmat kepada semua.
Sejarah merakamkan bahawa kalangan bukan
Islam lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Maka penganut
Islam yang berkhilaf hendaklah lebih wajib menegakkan kuasa pemerintahan
Islam.
Cara menjauhkan diri daripada masyarakat
atau menghalau bukan pendekatan yang bijak bagi menarik manusia kepada
Islam. Semua para Rasul A.S diperintahkan oleh Allah supaya berhadapan
dengan manusia, walaupun terhadap yang paling keras seperti Firaun.
Mereka berucap dengan bahasa yang lembut
dan menarik, bukan dengan bahasa dan cara yang keras dan tindakan
meliarkan walaupun terhadap mereka yang tidak ada harapan untuk mendapat
hidayah, kerana kewajipannya hanya menyampaikan, adapun penerimaannya
dengan sebab mendapat hidayah adalah urusan Allah.
Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:
وَمَنْ
أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ
إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا
السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ
وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤) وَمَا يُلَقَّاهَا
إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ(٣٥)
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)
“Dan tidak ada yang lebih baik
perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia
sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku
adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(33) Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat.
Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara membalasnya
melakukan yang paling baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang
yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi
seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini
tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang
bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan
oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan
akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari
syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah.
Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (36)”
(Surah Fussilat: 33-36)
Budaya bijaksana ini dilaksanakan oleh
Rasulullah S.A.W dalam semua keadaan, ketika berdamai dan berperang,
khususnya ketika mencapai kemenangan dalam keadaan paling kuat, sehingga
Islam diterima dengan mudah dan cepat tersebarnya ke seluruh pelosok
dunia.
Pengaruh Islam menembusi ke dalam
masyarakat musuh, sehingga kuasa besar dunia yang zalim jatuh dengan
pertolongan Allah dan musuh yang tidak didukung oleh masyarakat bangsa
dan agamanya sendiri, apabila melihat perbandingan di antara
pemerintahan Islam yang adil dengan kerajaannya sendiri.
Selain itu, ditegaskan oleh Rasulullah
S.A.W ketika operasi Perang Khaibar terhadap kaum Yahudi yang paling
memusuhi Islam bahawa kejayaan mengIslamkan seorang musuh lebih afdal daripada menghapuskannya:
لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم
“Demi sesungguhnya kejayaanmu
menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah (masuk Islam) lebih baik
daripada kenderaan yang paling mahal harganya”
Kedatangan Islam di rantau ini juga
secara damai, tidak seperti di tempat yang lain sehingga Islam juga
berkembang di zaman penjajahan, walaupun penjajah itu membawa agenda
menyebarkan agama Kristian yang dilindungi senjata dan harta kekayaan.
Hanya segelintir penduduk yang menganut
agama penjajah, adapun yang telah Islam tetap bertahan walaupun dalam
keadaan yang jahil agama, dikongkong kemiskinan dan buta huruf dan ramai
terpengaruh dengan budaya Barat tetapi tetap cintakan Islam.
Perjuangan kita terkini ialah
menyedarkan yang sudah Islam yang paling besar jumlahnya yang wajib
memimpin kuasa politik negara dan ditambah dengan usaha mengIslamkan
bukan Islam tanpa paksaan atau mereka menerima pemerintahan Islam
melalui pilihan raya.
Pendekatan melalui penerangan dan
pengajian sahaja tidak mencukupi, maka hendaklah disertai agenda
menunjukkan Islam yang boleh diamalkan bersama pihak lain yang dinamakan
Ta’awun yang lebih luas lapangannya daripada Tahaluf.
Ta’awun membolehkan kerja yang bersifat kebajikan yang diterima oleh semua pihak. Pelaksanaannya ialah ta’awun
(bertolong menolong dalam perkara yang baik dan menentang segala
kemungkaran). Pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam semua keadaan sama
ada menjadi pembangkang atau tidak semestinya kalau berkuasa memerintah
negeri atau negara.
Di antara perkara yang telah dilakukan
adalah pendirian berkecuali (tidak membangkang dan tidak juga menyokong)
oleh MP dan Adun PAS terhadap Bajet dengan menjadi pembangkang yang
tidak melulu, kerana di dalam Bajet itu ada perkara baik yang menjadi
keperluan rakyat dan jentera kerajaan yang mengurus kehidupan secara
umum dan menjaga keamanan dan keselamatan negara, namun kita tetap
menentang dalam perkara kemungkaran seperti boros dan membazir dalam
mengendalikan kewangan negara. Huraiannya ialah melalui penjelasan dalam
perbahasan dewan.
Kejayaan awal membawa usul persendirian
RUU 355 adalah hasil keterbukaan boleh berbincang, bukan sekadar
berbahas dan berdebat sahaja. Contohnya juga ialah penglibatan jentera
parti membantu mangsa bencana seperti banjir dan sebagainya, menjadikan
kita bersama dengan jentera kerajaan. Amalan seperti ini sepatutnya
tidak dipersoalkan lagi, tetapi ketidak matangan berpolitik mencetuskan
suara-suara negatif terhadap parti Islam ini dalam perkara yang tidak
sepatutnya diragukan.
Selain itu, bersama dalam membela
Palestin dan Aqsa walaupun ada perbezaan sikap terhadap penyelesaian dua
negara Palestin. Kejayaannya kini negara Malaysia tidak mengiktiraf
negara haram Israel seperti negara umat Islam yang lain. Contohnya juga
dapat bersama membela umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman
di tanah air sendiri.
Konsep Ta’awun mendekatkan PAS dengan masyarakat umum dan pihak lawan secara Muwajahah Silmiyyah
yang menjadi konsep demokrasi. Walaupun masih ada banyak kelemahan dan
salah laku dalam amalan demokrasi itu, tetapi hilangnya ketegangan dalam
masyarakat telah memberi ruang yang lebih luas kepada PAS untuk
bergerak lebih pantas yang wajib diatur dengan baik.
Khususnya kerjasama dalam perkara
mempertahankan kedudukan Islam dan umat dalam arena politik negara
adalah kewajipan yang wajib diketahui oleh setiap penganut Islam tanpa
mengira kefahaman politik, termasuk orang Islam paling jahil. Ini adalah
kewajipan umum yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam.
Kedudukannya sama apabila negara diancam
oleh musuh luar yang mahu menjajah semula. Oleh sebab itu, adalah haram
bersama musuh itu dan wajib bersama menghadapinya dan mempertahankan
agama dan negara walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan yang ada.
Inilah sikap para ulama pada zaman awal Islam di era Amawiyyah dan Abasiyyah,
walaupun mereka menanggung kezaliman kerajaan yang memerintah. Inilah
pendekatan PAS ketika menuntut kemerdekaan, walaupun PAS menolak
syarat-syarat kemerdekaan yang digariskan oleh penjajah sebelum mereka
berundur. PAS tidak bersama dengan Komunis yang mengangkat senjata
menentang penjajah dan menyokong ISA bagi menentang komunis itu. PAS
juga tidak menerima syarat-syarat yang dibuat oleh penjajah.
PAS menentang tindakan yang lebih
dikuasai oleh golongan kiri. Namun PAS tetap bersama merayakan
kemerdekaan yang tidak sempurna dan menyertai Pilihan Raya Umum 1955,
pra kemerdekaan, apabila PAS menjadi satu-satunya pembangkang yang
berada dalam Majlis Mesyuarat sebelum merdeka dan terus menyertai
pilihan raya selepas kemerdekaan kerana memilih pendekatan demokrasi
walaupun menghadapi salah laku terhadapnya dalam masa pilihan raya dan
dijatuhkan kerajaannya setelah menang di Kelantan dan Terengganu.
PAS bersedia menyertai Kerajaan Campuran
selepas 13 Mei 1969 dan menubuhkan BN 1974 demi menyelamatkan negara
dalam keadaan darurat, sehingga bersendirian selepasnya kerana perilaku
zalim ke atas PAS, namun terus menjadi Harakah Islamiyyah yang semakin kuat walaupun di tempat tidak ada kerusi melalui pilihan raya.
Ketegasan PAS beristiqamah bersama Islam
di masa pasang dan surut, di masa menang dan kalah pilihan raya, namun
tetap tidak menyerah kalah dalam perjuangannya menegakkan Islam yang
sempurna, laksana pokok yang bertambah subur kalau dicantas dan
dipatahkan rantingnya.
Inilah firman Allah:
أَلَمْ
تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ
طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ٢٤ تُؤْتِي
أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ
لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ
كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ
قَرَارٍ (٢٦) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ
فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ
الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (٢٧)
“Tidakkah engkau melihat (Wahai
Muhammad S.A.W) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu:
kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang
pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang
ke langit. (24) Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin
Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk
manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan
kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak
berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak
baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian)
orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan
dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim
(kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang
dikehendaki-Nya. (27)”
(Surah Ibrahim: 24-27)
Perhatikan kalangan yang tidak bersama
PAS atau keluar PAS kerana menentang pendekatan yang telah diambil sejak
dahulu, sama ada bertindak melompat ke dalam kerajaan yang dirasakan
lebih selesa dan cepat mendatangkan hasil kebendaannya atau yang
menubuhkan parti lain dan menjadikan PAS tempat persinggahannya sahaja
kerana dianggap mustahil mendapat kemenangan bersama PAS.
Adapun PAS makin bertambah ahli,
cawangan dan kawasannya sehingga berlipat kali ganda daripada yang gugur
berciciran dalam perjalanannya menegakkan Islam sehingga kini, walaupun
PAS menolong setiap orang yang dikeluarkan daripada lawannya.
Ini menandakan betapa istiqamah menjadi
rahsia ketahanan PAS dan hubungannya dengan pihak lain tidak pernah
merugikan. Mereka yang dapat meneruskan perjuangan bersama PAS hanya
yang berwala’ dan taat kepada keputusan jemaah ini.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.