https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apabila Speaker Bertindak Sebagai Penapis Umno/BN

Oleh A Kadir Jasin

MENGAPAKAH Speaker (Umno) Dewan Rakyat, (Tan Sri) Pandikar Amin Mulia (PAM), begitu takut untuk membenarkan isu mengenai 1MDB, Jho Low dan Pegawai Nombor Satu Malaysia (MO1) dibahaskan dalam dewan yang mulia itu?

Kalau dia seorang Speaker yang tidak berat sebelah dan ditambah pula seorang pendekar, seorang yang sentiasa aman lagi mulia mengapakah dia begitu takut, tidak aman dan kurang mulia apabila berdepan dengan isu 1MDB, Jho Low dan MO1?

Sikap “protective” dia terhadap isu 1MDB, Jho Low dan MO1 menjadikannya pelindung dan pembela skandal 1MDB, Jho Low, MO1 serta pesubahat mereka.

Kerana sikap dialah, rakyat jelata amnya dan pengundi khasnya disekat daripada memanfaatkan dewan yang mulia itu untuk bertanya soalan dan berbahas mengenai isu 1MDB, Jho Low, MO1 dan, yang terbaru, penahanan kepal mewah Jho Low, Equanimity.

Kapal super mewah itu adalah harta haram terbaru yang dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ). Ia adalah antara harta yang dibeli oleh Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, di Amerika dan di banyak negara lagi menggunakan duit selewang 1MDB.

Oleh sebab PAM tidak mempamerkan keberanian seorang pendekar, ketenangan seorang yang amin dan kemuliaan seorang berkedudukan tinggi, maka terpaksalah kita membawa keluar isu 1MDB, Jho Low, MO1 dan rompakan aset negara daripada dewan yang mulai ke mahkamah pendapat umum (the court of public opinion).

Untuk itu, saya perturunkan beberapa soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang ditolak atau disekat oleh PAM.

Misalnya empat daripada lima soalan untuk jawapan lisan yang ditanya oleh AP HP Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, ditolak.

Soalan-soalan itu ditujukan kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak dan timbalannya, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamed Hanipa, antara lain bertanya kepada Mohd Najib dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan mengapakah dengan tiba-tiba pendirian kerajaan atau 1MDB bertukar dengan persetujuan untuk membayar kepada IPIC sedangkan sebelum penyelesaian prosiding timbangtara di Mahkamah London Timbangtara Antarabangsa itu, Timbalan Menteri Kewangan Kedua pada 1 Ogos 2016 telah dilaporkan berkata yang 1MDB akan melawan dan tidak akan membayar tuntutan IPIC (International Petroleum Investment Company) dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS sebanyak US$6.5 bilion di London itu.

Menurut laporan media alternatif, AP PH telah bertanya sekurang-kurangnya sembilan soalan tetapi dihalang atau tidak dilayan oleh PAM.

Parlimen adalah badan pembuat undang-undang tertinggi di negara kita dan tempat di mana segala permasalahan negara dan rakyat jelata sepatutnya dibentang dan dibahaskan.

Tetapi oleh sebab kuasa tertinggi di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat, iaitu PAM memilih untuk menjadi penapis bagi pihak Umno/Barisan Nasional, maka kebebasan dan kesucian dewan yang mulia itu telah tercemar.

Kerana 1MDB, Jho Low dan MO1 punya hal bukan sahaja negara serta rakyat jelata menanggung risiko dan beban hutang puluhan bilion ringgit malah kemuliaan dewan turut ternoda.
Wallahuaklam.













Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.