https://critoxium.com/shop/

Terkini

Menjelang PRU14, ‘308’ kembali hantui BN

Oleh Bede Hong

IA merupakan pilihan raya yang mengejutkan negara, dan satu-satunya yang menyebabkan Barisan Nasional dikejutkan dengan prestasi pilihan raya paling teruk dalam tempoh hampir 40 tahun.

Kerajaan memerintah bukan sahaja hilang majoriti besar dalam Parlimen buat pertama kali sejak pilihan raya umum 1969, malah turut hilang empat kerajaan negeri.

Banyak teori berhubung dengan bagaimana "tsunami politik" 8 Mac, 2008 berlaku, daripada kemarahan pengundi terhadap pemerintah yang menaikkan harga minyak hinggalah kepada kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi percaya, penyumbang terbesar kemenangan mengejut pembangkang adalah cara bagaimana ia bersatu untuk mencabar kuasa BN.

"Kesemua 165 kerusi Parlimen Semenanjung menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara BN dan pembangkang.

"Mereka semua bersatu dalam Pakatan Rakyat. PKR, DAP dan PAS, telah bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain yang membantu mereka mengambil kesempatan terhadap rasa tidak puas hati dengan kenaikan kos sara hidup dan isu lain.

"Ini merupakan salah satu daripada faktor monumental dalam kebolehan pembangkang untuk menafikan kemenangan dua pertiga BN dalam Parlimen sebelum ini," kata pensyarah Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya itu.

Ketua de facto Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim merupakan tokoh utama dalam pertembungan ini, kata Awang Azman.

"Anwar berjaya megadakan rundingan dengan parti pembangkang untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru."

Pakatan pemerintah memenangi 140 kerusi, kurang lapan kerusi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga.

Ia merupakan satu kejutan kepada BN, yang mana pada 2004 ia memenangi 90% kerusi Parlimen, 198 kerusi yang tidak dijangka dan juga mengawal 12 negeri kecuali Kelantan yang diterajui PAS.

"Ia merupakan kali pertama sejak 1969 bahawa BN gagal mengawal dua pertiga Parlimen, menjadikan semakin sukar buat mereka untuk menggubal perlembagaan.

Ia juga merupakan pertama kali buat pembangkang menguasai lima negeri - Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan. Perak pula kembali kepada BN tidak lama selepas itu apabila tiga Adun PR menjadi bebas.

"Ia merupakan satu lonjakan besar daripada sebelumnya, apabila hanya Kelantan yang dikuasai pembangkang," kata Awang Azman.

Isu yang diketengahkan adalah kelembapan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan juga peningkatan kes rasuah. Kelebihan dan faedah dianggap hanya dinikmati golongan elit. Pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan dasar, yang diwarisi daripada Dasar Ekonomi Baru, yang hanya memberi kelebihan kepada Bumiputera.

Faktor lain yang menyumbang kepada 8 Mac dipercayai turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Perhimpunan Hindu Rights Action Force (Hindraf) di Kuala Lumpur pada 2007 membangkitkan kemarahan pengundi India kepada BN.

Tindakan polis menyuraikan orang ramai dengan meriam air dan gas pemedih mara serta penahanan pemimpin mereka turut membangkitkan kemarahan mereka.

Kenaikan harga minyak, 30 sen seliter pada Februari 2016, juga kekal dalam fikiran pengundi sehingga hari pengundian.

"Kebimbangan ketika itu lebih kurang sama dengan hari ini. Pertikaian berhubung cukai barangan dan perhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 2015, kenaikan kos sara hidup, kurang peluang pekerjaan dan isu rasuah masih kekal menjadi topik hangat," kata Awang Azman.

"Sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan, saya yakin pilihan raya seperti 2008 akan berulang. Malah, ia mungkin lebih teruk."

Kebanyakan tokoh politik BN ditewaskan, seperti bekas presiden MIC Samy Vellu dan bekas presiden Gerakan Koh Tsu Koon pada Mac 2008.

"Pilihan raya itu mengubah lanskap politik di negara ini. BN tidak lagi kebal kepada kekalahan, yang mana ia boeh berulang dan kali ini disebabkan isu yang lebih besar," kata Awang Azman.

Pada pilihan raya yang sama, walaupun ketua de facto Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi Anwar Ibrahim dihalang daripada bertanding, partinya PKR menang 31 kerusi, peningkatan yang besar daripada satu kerusi yang dimenangi isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail di permatang Pauh, Pulau Pinang, pada pilihan raya sebelum itu.

DAP menang 28 kerusi manakala PAS 23 kerusi.

Pilihan raya itu turut mengubah trend pengundi di kawasan bandar sebagai asas sokongan kepada pembangkang, khususnya DAP.

"Masyarakat Cina, di Timur dan Barat Malaysia, mengundi DAP. Mereka meyokong DAP pada 2013 dan dijangka masih kekal begitu pada 2018," kata pengarah Institut Tasmania Asia, University of Tasmania, Australia, James Chin.

"Apabila BN hilang kuasa dua pertiganya ia menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya boleh berubah untuk mengalahkan mereka," katanya.

Umno kemudiannya juga "terpaksa akur" kepada pemintaan kerajaan negeri di Malaysia Timur untuk mengekalkan kuasa. Negeri Borneo merupakan 20% kerusi Parlimen dan dianggap sebagai "deposit kekal" untuk undi BN.

"Malaysia Timur menegaskan kuasa politik mereka untuk perjanjian yang lebih baik, memandangkan mereka mengharapkan Umno," kata Chin.

Beliau berkata pilihan raya 2008 menggalakkan generasi baru pembangkang yang tidak lagi percaya kepada Barisan Nasional yang tidak dapat dikalahkan.

Media sosial, walaupun pada peringkat awalnya pada tahun 2008, juga memainkan peranan dalam menyebarkan berita, mengatasi media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan.

"Parti pembangkang mampu menarik minat gologan muda, memandagkan ramai golongan itu fikir tidak mustahil untuk menewaskan BN. Kawalan media bukan lagi isu, kerana mereka mempunyai akses kepada internet, sekurang-kurangnya di kawasan bandar."

Chin berkata, salah satu daripada perubahan besar daripada pilihan raya 2008 ialah pertukaran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin Umno kepada pengerusi Pakatan Harapan dan kemudiannya calon perdana menteri pembangkang.

PRU14 mesti diadakan sebelum 23 Ogos, 60 hari selepas Parlimen terbubar secara automatik pada 24 Jun.

Sumber daripada Umno mengatakan pilihan raya mungkin akan diadakan pada minggu ketiga April.
222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi negeri, kecuali Sarawak akan dipertandingkan



































Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.