https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenapa Salleh beria-ia pertahan Jho Low, kata Rais Yatim

PETALING JAYA: Tan Sri Rais Yatim hairan dengan sikap Datuk Seri Salleh Said Keruak apabila kapal mewah “Equanimity” yang disita pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Penasihat sosiobudaya kerajaan itu berkata menteri komunikasi dan multimedia dilihat beria-ia mempertahankan Jho Low seolah-olah ahli perniagaan itu individu penting.

“Menteri komunikasi dan multimedia cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low. Seeloknya tunggu dulu, dah menuduh Amerika Syarikat dan Indonesia keterlaluan.

“Jelas sudah, Jho Low berkepentingan. Kenapa beria-ia benar pertahankan Jho Low, sepatutnya pertahankan keadilan,” katanya di Twitter hari ini.

Salleh sebelum ini membidas pembangkang kerana menggunakan isu sitaan itu untuk mengelirukan rakyat dengan “berita palsu”.

Menteri itu berkata pembangkang menggunakan “dakwaan tidak disahkan dan terbukti” yang kapal mewah itu milik Jho Low dan dibeli dengan dana daripada 1MDB.

Menurut Salleh, hakikatnya ialah dakwaan yang terkandung dalam tindakan undang-undang DOJ itu digantung sejak Ogos

DOJ juga tidak menunjukkan bukti bahawa Jho Low adalah pemilik kapal atau kapal itu dibeli dengan wang daripada 1MDB.

Polis Indonesia pada Rabu menyita kapal mewah “Equanimity” di Bali yang dikehendaki Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Kapal itu disita atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) meminta bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah, kata jurucakap polis Indonesia, Muhammad Iqbal Abduh.

Menurut maklumat yang diberikan FBI, Iqbah berkata sistem pengenalan automatik kapal itu ditutup beberapa kali di perairan sekitar Filipina dan Singapura.

Pada Ogos 2017, DOJ meminta saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri dari 1DMB ditangguhkan kerana sedang menjalankan satu siasatan jenayah berkaitan.

Antara aset yang dikehendaki ialah kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli Jho Low, yang dinamakan sebagai watak utama dalam tindakan undang-undang AS itu.

DOJ berkata Jho Low menggunakan hasil kutipan daripada 1MDB untuk membeli “Equanimity”, sebuah kapal mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura.

Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ sejak 2 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.














Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.