https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ahli akademik perlu berani nyata kebenaran

 Oleh Dr Siti Suriani Othman

AKADEMIK di negara membangun dikritik sesetengah pihak sebagai kurang berani menghujah kebenaran walaupun bersandarkan ilmu yang objektif sifatnya, misalnya dapatan kajian saintifik yang melalui proses saintifik yang berkredibiliti dan boleh divalidasikan.

Inilah yang membezakan hujah akademik dan hujah individu yang tidak terbabit dalam bidang ini. Dalam masa yang sama, ada yang cemerlang membina diri sebagai intelek, satu martabat yang bukan ramai menikmatinya, yang juga datang dengan tanggungjawab yang tidak kecil.

Ramai mengakui bahawa kebanyakan intelek belum berani menyatakan kebenaran kerana takutkan golongan pentadbir akademik. Ini merunsingkan dan menggugat peranan golongan intelek yang sebenar. Ini juga menggambarkan seolah-olah golongan bijak pandai sendiri tidak begitu faham peranan mereka kepada masyarakat.

Pandangan ini sebenarnya memanggil golongan pemikir untuk memikirkan kembali (revisiting) apa sebenarnya peranan dan sumbangan yang boleh dimainkan kepada masyarakat, seterusnya peranan universiti.

Kembali kepada asas

Beberapa perkara asas perlu difahami sebelum dapat kita fahaminya supaya tidak terlihat sebagai satu bentuk provokasi, tetapi lebih kepada perbincangan yang meluaskan pandangan dan kembali kepada asas iaitu memahami peranan masing-masing.

Pertama, siapakah pendidik, sarjana dan intelek dan apakah peranan mereka?

Kedua, mengapa mereka perlu faham dan memainkan peranan mereka?

Ketiga, apakah impak jika peranan ini dimainkan?

Contoh pendidik yang paling mudah ialah guru. Mereka menyampaikan maklumat serta mendidik dalam bentuk utama iaitu pengajaran dan pembelajaran.

Sarjana pula ialah pakar dalam sesuatu bidang, pengetahuannya amat menjurus kepada bidang kajiannya, misalnya pakar bidang kimia atau pakar agama.

Golongan intelek pula, iaitu jika ada ukurannya, ialah golongan tertinggi dalam golongan pendidik, golongan ilmuan yang bukan hanya mempunyai pengetahuan dalam bidang kepakaran, tetapi mempunyai ilmu yang luas dan dijadikan rujukan umum, ketika berlakunya sesuatu isu dalam masyarakat atau masalah buntu yang memerlukan cadangan penyelesaian.

Golongan ini terbabit dengan pemikiran kritikal, kajian dan refleksi tentang sesebuah masyarakat.
Soal tanggungjawab intelek pernah dibincangkan oleh ahli falsafah seperti Frederick Schmitt dan Noam Chomsky. Chomsky misalnya meletakkan tanggungjawab orang intelek ialah mencari kebenaran dan membongkar pembohongan.

Campur tangan

Membongkar pembohongan ini merangkumi semua aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial. Namun, hal ini nampaknya tidak mudah walau di ceruk dunia manapun.

Bekas Naib Canselor dan Presiden Universiti Hong Kong, universiti tertua di Hong Kong, Peter Mathieson secara terbuka pada 8 Januari 2018 tidak menafikan wujud pengaruh politik yang kuat dalam pentadbiran universiti berkenaan dalam akhbar South China Morning Post.

Dalam hal ini, jika setiap daripada kita memahami peranan masing-masing, ia membentuk masyarakat yang peka dan berfikir serta saling membangunkan negara melalui ilmu yang jelas lagi objektif.

Golongan intelek, yang pastinya dalam praktis dan amalannya memenuhi apa yang dikenali sebagai intellectual rigour dan intellectual honesty.

Dia cemerlang dalam menyatakan pendapatnya yang jelas dengan berguna kepada masyarakat, dan membuatkan masyarakat juga cemerlang berfikir, yang memberi kejujuran dalam amalan intelektualnya.

Pusat pemikiran

Barulah seterusnya kita akan berupaya melihat perbezaan antara sekolah dengan universiti dan peranan jelas yang dimainkan oleh golongan yang secara umumnya dikenali sebagai 'pendidik'.

Barulah universiti boleh menjadi pusat yang bukan hanya mengajar dan melahirkan graduan, tetapi juga pusat pemikiran, yang menjangkau batasan sistem dan ideologi, sebagaimana penerima terkini Anugerah Tokoh Akademik Negara, Tan Sri Dzulkifli Abd Razak yang melihat Allahyarham Shahnon Ahmad sebagai intelek yang bercakap tanpa rasa takut mahupun memihak, dalam kolumnya di akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Dengan pemikiran sebeginilah, barulah universiti mampu menjadi pusat pemikiran yang berhujah berteraskan kajian empirikal yang menghasilkan ilmu objektif untuk dimanfaatkan semua, dengan integriti akademik yang asli, tanpa rasa takut dan membisukan diri, apabila diperlukan kerana takut periuk nasi terjejas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.