https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pembaharuan dilaksana kerajaan demi rakyat

Oleh Tan Sri Lee Lam Thye

SEIRING dengan semangat demokrasi berparlimen, rakyat menzahirkan pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan keputusan itu sudah diterima oleh semua pihak. Rakyat Malaysia sudah tentu menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baharu dan aspirasi mereka perlu direalisasikan.

Tahniah diucapkan kepada Pakatan Harapan atas kemenangan mereka serta Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981.

Pemimpin dan penyokong semua parti politik juga telah menerima keputusan PRU-14 dengan hati terbuka dan ia tindakan yang sepatutnya kerana rakyat sudah membuat pilihan mereka.

Wakil rakyat yang baru dipilih daripada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang mempunyai peranan masing-masing untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat serta memastikan sistem 'semak dan imbang' yang baik dapat dilaksanakan dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Kakitangan kerajaan juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan yang memerintah pada masa ini.

Dasar baharu

Kita melalui kempen politik yang sengit membabitkan semua calon, namun apabila pilihan raya telah selesai, tumpuan rakyat Malaysia kini perlu terarah ke dasar dan arah baharu yang akan dibuat oleh kerajaan untuk masa depan negara.

Rakyat Malaysia juga sedang memerhatikan bagaimana kerajaan baharu menangani isu rasuah dan integriti yang serius selain membantu meringankan kesusahan golongan miskin dari semua kaum.

Kita juga ingin melihat langkah pembaharuan dapat dilaksanakan agar semua institusi penting dalam negara kita benar-benar bebas dan profesional untuk memenuhi objektif yang ditetapkan.

Memandangkan kerajaan baharu dibentuk mengikut kehendak rakyat, fokus perlu diberikan kepada usaha menangani masalah hutang dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Pada masa yang sama kita perlu memperkukuhkan perpaduan di sebalik perbezaan kita kerana kita semua berkongsi harapan, impian dan matlamat yang sama di negara yang kita diami bersama.

Rakyat pelbagai kaum telah bersatu dalam menyuarakan pilihan mereka dan kesempatan ini perlu diambil untuk membina Malaysia yang benar-benar bersatu kerana perpaduan amat penting untuk masa depan kita.

Era baharu

Kita perlu membina era baharu dalam hubungan kaum di mana kita semua menganggap diri kita sebagai rakyat dan bangsa Malaysia.

Tugas yang paling mendesak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik pada masa ini untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terjamin.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi keamanan, keharmonian dan perpaduan serta menahan diri daripada perbuatan melampau, provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

Kita tidak boleh membiarkan keharmonian negara diancam oleh polarisasi kaum dan politik berlebihan kerana ia boleh menyebabkan pergolakan antara kaum, akibat terhakisnya sikap saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.