Terima kasih Tun M salur royalti
Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN
PARTI Islam SeMalaysia
(PAS) menyambut baik dan penuh syukur di atas kesediaan Perdana Menteri
YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia untuk meneruskan
pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus sebagaimana kenyataannya
yang terbaru. Ini selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH)
dalam PRU14 lepas dan disahkan oleh YAB Tun M.
Dengan kesediaan YAB Tun M ini, PAS
berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu tidak lagi diikuti.
Sebagai parti yang beramal dengan sistem
demokrasi dan menghormati Konsep Federalisme, PAS berlapang dada
walaupun pernah perit dihukum dengan penarikan bayaran royalti dahulu.
Kesediaan terbaharu daripada YAB Tun M
itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara
matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara
demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang
damai selepas PRU14.
Bersangkutan dengan itu, PAS juga
menaruh harapan agar semua peruntukan-peruntukan perkapita lain yang
layak diterima oleh negeri-negeri dapat disalurkan tanpa apa-apa
sekatan, sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan.
Begitu juga dengan projek-projek sedia
ada yang sedang berjalan dan yang telah diluluskan melalui Rancangan
Malaysia ke-11, haruslah diteruskan sehingga selesai, untuk faedah
rakyat. Ini termasuklah Projek LPT3, pembesaran Lapangan Terbang Sultan
Ismail Petra, Kota Bharu, lebuhraya jajaran tengah (Central Spine Road)
dan yang lebih utama projek rangkaian jalan keretapi Pantai Timur (ECRL)
yang tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya
agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat.
Amalan yang menghormati konsep demokrasi
dan Federalisme adalah amat penting bagi melicinkan pentadbiran
kerajaan negeri-negeri yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.
Pilihan rakyat haruslah dihormati. Oleh
itu penyaluran semua peruntukan di atas haruslah mengikut sistem dan
undang-undang sedia ada iaitu terus kepada kerajaan negeri masing-masing
dan tidak lagi melalui pihak ketiga yang dibentuk khusus seperti
Jabatan Pembangunan Persekutuan, atau pihak-pihak lain di luar
pentadbiran negeri seperti di zaman BN.
PAS yakin sekiranya semua berpegang
kepada Konsep Federalisme dan saling menghormati hak masing-masing
sebagaimana yang diperuntukkan yang jelas kehilangan di zaman BN, maka
Malaysia akan mampu terus membangun secara progresif dalam satu entiti
tanpa ada mana-mana negeri yang ketinggalan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.