Mensinergikan kerja membanteras rasuah dan memulih integriti
Oleh Muthanna Saari
AWAL tahun ini apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dikeluarkan oleh badan antarabangsa Transparency International (TI), ramai yang menggelengkan kepala dengan prestasi yang dicapai oleh Malaysia.
Manakan tidak, Malaysia jatuh enam anak tangga di dalam ranking yang melibatkan 180 buah negara di seluruh dunia dengan kedudukan ke-62 berbanding ke-55 pada tahun sebelumnya. Mata yang dicatatkan pula adalah 47 dengan penurunan sebanyak dua mata berbanding tahun 2016 dengan skala 0 sebagai paling korup dan 100 sebagai paling bersih.
Kedudukan ini juga merupakan pencapaian terburuk Malaysia dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini di dalam indeks yang mengukur persepsi terhadap amalan rasuah di dalam sektor awam berdasarkan pandangan pakar dan sektor perniagaan.
Pada 2013, Malaysia berada di kedudukan ke-53, meningkat ke-50 pada 2014, turun ke-54 pada 2015, turun lagi ke-55 pada 2016 dan merosot ke-62 pada 2017. Sebagai perbandingan ringkas dengan negara-negara Asean contohnya Indonesia, Vietnam dan Myanmar dalam lima tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan mata secara konsisten walaupun masih berada di belakang Malaysia.
Reaksi masyarakat adalah kedudukan ini seperti sekadar mengiyakan persepsi awam terhadap situasi semasa amalan rasuah di dalam negara ini. Menurut Akhbar Satar, Presiden TI Malaysia,
kemerosotan kedudukan Malaysia di dalam indeks ini disumbangkan daripada isu-isu yang melingkari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri ketika itu, skandal Felda, dan skandal air Sabah.
Tidak terkecuali juga dalam isu National Feedlot Corporation (NFC) apabila pihak yang mendedahkan skandal ini dihukum sementara pesalah dibebaskan. Ini semua menghakis kepercayaan awam, pelabur serta komuniti perniagaan terhadap sistem di dalam negara ini.
Namun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui ketua pesuruhjayanya ketika itu mempertikai hasil dapatan indeks tersebut. Beliau mempersoalkan ketepatan kajian tersebut atas alasan ia tidak menggambarkan tindakan agresif yang telah dilakukan oleh SPRM yang ‘secara konsisten membuat tangkapan dan pendakwaan setiap minggu’ sepanjang 2017. Beliau mungkin tidak perasan yang TI Malaysia dalam kenyataannya menyatakan jika tidak kerana ‘tindakan agresif’ SPRM, kedudukan Malaysia di dalam indeks ini pasti merudum dengan lebih teruk.
Serentak dengan itu, ketua pesuruhjaya SPRM itu turut mencadangkan supaya Malaysia mempunyai indeks rasuah sendiri yang bukan sahaja mengukur persepsi tetapi disertakan dengan fakta dan bukti.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kerajaan melalui Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada tahun 2004 dan dikoordinasikan pelaksanaannya oleh Institut Integriti Malaysia (Integriti) telah juga mengarahkan satu Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN) dihasilkan.
Indeks yang dibangunkan melalui suatu kajian lapangan di seluruh negara yang dikenali sebagai Kajian Persepsi Integriti Nasional ini mendapat geran kajian yang agak selesa daripada kerajaan.
Matlamat kajian ini adalah untuk mengukur tahap amalan integriti di kalangan pelbagai sektor masyarakat dalam negara ini khususnya yang melibatkan persepsi terhadap gejala rasuah, kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial, kemantapan institusi keluarga dan komuniti, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat serta persepsi budi bahasa Malaysia. Dan sepanjang 10 tahun ini, kajian ini telah dijalankan tanpa gagal hampir setiap tahun.
Namun yang mendukacitakan adalah kerana hasil akhir kajian ini serta indeks yang telah dibangunkan ini tidak pernah diterbitkan dan dikeluarkan untuk pengetahuan umum. Ada maklumat yang menyebut bahawa hasil kajian dan indeks ini di’embargo’ oleh kabinet Malaysia setiap kali laporan kajian ini dibentangkan kepada kerajaan. Jika sememangnya ini yang berlaku, tiada ertinya kerajaan menghabiskan jutaan ringgit wang awam untuk pelaksanaan kajian ini dan hasilnya sekadar untuk tatapan ahli mesyuarat kabinet.
Adakah kerana indeks yang dihasilkan ini tidak memuaskan hati kerajaan dan menggambarkan tahap integriti yang tenat di kalangan masyarakat menyebabkan ia tidak didedahkan kepada umum? Walhal pendedahan kepada masyarakat umum adalah penting supaya masyarakat dapat mengetahui tahap sebenar persepsi integriti di kalangan masyarakat serta pelbagai usaha dapat dilakukan untuk menambah baik amalan dan sikap integriti masyarakat.
Sikap penafian (denial) kerajaan terhadap sesuatu hasil kajian, sama ada yang dihasilkan melalui Kajian Persepsi Integriti Nasional ini ataupun seperti keengganan pihak SPRM menerima hasil indeks persepsi rasuah yang dikeluarkan TI sebaliknya perlu diberikan justifikasi yang lebih munasabah. Kerajaan juga perlu lebih bersifat akomodatif terhadap kajian dan dapatan yang melibatkan persepsi awam dan mengambil peranan untuk memperbetulkan keadaan.
Justeru apabila Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang yang menyarankan pelan integriti nasional khusus untuk memerangi rasuah dibentuk, mungkin PIN sedia ada boleh dilihat semula.
Cadangan pelan ini perlu menggembeling tindakan yang jelas di peringkat pelaksanaan supaya hasilnya boleh diterjemahkan di dalam hasil kajian sama ada melalui CPI atau indeks yang dibangunkan dalam negara sendiri seperti IPIN. Pelan ini juga menurut beliau perlu dipertanggungjawabkan perancangan dan pelaksanaannya oleh parlimen.
Jika pelan integriti nasional sedia ada yang sudah berusia 14 tahun ini dikira wajar diteruskan dengan penyemakan semula secara teliti dilakukan, roh pembaharuan terhadap pelan ini harus ditiup semula oleh pentadbiran baharu.
Ciri-ciri yang bersifat kosmetik yang tidak jelas pelan tindakan serta tidak objektif terhadap ukuran pencapaian hendaklah diketepikan kerana agenda membanteras rasuah dan memulihkan integriti hari ini adalah mustahak bukan sahaja untuk memulihkan imej negara tetapi untuk memulihkan tahap integriti di seluruh lapisan masyarakat di dalam negara ini.
Maka di sinilah perlunya usaha ini disinergikan oleh semua pihak-pihak yang berkepentingan.
Mengembalikan makna integriti yang meliputi pengertian yang lebih luas daripada sekadar membasmi amalan rasuah adalah suatu langkah untuk melahirkan masyarakat yang benar-benar jujur dan bertanggungjawab.
Sekadar menamakan beberapa institusi yang berkaitan; SPRM, Integriti, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) serta unit-unit integriti di setiap jabatan kerajaan perlu disinergikan supaya tiada pertindihan bidang kuasa berlaku di samping matlamat utama membina masyarakat Malaysia yang berintegriti dapat dicapai.
Jika peranan setiap institusi ini dapat dijelaskan, tidak akan timbul situasi di mana setiap institusi ini berlumba-lumba mengejar populariti untuk menjadi juara di atas medan perlawanan yang sama. Apabila skop kerja tidak lagi bertindih dan masing-masing jelas akan peranan mereka, matlamat akhir yang digariskan di dalam pelan integriti nasional ini akan berjaya dicapai dengan berkesan.
Usaha ini juga memerlukan kemahuan politik di pihak kerajaan untuk mensinergikan usaha ini di samping memberikan kebebasan kepada institusi ini menjalankan tugas mereka yang diimbangkan dengan peranan parlimen sebagai badan yang memantau pelaksanaan pelan ini
* Muthanna Saari ialah Felo, Centre for Malaysian Political and Economic Transcendence (Competent).

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.