https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sentimen perkauman di Malaysia pasca BN

Oleh Zin Mahmud

Sentimen perkauman terus wujud walaupun negara ini dibina sejak 1957. Sememangnya ada sebahagian anggota masyarakat yang tidak lagi memiliki sentimen perkauman. Begitu juga dengan sebahagian orang yang masih menyimpan sentimen perkauman tebal.

Maka, keadaan ini tidak dapat diubah. Apa yang boleh dilakukan ialah kedua-dua belah pihak perlu bertoleransi dengan sentimen masing-masing, dan terus menjalankan kehidupan bernegara secara harmoni.

Dalam zaman media sosial, anggota masyarakat bebas melahirkan sentimen perkauman mereka, asalkan tidak sampai jadi hasutan yang boleh membawa kepada pergaduhan.

Dalam politik, sentimen perkauman ini juga dimainkan bagi mendapatkan sokongan rakyat. Tetapi, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu menunjukkan sentimen perkauman sudah luntur di kalangan pengundi berbanding generasi rakyat Malaysia terdahulu.

Namun, soal perkauman perlu ditangani secara berhati-hati kerana perasaan takut dan curiga masih menyelubungi sebahagian besar masyarakat.

Perkembangan terbaru ialah cadangan seorang bukan Melayu menjadi peguam negara. Ia menimbulkan polemik perkauman. Ada sebahagian orang Melayu boleh menerima perkara itu, sementara sebahagian lagi membantah.

Sebelum ini, dua perkembangan yang menyentuh sentimen perkauman juga timbul, iaitu sejak PH menjadi kerajaan.

Pertama, apabila Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan. Maka, berlakulah bantahan daripada sebahagian orang Melayu yang tidak senang dengan seorang pemimpin Cina kembali menjadi menteri kewangan.

Kemudian timbul pula isu tuntutan supaya Felda dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada orang bukan Melayu. Maka, bantahan juga berlaku daripada sebahagian orang Melayu yang mahu mempertahankan kedudukan sedia ada institusi itu.

Politik Malaya dan Malaysia sejak Perang Dunia Ke-2 dicorakkan 2 gagasan bertentangan. Di satu pihak ialah gagasan ketuanan Melayu, pihak satu lagi ialah gagasan demokrasi liberal.

Ketuanan Melayu seringkali diterjemahkan menjadi “Malay supremacy”, seolah-olah orang Melayu itu berkedudukan lebih tinggi daripada kaum lain. Ia menjadi satu gagasan rasis. Tetapi, terjemahan itu tidak betul.

Apa yang betul ialah “Malay sovereignty” yang bermaksud kedaulatan Melayu. Maknanya, pada asasnya kedaulatan negara ini terletak pada orang Melayu dan Bumiputera. Sebab itu kepentingan orang Melayu perlu dilindungi daripada diambil alih kaum lain yang mempunyai lebih keupayaan.

Tanpa perlindungan, orang Bumiputera dirasakan akan kehilangan kedudukan politik, ekonomi dan budaya
.
Sementara gagasan demokrasi liberal pula mengimpikan Malaya dan Malaysia yang memberi kesaksamaan kedudukan kepada semua warganegaranya tanpa mengira kaum. Mereka meletakkan meritokrasi sebagai amalan dengan “Malaysian Malaysia” menjadi gagasan politik mereka.

Secara semula jadi, diandaikan sudah tentu orang Melayu akan mendokong ketuanan Melayu, sementara orang bukan Melayu menyokong demokrasi liberal. Tetapi, hakikatnya bukan demikian.

Ada saja orang Melayu yang juga menolak ketuanan Melayu. Walaupun mereka hanya segelintir dan mungkin bilangannya bertambah sejak akhir-akhir ini. Sementara itu, ada juga sebahagian orang bukan Melayu yang boleh menerima ketuanan Melayu.

Sebaik saja tamat Perang Dunia Ke-2, 4 gerakan politik yang muncul di Malaya tidak berpegang pada ketuanan Melayu. Malayan Union, Parti Komunis Malaya (PKM), Malayan Democratic Union (MDU) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tidak berpegang pada ketuanan Melayu.

Hanya apabila Datuk Onn Jaafar melawan Malayan Union dan menubuhkan Umno yang akhirnya membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, gagasan ketuanan Melayu dilaksanakan. Tetapi, gagasan ini sentiasa ada penentangnya.

Daripada Parti Rakyat dan Front Sosialis hinggalah kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memperjuangkan “Malaysian Malaysia” ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, mereka adalah gerakan politik yang tidak menerima ketuanan Melayu.

Tetapi, kebanyakan rakyat menyokong ketuanan Melayu, termasuk di kalangan bukan Melayu. Maka, keadaan ini membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus memenangi pilihan raya sehinggalah tahun ini. DAP dianggap parti yang mencabar ketuanan Melayu yang patut dijauhkan orang Melayu.

Malah, apabila hendak melawan Umno, parti yang digunakannya hendaklah turut mendokong ketuanan Melayu. Ini berlaku ketika Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46 untuk melawan Umno Baru pada 1990.

Tetapi, masyarakat Melayu pun berubah. Ada ramai orang Melayu yang tidak lagi mempedulikan gagasan ketuanan Melayu.

Maka, tidak hairanlah apabila gerakan Reformasi melancarkan Parti Keadilan Nasional pada 1998, ia tidak meletakkan soal ketuanan Melayu. Tetapi, majoriti orang Melayu masih tidak dapat menerima demokrasi liberal Keadilan.

Di kalangan orang India dan Cina pula, mereka semakin tidak dapat menerima ketuanan Melayu. Gerakan Hindraf dan sokongan yang diterima DAP dan Barisan Alternatif dalam pilihan raya 2008 menunjukkan Malaysia sedang berubah.

Sungguhpun begitu, Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya 2013 tidak dapat menggugat kedudukan BN. PR yang dianggotai DAP dan PKR dilihat tidak dapat mempertahankan kedudukan ketuanan Melayu.

Maka, tidak hairanlah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan PPBM, ia juga seperti Umno.
Keahliannya hanya untuk Bumiputera dan ia difahamkan turut mempertahankan ketuanan Melayu.
Ada pihak mempersoalkannya dan beliau menjawab, partinya hendak menarik sokongan orang Umno. Ramai orang Melayu masih tidak dapat menerima demokrasi liberal.

Tetapi, ramai pendokong PH melihat hasil pilihan raya umum ke-14 ini sebagai petanda majoriti rakyat Malaysia mahukan reformasi, di mana soal kaum tidak lagi menjadi perkara penting.

Apa yang disebut sebagai Malaysia Baharu adalah sebuah negara demokrasi liberal yang mengamalkan kesaksamaan warganegara dan meritokrasi.

Mungkin penyokong fahaman demokrasi liberal di negara ini semakin bertambah. Fahaman politik penyokong DAP dan PKR juga jelas. Tetapi, penyokong PPBM dan Amanah tidak bersefahaman dengan ideologi DAP dan PKR.

Mereka yang memberi undi kepada PH mempunyai dorongan berbeza. Ada yang disebabkan Dr Mahathir, ada pula kerana menentang kleptokrasi. Jadi, menyokong PH tidak semestinya menolak ketuanan Melayu.

Perdana menteri pasti faham keadaan ini, sebab itu beliau mengutamakan soal keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau fokuskan usaha membersihkan negara daripada korupsi, menyelamatkan ekonomi Malaysia dan membina semula negara. Soal kaum tidak menjadi perhatian beliau.

Malaysia hari ini walaupun ditadbir kerajaan PH, tetapi adalah milik semua warganegara tanpa mengira parti politik, sama ada yang menang atau kalah.

Negara ini bukan saja didiami pelbagai kaum, tetapi anggota masyarakat yang mempunyai sentimen perkauman beraneka. Sentimen perkauman bukan boleh dipaksa untuk berubah. Maka, semua rakyat harus dapat bertoleransi dengan sentimen perkauman yang wujud dalam pelbagai bentuk.

Tetapi, mungkin suatu hari nanti, ketika generasi akan datang tidak mempunyai sentimen serupa dengan masyarakat masa kini, perkauman tidak akan menjadi isu.

Namun, kalau dilihat pengalaman Amerika Syarikat, sebuah negara demokrasi liberal yang wujud lebih 200 tahun, soal perkauman terus menjadi isu walaupun banyak kemajuan dicapai.



































Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.