https://critoxium.com/shop/

Terkini

BN tumpu kempen melalui media sosial


SHAH ALAM - Gerak kerja dan strategi BN bagi menghadapi PRK Dun Sungai Kandis tidak lagi bersandarkan kepada kaedah lama sebaliknya akan diperbaharui khususnya penekanan ke arah penggunaan media sosial.

Pengerusi  Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN akan memberikan tumpuan kepada perang menerusi media sosial dalam tempoh berkempen dan termasuk menyalurkan maklumat setiap hari kepada lebih 32,000 pengundi di Sungai Kandis.

"Kalin ini cara gerak kerja kita berbeza berbanding lepas, kalau dulu kita tumpu kepada program kenduri dan ceramah besar, kali ini lebih kepada media sosial.

"Perang kali ni perang media sosial, jadi kita akan selaraskan di mana setiap hari kita akan salurkan sekurang-kurangnya dua info grafik isu dan maklumat semasa kepada 32,000 pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Negeri Selangor di Pusat Gerakan PRK N49 Sungai Kandis.

Selain itu, Ismail Sabri turut menjelaskan BN pada ketika ini dalam perbincangan bersama Pas untuk menjalinkan kerjasama atas nama pembangkang menjelang hari mengundi pada 4 Ogos nanti.

"Kempen menerusi ceramah pula, kita akan buat ceramah kecil-kecilan di setiap pusat daerah mengundi Dun Sungai Kandis dan kita akan tumpukan di kawasan yang mempunyai pengundi atas pagar.

"Selain itu, saya ada berbincang dengan kepimpinan Pas untuk buat ceramah bersama, kita sedang berunding untuk buat ceramah bagi menggambarkan ada kerjasama antara Umno dan Pas menghadapi PRK Sungai Kandis.

"Dan jika rundingan ini berjaya kita akan buat ceramah ini dalam tempoh berkempen mungkin di beberapa tempat," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.