https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dunia ini bukannya sejengkal

Oleh

WALAUPUN kita bertambah maju dan peroleh pelbagai kemudahan dan kesenangan, namun tetap gagal mencari kebahagiaan. Pelbagai cara dilakukan untuk mencapai kebahagiaan namun hidup tidak gembira juga.

Ada yang percaya bahawa kebahagiaan itu akan dicapai bila kita banyak wang. Namun bila ada wang, masih tidak gembira kerana ada masalah lain yang melanda. Ada yang kata boleh bahagia bila kita cantik. Namun apabila ratusan ribu dihabiskan untuk menjadi cantik tetap tidak gembira kerana berlaku pula pergolakan keluarga.

Ada juga yang percaya bila dah ada pangkat dan kuasa bolehlah mencapai kebahagiaan. Namun akhirnya tidak gembira juga kerana sentiasa berwaspada dengan mereka yang dengki dan hendak menjatuhkannya. Apabila tidak gembira dan bahagia maka mula rasakan dunia ini hanya sejengkal dan begitu sempit untuk mereka.

Persoalan dunia dan kebahagiaan ini telah dikupas dengan begitu rapi dan luas oleh Bapak Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup. Walaupun buku ini telah diterbitkan pada tahun 1967, namun latar peristiwa pada masa itu hampir sama dengan masa kini.

Menurut beliau, hanya satu daripada 10 orang yang menjawab dengan nada kegembiraan apabila ditanya berkaitan kehidupan. Manakala yang selebihnya sentiasa nampak berkerut di dahi dengan persoalan kehidupan mereka.

Seribu satu masalah diluahkan untuk berkongsi ketidakbahagiaan mereka. Apa yang pelik, walaupun nampak ramai yang berkunjung ke kedainya, namun masih lagi mengadu tidak dapat untung yang banyak. Begitu juga dengan pencapaian anak-anak. Walaupun semuanya sudah tamat belajar dan mendapat pekerjaan, namun masih mengadu tidak bahagia bersama mereka.

Selain itu, ada juga orang kaya yang menyesal dengan kehidupan mereka dan ingin kembali menjalani kehidupan seperti masyarakat biasa. Namun anehnya pula, masyarakat biasa pula masing-masing berkejaran untuk menjadi kaya.

Sebetulnya, jika kita memperhalus corak hidup masyarakat hari ini, ramai yang sudah hilang jati diri. Kebanyakannya suka mengikut apa saja yang boleh memberi makna kebahagiaan kepada mereka. Malah ada yang sudah jauh daripada cara hidup masyarakat kita, sebaliknya memilih cara hidup orang lain untuk membentuk diri kita.

Setiap hari ada saja tular dari segi tarian, nyanyian, parodi dan sebagainya yang diambil daripada budaya orang lain. Sehinggakan satu pejabat boleh berkumpul untuk menarikan tarian tular tersebut.

Kalau tidak buat dikatakan tidak ikut ‘trend’. Alasan yang mudah diberikan ialah; “Hendak suka-suka tak boleh ke?”.

Ingatlah! Dunia ini bukannya sejengkal di mana hanya memberi fokus kebahagiaan kepada pelbagai bentuk hiburan semata-mata. Walaupun diakui boleh menghilangkan stres, namun hanyalah bersifat sementara. Dunia ini juga bukannya sejengkal di mana kita hanya memberi fokus kepada kepentingan peribadi dan kaum kerabat kita sahaja.

Dunia ini juga bukannya sejengkal di mana kita hanya memberi fokus kepada kejayaan dalam negara hingga kita lupa nasib bangsa lain di persada antarabangsa dan dunia ini juga bukannya sejengkal di mana kita rasa sudah tidak ada jalan keluar apabila ditimpa sesuatu musibah. Dunia ini pada hakikatnya sangat luas untuk diterokai pahit dan manisnya.

Sebetulnya, kita perlu benar-benar memahami falsafah dan sistem kehidupan supaya dunia ini nampak lebih luas. Bak kata para pujangga, “Jangan terlalu lama menunggu di pintu yang tertutup sedangkan banyak lagi pintu lain yang terbuka luas”.

Jika kita rasa sempit, carilah pedoman agar kita boleh dikhabarkan bahawa dunia ini luas. Berkaitan hal ini, ada Hadis Qudsi daripada Abu Hurairah r.a dia menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, ketika selesai menciptakan syurga, ALLAH berfirman kepada Jibril:
“Pergi dan lihatlah syurga itu. Kemudian Jibril pergi dan melihat syurga, lalu kembali lagi sambil berkata, wahai Rabb demi kemuliaan-Mu, tidak seorang pun yang mendengar tentangnya kecuali dia ingin memasukinya. Kemudian ALLAH merintangi syurga dengan hal-hal yang tidak disukai manusia".

Lantas ALLAH berfirman, “Wahai Jibril, pergi dan lihatlah syurga itu. Kemudian Jibril pun pergi melihat syurga itu. Setelah itu ia kembali sambil berkata, Wahai Rabb, demi kemuliaan-Mu aku khuatir tiada seorang pun yang hendak memasukinya".

Kemudian baginda Rasulullah SAW bersabda, ketika selesai menciptakan neraka ALLAH berfirman, “Wahai Jibril pergi dan lihatlah neraka itu. Kemudian Jibril pergi dan melihat neraka. Setelah itu dia kembali lagi seraya berkata, Wahai Rabb, demi kemuliaan-Mu tidak seorang pun yang mendengar tentangnya timbul keinginan untuk memasukinya".

Kemudian ALLAH menutupi neraka dengan syahwat iaitu; kesenangan atau yang disukai manusia. (Hadis Riwayat Abu Daud). Ingatlah! Hanya yang berjaya melintasi rintangan layak ke syurga.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Unimap

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.