https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRK Sg Kandis: Sokongan Melayu pada PH

Oleh

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis akan dilangsungkan pada 4 Ogos depan, manakala hari penamaan calon telah ditetapkan pada 21 Julai. Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Dalam PRK Sungai Kandis ini, Pas dikatakan bersedia untuk memberikan laluan kepada calon pilihan Umno/BN untuk bertanding melawan calon PH bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu berlaku di PRK Sungai Kandis. Satu tindakan jarang dilakukan Pas.

Umno cuba menggunakan strategi menarik pengundi Melayu dengan mencadangkan agar hanya menggunakan logo Umno, bukannya BN seperti biasa dilakukan sebelum ini. Adakah strategi ini bakal mengena? Sama-sama kita nantikan.

Namun, persoalan yang lebih getir kini, adakah PRK Sungai Kandis ini bakal menjadi wajah sokongan orang Melayu kepada Kerajaan PH? Jumlah pengundi Melayu di Dun Sungai Kandis adalah sekitar 78%, satu jumlah yang cukup besar untuk menjadi kayu ukur dalam menilai sokongan orang Melayu kepada Kerajaan PH.

Pada PRU yang lalu, Naib Pre-siden PKR, Dr Xavier Jayakumar sendiri enggan untuk bertanding di Dun Sungai Kandis selepas berlakunya persempadanan semula dan jumlah pengundi Melayu bertukar daripada 46% kepada hampir 78%.

Dengan pelbagai isu yang berlaku sekarang, ramai orang Melayu, tidak kira dari bandar mahupun luar bandar, berasa sedikit terjejas dengan pelbagai tindakan dan polisi Kerajaan PH yang dilihat sebagai liberal. Pelbagai isu bahasa, agama dan bangsa turut dimainkan oleh politikus negara. Jika ada yang terkesan dengan momokan ini, maka ini bakal mempengaruhi undian rakyat Sungai Kandis.

PRK Sungai Kandis bakal menjadi satu pertempuran yang sangat menarik antara PH dan BN kerana PRK ini dibuat dalam tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan PH. Rakyat sedang menilai setiap tindak-tanduk dan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan PH.

Biarpun pengaruh Tun Mahathir dijangka bakal kekal menjadi salah satu taruhan utama dalam meyakinkan rakyat Sungai Kandis, ia tidak dilihat akan memberikan kesan besar dalam mempengaruhi undian rakyat Sungai Kandis. Pada PRU yang lalu mungkin ya, tetapi tidak untuk PRK Sungai Kandis ini.

Isu agama, bangsa dan bahasa dijangka dimainkan secara berleluasa dalam PRK Sungai Kandis kali ini. PH sendiri dilihat cuba menarik undi rakyat dengan memperkenalkan calon PKR yang berlatarbelakangkan agama. Sudah tentu, strategi ini dilihat sebagai cubaan PH dan PKR dalam mematahkan sebarang hujahan bahawa PH anti-Islam atau PH bersifat liberal.

Sehingga rencana ini ditulis, Umno masih belum mengumumkan siapakah yang bakal dipilih sebagai calon mereka. Apa yang pasti, Umno sendiri sedang sangat berhati-hati dalam memilih calon yang terbaik supaya dapat menawan hati rakyat Sungai Kandis.

Persoalannya, adakah calon Umno ini mampu menangkis sebarang tuduhan mengenai kepimpinan kerajaan Umno/BN terdahulu? Sudah tentu semua isu ini akan dibangkitkan semula dan walau siapa pun calon Umno ini, beliau perlu bersedia untuk menangkis semua persoalan ini.

Jika calon PH menang dalam PRK Sungai Kandis ini, maka Kera-jaan PH boleh berpuas hati dan selesa dengan segala tindakan dan keputusan yang diambil mereka. Ini bermaksud orang Melayu, rata-ratanya, tidak terkesan dengan momokan berkaitan bangsa, bahasa dan agama Islam yang dimainkan.

Namun, jika calon Umno menang, maka Kerajaan PH wajar mengambil serius keputusan ini. Ini adalah permulaan kepada tindak balas orang Melayu yang sudah mula rasa terkesan dan tercabar dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan PH.

Kerajaan PH perlu lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan yang mungkin dilihat sebagai liberal oleh kebanyakan orang Melayu. Adakah orang Melayu masih ‘takut’ dengan ideologi DAP, bakal diwajahkan melalui PRK Sungai Kandis kali ini.

*Penulis adalah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang disisihkan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.