100 Hari ‘50:50’ Yang Getir
Oleh
AGAK
banyak juga pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh
pentadbiran tiga bulan ini atau mencecah 100 hari menjelang Jumaat 17
Ogos nanti.
Ya, seperti mana janji menghadapkan ke
muka pengadilan pihak yang mencuri duit negara menerusi 1MDB, dan
bagaimana harta Jho Low disita melalui kapal layar mewah milik ahli
perniagaan kontroversi itu, Equanimity.
Demikianlah jua beberapa pembaharuan ke arah
memberi Parlimen kuasa yang lebih substantif dalam mentadbir jabatan
perkhidmatan awam dari mula.
Apa pun yang
pasti rakyat sekarang lebih teruja dengan tumpuan utama kepada soal
‘periuk nasi’ yang Tumpang lalu boleh sebutkan di sini berada dalam
susunan idealisme lebih tinggi dalam urusan pentadbiran negara.
Rakyat
masih mahu melihat kebolehan kerajaan untuk mentadbir harga barang,
turun harga minyak serta membasmi tol secara berperingkat - semua ini
agak perlahan sedikit. Minyak tak naik, turun pun tidak - masih
tergantung.
Soal pendidikan pula ‘kecoh’
sedikit. Pendidikan negara semacam tidak terkendali dengan baik
disebabkan kecenderungan menterinya lebih ‘bersimpati’ dengan Sijil
Pendidikan Bersama (UEC). Dasar-dasar penting pelajaran macam ‘tak
nampak’. Tambah lagi apabila disatukan pula pengajian tinggi dan
pendidikan rendah, kelihatannya ramai kurang confident.
Soal
Rule of Law (Kedaulatan Undang-Undang) atau pentadbiran undang-undang
negara bagaimanapun semakin meningkat. Ia petanda yang bagus. Polis
Diraja Malaysia (PDRM) mempamerkan kepantasan bertindak. Jabatan
kerajaan tidak lagi disertai pengamal politik. Macam duta-duta
Kementerian Luar terdahulu yang dikatakan ‘dikacau’ dengan lantikan
politik. Kini tidak lagi.
Begitupun ada
tanggapan berlegar mengatakan kepentingan orang Melayu khasnya agak
lemah diuruskan dalam 100 hari ini. Susunan kepentingan orang Melayu
yang dahulunya dikait sama Islam banyak pula hendak dihuraikan semula.
Tidak sampai keteguhan buatnya. Adakah barangkali DAP dan PKR lebih
kuat daripada parti Bersatu dan Amanah sehingga lebih mencorakkan
‘dentumannya’ sekarang?
Lantikan-lantikan
yang dahulunya secara tradisional diisi orang Melayu, sekarang dimuatkan
bukan Melayu. Senario ini tidak semestinya tidak baik. Ada baiknya
juga kerana terdapat jurang melebar kemasukan kalangan bukan Melayu
yang belum mencapai 30 peratus. Sewaktu pentadbiran Perdana Menteri
kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, bukan Melayu dalam pentadbiran
kerajaan antara 30 hingga 35 peratus. Sekarang, tak lebih lima peratus
pun. Dan ini mungkin menjadi perhatian kerajaan Pakatan Harapan (PH)
yang agak terarah kemalaysiaan.
Walaupun ada
baiknya trend ini, PH perlu juga berhati-hati. Kalau tidak dibuat
pemerhatian yang betul, dikhuatiri kemelut dalam bentuk fizikal akan
diterjemahkan oleh rakyat.
Cuma Tumpang lalu
amati ada dua perkara yang agak perlihatkan kurang keberanian dalam 100
hari ini, yakni dalam meletakkan bahasa Melayu pada arasnya sehingga
dikatakan ‘didolak-dalikkan’.
Kedudukan bahasa Melayu agak longgar
terutama apabila diuji oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri
Sumber Manusia, M. Kula Segaran - masing-masing menerusi isu kenyataan
Menteri Kewangan dalam bahasa Mandarin dan orang Melayu kaum
pendatang. Ini rumusan yang tidak harus dibuat seseorang menteri.
Dari
segi perundangan, walaupun isu 1MDB mula ditadbir secara profesional,
ada aspek lain lagi yang perlu difikirkan oleh Peguam Negara, Tommy
Thomas. Kes rasuah melibatkan Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri
Pulau Pinang sudah tidak disebut lagi. Kalau tidak disusul, ia umpama
limau masam sebelah, manis sebelah. Ini bertentangan dengan Rule of Law.
Kerana itu polemik ini perlu cepat diatasi
Peguam Negara. Kalau tidak, rakyat akan terkesan kes-kes yang banyak
bersabit dengan kerajaan, yang tiba-tiba pula mahu dikemudiankan. Tentu
pelik bukan?
Berkenaan Cukai Jualan dan
Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan 1 September ini, formulanya
perlukan penjelasan lagi. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah
pentadbiran terdahulu memanglah dikatakan tidak cantik, tidak lunak
tersusun sehingga berlaku keterbakian yang tidak dilaksanakan oleh
Perbendaharaan. Namun, diakui prinsip GST lebih jelas.
Mengapa
SST disebut 10% (cukai jualan) + 6% (perkhidmatan)? Rakyat kurang faham
kerana dalam fikiran mereka kena cukai 16%. Pengenaan cukai pada rakyat
harus diperjelaskan dengan baik.
Dalam keadaan sebegini, tempoh tiga
bulan atau menghampiri baki 100 hari ini, piawaian pencapaiannya
bolehlah Tumpang lalu letakkan dalam posisi 50:50.
Kalau
boleh dalam tempoh beberapa bulan mendatang, pengkhususannya lebih
jelas. Jika tidak, rakyat dari Felda, Felcra dan RISDA yang masih
bergantung kepada komoditi akan merasakan mereka tidak diberi
perhitungan sebaik-baiknya oleh kerajaan. Pekebun-pekebun kecil ini
pernah terpaksa menanggung beban tambahan akibat daripada kejatuhan
harga minyak sawit sehingga 20% dalam masa 10 hari pertama Jun lalu. Ini
agak mencemaskan ekonomi orang kampung.
Tempoh
100 hari ini juga didakwa meresahkan dengan beberapa kerajaan negeri
seperti Perak dan Melaka agak ketara sosialisme ‘sama rasa, sama pakai
dan sama kuasa’ mereka. Yang seolah-olah kedirajaan dan ketidakdirajaan
sama sahaja. Adakah akan timbul di Perak kelak suatu sistem pemberian
tanah secara mendadak berbanding yang terdahulu? Jika benar, mengapa
sehingga Pusat tidak dapat mengawasi kerajaan negeri? Di Melaka pula,
teguran daripada Pusat macam tidak ada.
Adakah ini disebabkan DAP dan
PKR lebih kuat dari Bersatu? Walaupun mungkin dinafikan, Tumpang lalu
khuatir himpitan dua parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam PH ini
akan menjelmakan sejenis pentadbiran yang lemah buat kerajaan.
Dan
menjelang 100 hari pentadbiran PH, Tumpang lalu fikir Datuk Seri Anwar
Ibrahim tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya
menjadi Perdana Menteri kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal
kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir. Antaranya Dr. Mahathir akan
memegang jawatan nombor satu itu sekurang-kurangnya dua tahun.
Dan
Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya
tidak tertanggung lagi untuk melangkah masuk ke Putrajaya. Lagipun
adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR
merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak selain jentera PKR di
bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR
(termasuklah di Negeri Sembilan yang meskipun Menteri Besar dari PKR,
‘jarumnya’ adalah DAP).
PH dalam ‘mengejar’
100 hari masih perlu menempuh cabaran getir. Dr. Mahathir pun
kelihatannya lebih lembut daripada Dr. Mahathir yang Tumpang lalu
kenali, terutama di era 90-an.
Beliau
meskipun seorang yang masih berbisa, tahan lasak dan amat dihormati
rakyat dan dunia, namun keseluruhan survival masih banyak bergantung
kepada parti yang diterajuinya dalam PH, Bersatu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.