Orang sudah mulai bercakap
Oleh Dinsman
Ya, orang sudah mulai bercakap, mempersoalkan apa
yang sudah dan sedang dibuat oleh pimpinan pentadbiran kerajaan baru pasca
PRU-14, yang tidak seperti dijangka dan diharapkan, khasnya beberapa orang
menteri yang tiada pengalaman mentadbir.
Tetapi itu bukanlah sesuatu yang menghairankan atau
mengecewakan. Seperti pernah saya tulis sebelum ini – kita berada dalam musim
keliru dan bercelaru. Apa yang ada pada saf pimpinan kita hari ini pun bukanlah
sesuatu yang biasa/normal. Ia sesuatu yang luarbiasa, yang tidak normal, suatu
kombinasi yang pelik dan unik.
Maka kita perlu bersabar dan memberi masa kepada
mereka.
Sementara itu, saya pernah menulis mengenai keadaan
masyarakat kita yang saya sifatkan sebagai kurang berupaya, secara
keseluruhannya – untuk membuat lonjakan kepada tahap yang lebih maju,
disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor utamanya ialah kebergantungan kita yang
berlebihan/keterlaluan kepada politik.
Apa yang berlaku sekarang ini, maaflah, adalah
bukti bahawa hipotesis saya itu benar. Kemenangan Pakatan Harapan adalah
kemenangan politik, pada ketika rakyat telah bangkit untuk membuat perubahan
disebabkan tidak tertahan lagi menanggung derita hasil pemerintahan regim lama
yang serba ‘lanun’ itu, tetapi pada ketika itu pimpinan politik perubahan kita
masih menghadapi masalah, yakni masalah kandungan yang bercelaru disebabkan
krisis budaya dan jatidiri.
Ya, masyarakat kita sedang mengalami krisis budaya
dan jatidiri. Terlalu bergantung dan percaya kepada politik dan suka berpolitik
dalam segala perkara. Padahal politik itu kandungannya tidaklah dengan
sendirinya menjamin keupayaan yang diperlukan untuk kehidupan yang lebih maju.
Kelebihan politik adalah bersifat retorik.
Maka itu apabila Tun Perdana Menteri segera
melantik Majlis Penasihat Kerajaan atau ‘Council of Eminent Persons’ seramai
lima orang diketuai Tun Daim Zainuddin, sebaik dia mengangkat sumpah Perdana
Menteri itu, tak siapa pun mempersoalkan. Hanya saya yang mempersoalkan mengapa
hanya tokoh-tokoh ‘eminent’ dalam bidang ekonomi dan kewangan, tetapi tidak ada
tokoh-tokoh di bidang seni-budaya, keilmuan dan peradaban.
Memang yang ketara tampaknya krisis kita itu dalam
ekonomi dan kewangan, tetapi faktor-faktor penyebabnya lebih bersifat masalah
kemanusiaan, akhlak dan peradaban. Kita memerlukan pakar-pakar yang bukan
sahaja di bidang ekonomi dan kewangan untuk secara langsung membantu Perdana
Menteri dalam urusan pentadbirannya, tetapi kita juga perlukan pakar-pakar seni-budaya,
keilmuan dan peradaban termasuk pentadbir profesional yang berpengalaman.
Ada menteri yang dikatakaan lembab membuat
keputusan yang sepatutnya dibuat, tetapi masih menangguh-nangguh dan kelihatan
dia tidak menjalankan tugasnya seperti yang diharapkan. Namun apakah tempoh
waktu tiga bulan itu sudah cukup untuk kita menilai kewibawaan seseorang dalam
menjalankan kerjanya?
Memahami dan mengambil kira situasi istimewa
peralihan kuasa mentadbir di negara kita seperti yang dibincang di atas, saya
kira biarlah kita meluangkan masa yang lebih lama sedikit untuk mereka.
Apa yang paling penting sekali ialah menamatkan
tempoh pemerintahan Umno-BN yang sudah ketinggalan zaman itu. Alhamdulillah,
perkara itu sudahpun selesai. Terima kasih Tun Mahathir yang saya anggap dialah
penyumbang utama dalam kejayaan membuat pertukaran tersebut.
Sebahagian rakyat Malaysia suka dengan pertukaran
kepimpinan negara ini, dan ada sebahagian lagi yang tidak suka dengan
pertukaran ini, termasuk mereka yang kini bekerja di jabatan-jabatan dan
kementerian-kementerian berkenaan. Hakikat ini adalah penting juga
diperhitungkan dalam kita menilai prestasi menteri-menteri baru kita itu.
Jadi – memanglah orang ramai sudah mulai bercakap,
mempersoalkan menteri-menteri kita ada yang lembab menjalankan kerja, dan malah
ada yang dikatakan salah membuat keputusan-keputusan tertentu. Namun
cakap-cakap orang ramai itu tidaklah semuanya benar dan tidaklah semuanya perlu
merisaukan kita.
Pun begitu, tidaklah boleh kita kesampingkan pula
semuanya, kerana sebahagiannya ada juga yang betul. Memang ada menteri kita
yang perlu melakukan sesuatu bagi memperbaiki prestasi kerja mereka.
Perkembangan terkini ialah DS Anwar Ibrahim telah
mengambilalih jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat daripada DS Wan Azizah
(Timbalan Perdana Menteri). Ini satu perkembangan menarik. Walaupun sebelum ini
Anwar adalah Ketua Umum parti tersebut, tetapi dari segi kemantapan parti itu,
dan kemantapan strategik kewibawaan Anwar dalam kepemimpinan negara, adalah
lebih baik dia menjadi Presidennya.
Sekurang-kurangnya teka-teki apakah Azmin Ali
berkemungkinan menentang Wan Azizah untuk jawatan Presiden itu, telah tidak
timbul lagi.
Cuma saya perhatikan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah)
agak kurang memberi perhatian kepada perkembangan parti mereka, dalam tempoh
pasca kerajaan baru Pakatan Harapan, yang nampaknya memberikan banyak
keuntungan kepada mereka dan mungkin lebih banyak daripada yang mereka jangka
dan harapkan.
Apakah mereka terlalu gembira dan bahagia dengan pemberian
dan hadiah istimewa dari Tun Dr Mahathir itu, hingga mereka menjadi leka dan
asyik dengan kedudukan selesa masing-masing lalu terlupa pada ramai kawan-kawan
seperjuangan yang hanya terlopong memerhati gelagat mereka!
Sekali lagi saya sebutkan di sini bahawa bukan
orang politik sahaja yang menyumbang dan bertanggungjawab membuat perubahan
dalam kerajaan Malaysia hari ini, dan apatah lagi dalam menentukan arah
kehidupan baru masyarakat kita di masa depan.
Golongan budayawan, intelektual, profesional, seniman dan aktivis sosial
juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya, apatah lagi memikirkan
masalah krisis budaya dan jatidiri yang sedang dialami masyarakat kita.
Golongan ini, yang sangat rapat malah yang berada
bersama di dalam saf perjuangan parti Amanah sejak ditubuhkan, pun kini “sudah
mulai bercakap”…
Faham-faham lah ya!





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.