Hadkan penjualan alkohol
BERIKUTAN 51 kes
keracunan metanol di Kuala Lumpur dan Selangor (sehingga 19 September
2018) di mana 19 kematian dan 14 yang lain dalam keadaan kritikal,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak terkejut sama sekali.
Bagaimana alkohol yang dicampurkan ini berakhir di pasaran? Ini kerana
kami telah lama menggesa pihak berkuasa sejak empat dekad yang lalu
supaya mengambil pendirian tegas untuk mengawal penjualan alkohol tetapi
gesaan itu berlalu begitu sahaja dan mengalami kejutan apabila insiden
ini berlaku. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa sesetengah kedai
menjual arak seludup.
Kejadian keracunan metanol ini bukanlah
pertama kali berlaku dan bukanlah yang terakhir kerana ia pernah berlaku
pada 1977 (18 kematian), 1979 (21 kematian), dan 1981 (32 kematian).
Sebab kepada kejadian ini ialah samsu, bir, atau arak murah tetapi
dicampurkan dengan metanol beracun (dijual secara komersial sebagai methylated spirit).
Pada 2005, rakyat Thailand keluar
beramai-ramai ke jalan raya di Bangkok, Thailand untuk membantah
terhadap permohonan bagi penyenaraian di pasaran saham oleh syarikat
pembuat bir terbesar Thailand. Mereka berjaya menolak permohohan itu.
Ini adalah hasil rakyat Thailand yang
melihat keluarga yang berpecah-belah, kemerosotan pelajar, bilangan
kemalangan yang berkait dengan memandu dalam keadaan mabuk, pergaduhan
yang berlaku selepas mengambil alkohol.
Hampir 20 peratus (13 juta) rakyat
Thailand menandatangani petisyen menyokong Akta Kawalan Minuman Alkohol
Thailand apabila ia pertama kali dicadangkan. Kami ingin mengucapkan
tahniah kepada rakyat Thailand di atas pendirian mereka yang menentang
kerana mahukan sebuah masyarakat yang sihat serta bebas daripada alkohol
dan menggunakan wang mereka untuk makanan dan keperluan lain bagi
keluarga mereka.
Seperti rakyat Thailand, rakyat Malaysia
juga seharusnya mengambil berat mengenai isu yang melibatkan mereka dan
bukannya mengambil sikap ‘tidak apa’. Kami juga ingin merayu kepada
pembuat dasar supaya menggubal atau meminda undang-undang yang lebih
ketat dan tegas bagi mengawal penjualan alkohol memandangkan sekarang
kita boleh melihat kedai alkohol semakin banyak dibuka dan beroperasi
dengan kawalan yang sedikit oleh pihak berkuasa.
Kami menggesa supaya mengehadkan alkohol berdasarkan enam perkara berikut:
Kami menggesa supaya mengehadkan alkohol berdasarkan enam perkara berikut:
1. Alkohol mendedahkan risiko kesihatan.
2. Masalah sosial akibat daripada kemabukan alkohol;
3. Kemalangan jalan raya berkaitan dengan pengambilan alkohol;
4. Perbelanjaan yang tidak sepatutnya ke atas pengambilan alkohol yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga;
5. Keganasan rumahtangga berkaitan alkohol; dan
6. Mencegah keracunan metanol memandangkan ia boleh menyebabkan kematian.
2. Masalah sosial akibat daripada kemabukan alkohol;
3. Kemalangan jalan raya berkaitan dengan pengambilan alkohol;
4. Perbelanjaan yang tidak sepatutnya ke atas pengambilan alkohol yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga;
5. Keganasan rumahtangga berkaitan alkohol; dan
6. Mencegah keracunan metanol memandangkan ia boleh menyebabkan kematian.
Bahaya alkohol yang dibawa kepada
masyarakat menuntut perhatian kita. Walaupun kerajaan menaikkan had usia
minimum yang dibenarkan bagi pengambilan alkohol daripada 18 kepada 21
tahun pada 1 Disember 2017, ia tidak menangani masalah yang berkaitan
dengannya. Contoh yang jelas ialah adalah sukar untuk memantau jika
kedai runcit yang menjual alkohol mematuhinya untuk membuat pengesahan
usia pembeli muda yang mencurigakan.
Adalah dianggarkan bahawa pada 2016,
terdapat 2 bilion orang di seluruh dunia yang mengambil alkohol dan 2.8
juta orang mati disebabkan berkaitan alkohol.
Perangkaan Malaysia menunjukkan
pengambilan alkohol per kapita (liter setahun) amat membimbangkan. Ia
semakin meningkat daripada 0.8 liter setahun pada 2005; 1.2 liter pada
2010; kepada 1.7 liter pada 2015. Pada 2011, Kuala Lumpur mempunyai
bilangan tertinggi peminum semasa dengan kira-kira 154,200 (19.3
peratus) daripada penduduk; Sarawak, 440,000 (17.8 peratus);
Sabah/Labuan, 526,440 (16.4 peratus); dan Pulau Pinang, 221,520 (14.2
peratus).
Tambahan pula, mereka yang berpendapatan
kurang daripada RM3,000 (3.0 peratus) dan mereka yang tinggal di
kawasan luar bandar (284,160 daripada penduduk) cenderung untuk
membelanjakan lebih banyak daripada pendapatan mereka ke atas alkohol
berbanding penduduk umum bandar (681,790 penduduk) pada 2016. Daripada
penduduk umum bandar yang mengambil alkohol, kumpulan usia termuda yang
dikesan ialah antara 13 dan 14 tahun.
Ia adalah satu perkembangan yang amat
membimbangkan disebabkan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 yang
merupakan dari kategori B40. Tabiat merokok dan/atau minum mereka akan
menjejaskan perbelanjaan mereka ke atas makanan dan keperluan lain bagi
keluarga. Menurut laporan 2016, rakyat Malaysia membelanjakan lebih
daripada RM2 bilion ke atas alkohol setiap tahun, menjadikan kita
pengguna terbesar ke-10 di dunia.
Pengambilan alkohol juga menyebabkan
tidak kurang daripada berbelas penyakit seperti anemia, penyakit
kardiovaskular, sirosis, dementia, gout dan juga peningkatan risiko
kanser. Pada 2012, ia menyumbang kepada 30.8 peratus sirosis hati dalam
kalangan lelaki dan 28.6 peratus dalam kalangan wanita; dan Majlis
Keselamatan Jalan Raya menganggarkan memandu ketika mabuk menyebabkan 30
peratus daripada kemalangan jalan raya di seluruh negara dengan 38
peratus mengakibatkan kematian.
Kajian juga menunjukkan ketidakhadiran
di tempat kerja berkaitan dengan pengambilan alkohol ialah 16 kali lebih
tinggi berbanding bagi alasan lain.
Sehubungan itu, kami mencadangkan:
• Kedai alkohol seharusnya tidak dibenarkan dalam lingkungan 500 meter daripada sebarang kawasan perumahan, hospital, institusi agama dan pendidikan.
• Alkohol juga seharusnya tidak dijual di Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), kedai runcit yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia sejak 1983.
• Waktu operasi kedai yang menghidangkan alkohol mestilah dihadkan contohnya dari jam 1 petang hingga 9 malam, dan perabot seperti meja dan kerusi tidak ditempatkan di luar kedai (termasuk kaki lima jalan).
• Memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual alkohol campuran atau yang diseludup yang mana dutinya tidak dibayar.
• Mengenakan ‘cukai dosa’ (sin tax) ke atas alkohol (sama seperti yang dikenakan kepada rokok) dan digunakan untuk tujuan promosi kesihatan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB).
• Melarang penjualan alkohol dan rokok bebas cukai, malah di lapangan terbang.
• Mengharamkan sepenuhnya iklan alkohol.
S.M MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.