Kelantan miskin, rakyat pandai: Tun M separuh benar
Oleh AHMAD FADHLI SHAARI
SAYA bersetuju dengan
sebahagian kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika
mengulas mengenai peluang perniagaan Bumiputera di Kelantan dalam sesi
soal jawab semasa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018),
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini. Menurut beliau (seperti yang
dilaporkan oleh portal online Malaysiakini), Kelantan merupakan
sebuah negeri yang miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada
usahawan yang mahir dan berbakat, dan ini disebabkan Kerajaan Negeri
yang dikuasai PAS tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada
Kerajaan Persekutuan.
Setuju saya itu berdasarkan kepada
pengakuan beliau bahawa rakyat Kelantan pandai. Pandai rakyat Kelantan
itu telah dibuktikan dalam masa tempoh 28 tahun bermula tahun 1990 di
mana rakyat Kelantan secara total menolak Barisan Nasional pada tahun
tersebut pada ketika Perdana Menteri pada masa itu ialah Perdana Menteri
yang sama pada hari ini. Termasuk tahun 1990, sebanyak tiga kali
Pilihan Raya Umum rakyat Kelantan telah menolak Tun Dr Mahathir
sehinggalah beliau berundur pada tahun 2003. Di dalam Pilihan Raya Umum
terkini pada Mei yang lepas juga, rakyat Kelantan (dan Terengganu)
sekali lagi membuktikan kepandaiannya dengan tidak memberikan satu
kerusi pun kepada Pakatan Harapan yang telah menobatkan Tun Mahathir
sebagai calon Perdana Menteri. Justeru, sangat benar kata-kata Tun
Mahathir bahawa rakyat Kelantan pandai bahkan bagi saya, sangat pandai.
Adapun berhubung dakwaan beliau bahawa
Kelantan miskin sehingga memerlukan bantuan Kerajaan Pusat, suka untuk
saya merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada
27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.
Di dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada
Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah
RM397,989,333.00. Jika dibandingkan dengan Negeri Selangor, negeri
tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058.00 di bawah peruntukan
Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.
Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor
menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut
berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk.
Namun, jika dinyatakan bahawa Kelantan negeri miskin sehingga terpaksa
dihulurkan bantuan, maka sukalah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun
negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah
Perbendaharaan Negara.
Jika ditinjau kepada senarai berkenaan,
dapat dilihat bahawa Negeri Johor menerima sebanyak RM802,219,813.00,
Kedah (RM373,288,565.00), Pahang (RM391,115,129.00), Sabah
(RM1,086,260,027.00) dan Sarawak (RM1,159,277,479.00).
Jika boleh saya ingin bertanya kepada
Tun Dr Mahathir, sejak bilakah Kelantan menjadi miskin sehingga terpaksa
menerima bantuan Pusat itu? Jika dikatakan miskinnya Kelantan sejak
tahun 1990 kerana ditadbir oleh PAS, maka saya kira bekas
pemimpin-pemimpin PAS yang berada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari
ini perlu berbisik sepatah ke telinga Tun kerana tohmahannya itu sekali
gus memburukkan pentadbiran Almarhum Tuan Guru Nik Aziz selama 23 tahun
di Kelantan.
Wallahualam jika bekas-bekas pemimpin PAS dalam
Pakatan Harapan hari ini turut setuju bahawa pentadbiran Almarhum Tuan
Guru Nik Aziz telah menyebabkan Kelantan jatuh miskin.
Atau mungkinkah yang dimaksudkan oleh
Tun Dr Mahathir itu ialah Kelantan tiba-tiba menjadi miskin selepas
ditadbir oleh YAB Dato Bentara Kanan Menteri Besar sekarang? Ia lebih
lagi ajaib kerana kemiskinan berlaku secara tiba-tiba hanya kerana
pertukaran Menteri Besar pada tahun 2013.
Satu lagi, saya kira kenyataan Tun Dr
Mahathir ini sekali gus telah menjawab kenyataan anaknya sendiri Datuk
Seri Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah. Pada 1 Julai 2018, Mukhriz
dilaporkan telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mencari kaedah
baharu untuk mengagihkan hasil kutipan cukai negara secara saksama
kepada semua negeri terutamanya negeri yang berpendapatan rendah.
Menurutnya, “Kedah ini negeri tercorot dari segi hasil pendapatan dan
kita tiada minyak atau gas jadi tak dapat royalti. Sebab itu, saya ingin
cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan boleh agihkan dengan saksama
hasil kutipan cukai untuk manfaat bersama terutamanya kepada negeri
berpendapatan rendah seperti Kedah.”
Kenyataan tersebut diulangi pula di
dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Jadi, hari ini bapanya iaitu Tun Dr
Mahathir telah memberikan petunjuk secara tidak langsung agar Kedah
boleh berikhtiar mencari sendiri sumber pendapatan tanpa bergantung
kepada Kerajaan Pusat kerana Kedah dipimpin oleh parti yang cerdik.
Jangan jadi seperti Kelantan.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.