Kembali kes ke Mahkamah Tinggi
Oleh YUSFARIZAL YUSSOFF
MAHKAMAH Persekutuan
yang bersidang dengan tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara hari ini
menerima persetujuan pihak perayu (Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan
Kerajaan Negeri Selangor) dan responden (SIS dan dua lagi) untuk
mengembalikan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dihujahkan semula atas isu
bidangkuasa Mahkamah Sivil dan juga isu merit.
Mahkamah Persetujuan juga bersetuju
untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan
isu bidangkuasa Mahkamah Sivil tidak boleh ditimbulkan oleh perayu pada
peringkat hujahan substantif.
Ini kerana Mahkamah Tinggi dalam peringkat kebenaran (leave stage)
telah membuat keputusan bahawa Mahkamah Sivil ada bidangkuasa sekali
gus memberi kebenaran untuk meneruskan dengan Semakan Kehakiman.
Mudahnya, pendengaran di Mahkamah Tinggi
nanti akan diteruskan untuk menentukan sama ada Mahkamah Sivil ada
bidangkuasa atau tidak, dan sama ada permohonan SIS untuk mencabar fatwa
pluralisme dan liberalisme mempunyai merit.
Selaku peguam kaunsel kepada MAIS
(Perayu Kedua), saya mengalu-alukan dan menerima keputusan secara
persetujuan ini, kerana secara efektifnya mengenepikan keputusan
Mahkamah Rayuan (yang menghalang terus pihak kami dari berhujah isu
bidangkuasa) dan memberikan peluang untuk hujahan semula di Mahkamah
Tinggi.
Saya kekal dengan hujahan saya bahawa
fatwa berada dalam domain Mahkamah Syariah, dan bidangkuasa Mahkamah
Syariah boleh diambil secara tersirat melalui peruntukan enakmen negeri
mahupun Senarai Negeri selaras keputusan dalam kes Md Hakim Lee, Soon
Singh Bikar Singh, Lina Joy dan Siti Hasnah Vengarama Abdullah.
Ia juga menggemakan hasrat Allahyarham Prof Dr Ahmad Ibrahim, orang yang bertanggungjawab menderaf Artikel 121(1A) dahulunya.
Adalah tidak munasabah untuk merujuk
fatwa yang merupakan pendapat ulama atas isu yang belum selesai yang
dibuat berlandaskan kaedah dan nas syarak, kepada Mahkamah Sivil yang
bukan sahaja tiada kepakaran bahkan tiada bidangkuasa.
Keputusan Mahkamah Persekutuan terkini
dalam kes Indira Ghandi yang dirujuk berkali-kali oleh SIS juga tidak
menyelesaikan isu pertindihan bidangkuasa, bahkan secara tak langsung
mengiyakan takrifan Perlembagaan secara tersirat dan “purposive”. Ini yang akan dihujahkan nanti.
Apapun, terima kasih kepada rakan-rakan
peguam yang mewakili Jawatankuasa Fatwa (Tuan Haji Sulaiman Abdullah)
dan Datuk Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakil Kerajaan Negeri
Selangor atas usaha dan kerjasama berterusan. Juga kepada yang hadir
memberi sokongan, dan yang turut menadah tangan meminta doa.
Perjuangan masih jauh. Pegangan perlu terus utuh.
Kaunsel Majlis Agama Islam Selangor





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.