Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menikus
PARTI Islam Se-Malaysia
(PAS) terkilan dengan sikap Parti Amanah Negara (AMANAH) yang menikus
untuk mempertahankan keindahan Undang-Undang Syari’ah apabila YAB PM
menyatakan pendapat kabinet berhubung isu tersebut beberapa hari lalu.
PM mendakwa hukuman sebatan yang
dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu dianggap satu hukuman yang
melihatkan Islam sebagai agama yang suka menghukum dan bengis. Adakah AMANAH terikat dengan tanggungjawab kolektif sehingga terpaksa berdiam diri
untuk menegur PM?
PAS juga melihat kenyataan media Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang dikeluarkan semalam bercanggah
dengan kenyataan awal beliau yang menyokong sepenuhnya pelaksanaan
hukuman sebat yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu beberapa
hari lalu.
Mengapa pula kenyataan beliau semalam
mempertikaikan keputusan dan hukuman yang telah diputuskan? Adakah
beliau telah ditekan oleh segelintir pihak dalam Pakatan Harapan untuk
mengendurkan sokongan awal beliau dalam isu ini?
Tindakan beliau jelas memperlihatkan AMANAH
terpaksa menikus jika terdapat isu-isu yang melibatkan kepentingan
Islam. Dalam isu ini, Menteri (Agama) harus mendukung kedaulatan
undang-undang Syariah dan berusaha untuk menerangkan perbezaan prosedur
dan tatacara hukuman antara mahkamah Syariah dan mahkamah sivil kepada
umum.
Inilah ruang yang sesuai untuk menonjolkan keindahan Islam bukan menambah kekeliruan dengan logik akal yang tidak munasabah.
Sejahtera Bersama Islam
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Zulhijjah 1439 | 8 September 2018
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.