https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar dalam Parlimen, fasa baharu politik Malaysia

Oleh Zin Mahmud

Kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen setelah memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson membawa fasa baharu ke dalam proses politik. Ia sebahagian daripada proses politik Pakatan Harapan sejak mencapai kemenangan pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei.

Fasa baharu ini meliputi keadaan di mana beliau menjadi ahli Parlimen yang menanti untuk mengambil tempat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Tetapi proses penggantian ini tidaklah boleh berlaku dengan ringkas dan mudah. Kompleksiti atau keserabutan tingkah-laku manusia berpolitik menjangkakan suatu keadaan yang tidak menentu, malah mengejutkan.
Di pentas politik terdapat 3 lapisan perspektif. Di permukaan ialah gambaran rasmi keadaan politik. Sebagai contoh, hubungan Dr Mahathir dengan Anwar dilihat baik dan ikhlas. Sampai masa yang sesuai, Dr Mahathir akan melepaskan jawatan perdana menteri pada Anwar tanpa adanya tekanan atau desakan.

Tetapi di bawah permukaan itu ada lapisan kedua tentang andaian dan sangkaan para pemerhati, daripada golongan yang terlibat dalam gejolak politik itu sendiri, mahupun orang awam yang mendengar pelbagai spekulasi melalui media atau cakap-cakap di kedai kopi.

Sebagai contoh, terhadap hubungan antara Dr Mahathir dan Anwar, adalah dilihat terdapat persaingan politik yang turut melibatkan pendokong masing-masing. Ia berupa persepsi yang tidak semestinya realiti.
Lapisan ketiga ialah realiti sebenar. Banyak orang tentu tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Malah para pelaku politik termasuk Dr Mahathir dan Anwar menerima maklumat daripada para pendokong mereka.

Para pelaku politik terpaksa menggunakan kebijaksanaan dan kearifan sendiri untuk mengetahui dan menilai realiti bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang berkesan. Mungkin realiti sebenar hampir dapat difahami, tetapi untuk mengetahui apa yang sebenar berlaku di luar keupayaan manusia.

Fasa terkini politik Malaysia boleh dilihat dari detik Anwar mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen hinggalah beliau menyandang jawatan perdana menteri.

Pastinya persoalan timbul apakah peranan beliau sebagai ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen Port Dickson.

Tentunya bukanlah sebagai wakil rakyat yang hanya berkhidmat untuk penduduk kawasan Parlimen Port Dickson. Penyertaan beliau dalam PRK itu menggalas persetujuan yang dibuat oleh Majlis Presiden PH, iaitu beliau akan menjadi perdana menteri.

Sebelum PRK, Anwar telahpun berjumpa Dr Mahathir dan mengumumkan beliau akan berperanan melakukan reformasi daripada Parlimen. Bermakna beliau tidak akan mengganggu pentadbiran Dr Mahathir. Biarlah Dr Mahathir memimpin kerajaan sehingga beliau melepaskan jawatan perdana menteri.

Itu di permukaan senario politik. Tetapi para pemerhati tentu bertanya banyak soalan kerana sukar hendak membayangkan bagaimana Anwar hanya menjadi ahli Parlimen tanpa jawatan kerajaan.

Lebih-lebih lagi Anwar telah memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding dan sekarang menunggu proses pemilihan parti selesai sehingga November. Selepas itu beliau akan diisytiharkan sebagai presiden parti menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dari segi struktur PH, Anwar akan menggantikan Wan Azizah sebagai presiden gabungan itu. Tetapi tidakkah Anwar adalah ketua umum PH? Jika jawatan ketua umum dikekalkan maka tidak perlulah ada jawatan presiden. Atau presiden dijadikan jawatan tertinggi. Jika demikian, maka tidak perlu jawatan ketua umum.

Di manakah pula kedudukan pengerusi yang disandang Dr Mahathir? Kalau dari segi amalan biasa, pengerusi mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada presiden. Walaupun ada pertubuhan yang menjadikan presiden sebagai ketua eksekutif dan pengerusi sebagai jawatan kehormat.

Apa yang membolehkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri ialah beliau merupakan ketua PH, maknanya beliau ketua tertinggi gabungan itu, iaitu ketika PRU ke-14 diadakan. Walaupun Anwar menduduki jawatan tertinggi bagi PH selaku ketua umum, tetapi ketika itu beliau berada dalam penjara dan tidak menyertai pilihan raya.

Kini dengan Anwar bebas dan menyandang jawatan tertinggi dalam PKR dan juga PH, maka sudah sewajarnya beliau menjadi perdana menteri. Lebih-lebih lagi mengambil kira PKR sendiri mempunyai bilangan kerusi paling banyak dalam kalangan parti-parti PH.

Tetapi sungguhpun begitu, dari semangatnya, kemenangan PKR bukan semata-mata atas identiti parti itu. Tetapi ia menang kerana gabungan undi untuk PH yang diketuai oleh Dr Mahathir secara keseluruhan.

Akhirnya yang perlu diambil kira ialah kesepakatan Dr Mahathir dan Anwar untuk menyaksikan pelaksanaan perjanjian kedua mereka. Apa yang belum ditentukan ialah bila Anwar akan menggantikan Dr Mahathir.

Namun begitu, kedudukan mereka tidak ditentukan semata-mata oleh diri sendiri. Proses politik tidak bergantung pada diri seseorang pemimpin. Ia melibatkan anggota-anggota parti, pendokong, penyokong dan para pengundi amnya.

Jadi dalam fasa ini, kelompok terdekat Anwar dan Dr Mahathir juga akan memainkan peranan mempengaruhi dan memberi tekanan. Tentunya ada kalangan kelompok Anwar yang mahu beliau segera dijadikan perdana menteri.

Sementara dalam kalangan kelompok terdekat Dr Mahathir pula mahu beliau memegang jawatan itu selama mana yang boleh. Malah ada pendokong Dr Mahathir pula menghendaki beliau menghabiskan seluruh penggal, iaitu sekiranya boleh dengan Anwar hanya memimpin PH ketika memasuki PRU ke-15.

Bagi rakyat umum pula yang tidak begitu mempedulikan politik, perkiraan mereka hanyalah kelangsungan hidup. Kebanyakan mereka mengundi PH dengan kepercayaan terhadap keupayaan Dr Mahathir untuk memulihkan negara daripada kerosakan kleptokrasi Barisan Nasional.

Jadi umumnya, mereka mahukan Dr Mahathir menyelesaikan pekerjaan ini, iaitu dengan mengukuhkan struktur negara sebelum tampuk pemerintahan diserahkan kepada Anwar.

Tetapi politik tidak berproses seperti itu. Elit politik mempunyai dinamika sendiri, tanpa mengira apakah aspirasi rakyat umum. Dalam sistem demokrasi berparlimen ini, terdapat 2 pihak iaitu pemerintah dan pembangkang.

Di pihak pemerintah, walaupun PKR mempunyai kerusi terbanyak, tetapi PH sendiri terdiri daripada tambahan 3 parti lain, Bersatu, DAP dan Amanah.

Dalam PKR sendiripun, ia terbahagi pada 2. Ada yang menjadi penyokong Rafizi Ramli, yang selebihnya mendokong Datuk Seri Azmin Ali.

Selain itu, kekuatan pembangkang juga tidak boleh diketepikan. BN masih mempunyai kerusi lebih banyak daripada mana-mana sebuah parti PH. Pengaruh PAS juga tidak boleh dipinggirkan. Di Sarawak dan Sabah pula ada juga dinamika politik tersendiri.

Maka fasa yang mana Anwar sedang bersedia untuk menggantikan Dr Mahathir ini akan penuh dengan percaturan politik.

Persilatan politik ini berlaku di sebalik tabir ketika mana kerajaan Pakatan Harapan sedang sibuk membina semula negara, bukan saja melaksanakan janji-janji manifesto tetapi juga menyiasat dan membawa anggota kerajaan dahulu ke muka pengadilan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.