Tetapi sebenarnya, berdasarkan perolehan undi oleh Pas dalam pilihan raya kecil tersebut tiada apa yang perlu dikecewakan. Ini memandangkan calon Pas, Lt.Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar memperoleh 7,456 undi peningkatan 13 peratus daripada jumlah undi yang diperoleh ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu 6,594 undi.
Walaupun jumlah undi jauh ketinggalan berbanding jumlah undi yang diperoleh calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu 31,016 undi namun Pas ‘menang’ ke atas lima calon Bebas termasuk Tan Sri Isa Samad yang dianggap ‘taiko politik’ di Port Dickson.

Berdasarkan keadaan itu, kekalahan Pas tidak harus dipersendakan dan kekuatan Pas tidak harus diperkecilkan. Mahu tidak mahu, parti-parti dalam Pakatan Harapan termasuk serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mengakui Pas sememangnya mempunyai kekuatan sendiri.

Apa yang penting dalam dua pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Port Dickson dan DUN Seri Setia, Pas kekal mendapat undi daripada penyokong-penyokong tegarnya. Justeru kehadiran Pas tidak harus dipandang sebelah mata. Penguasaan 18 kerusi Parlimen dan memerintah di dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu sudah membuktikan Pas kekal menjadi salah sebuah parti politik utama di negara ini khususnya untuk orang Melayu.

Walaupun sebelum ini ada polemik berhubung kerjasama dengan UMNO tetapi ternyata penyokong Pas masih istiqamah untuk terus menyokong parti tersebut dan penulis yakin menjelang PRU-15 kekuatan Pas sama sekali tidak boleh diperkecilkan.

Sememangnya kewujudan Pas dalam persada politik tanah air amat penting. Parti itu mampu bergabung dengan parti pembangkang lain bagi memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang kini semakin kelam-kabut dalam menunaikan janji-janji pilihan raya mereka. Sebahagian janji-janji tersebut ‘sudah ke laut’ dan disahkan oleh pemimpin-pemimpin utama sekadar ‘janji untuk menang pilihan raya dan tidak sangka akan menang pilihan raya’. 

Oleh itu, peranan Pas sebagai sebuah parti pembangkang tidak boleh dipinggirkan. Suara Pas tetap berharga khususnya dalam mempertahankan perkara-perkara berkaitan orang Melayu dan Islam. 

Setakat ini dalam apa juga keadaan sejak tidak lagi berkawan dengan DAP, Pas terus konsisten memperjuangkan Islam. Kelompok yang menganggap perjuangan Islam dibawa Pas tidak akan ke mana hakikatnya berfikiran jumud.

Kemenangan Islam bukan bergantung kepada keputusan pilihan raya semata-mata, apatah lagi dalam sebuah negara majmuk seperti mana Malaysia, sudah pasti ia memerlukan masa untuk memberi pemahaman kepada bukan Islam untuk menerima fakta bahawa Islam mampu memberi keadilan kepada semua.

Pas juga tidak perlu melayan hujah-hujah songsang bahawa perjuangan Islamnya tidak akan membantu mereka untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan bekerjasama dengan parti politik Melayu seperti UMNO hanya memudaratkan parti itu. Sebaliknya, Pas perlu tegas dalam menegakkan perjuangan Islamnya kerana kekalutan politik yang berlaku sejak perubahan kepemimpinan negara dalam PRU-14 memerlukan sebuah parti seperti Pas untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

Sebenarnya kelompok yang memperkecilkan keupayaan Pas selepas parti itu tewas dalam dua PRK sebelum ini gusar melihat keupayaan parti itu yang terus bertahan dalam persada politik tanah air. 

Mereka mahu Pas mengikut telunjuk politik mereka dan meninggalkan perjuangan Islam yang ditafsirkan tidak sesuai dengan politik masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi setakat ini Pas tidak termakan dengan hasutan dan bisikan seumpama itu.

Kekuatan Pas diperkecilkan dan hala tuju perjuangan dipersendakan kerana ada kelompok tertentu amat memahami perjuangan Islam bukanlah seperti perjuangan lain yang bersandarkan kepada kemenangan duniawi semata-mata. Perjuangan Islam akan terus subur, kukuh dan pasti mencapai kemenangan cemerlang apabila tibanya masa Allah mengkehendakinya. Oleh itu, sementara kita menghormati keputusan yang dibuat pengundi dalam sesuatu pilihan raya, hormatilah Pas sebagai sebuah parti yang turut berjasa dalam membangunkan rakyat dan negara.

Perlu diingat dalam politik, kemenangan tidak akan kekal selama-lamanya dan kekalahan tidak akan ditempuhi sepanjang masa, semuanya bersifat sementara. Oleh itu, tidak payahlah hendak memperkecilkan Pas kerana dari segi sejarah politik berbanding dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan, Pas jauh lebih berwibawa, berpengaruh dan hebat.