PM patut elak kenyataan jejas harga sawit
Oleh Abdullah Thawab Kassim
Pada 11 November 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan hangat berkaitan hala tuju perladangan kelapa sawit Malaysia. Jika diamati dengan teliti, kenyataan perdana menteri bukanlah merujuk kepada penutupan semua ladang-ladang kelapa sawit di seluruh tanah air.
Saranan yang telah dikemukakan oleh perdana menteri adalah supaya tiada lagi penanaman kelapa sawit selepas ini dan ladang sedia ada diselia dengan baik demi meraih kualiti minyak sawit yang bermutu.
Namun yang demikian, kenyataan untuk menghentikan perladangan kelapa sawit telah memberi tamparan hebat bagi sektor tersebut. Ini kerana Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.
Tindakan ini juga bakal menyemarakkan lagi kempen Kesatuan Eropah yang sedang sedaya upaya menyekat perdagangan minyak sawit di negara serantau tersebut menjelang tahun 2021.
Berkemungkinan besar disebabkan kenyataan yang telah diumumkan oleh perdana menteri berkenaan perdagangan minyak sawit bakal menimbulkan persepsi yang lebih negatif khususnya dalam kalangan pelabur asing serta negara pengimport yang lain.
Oleh kerana itulah harga sawit Malaysia selepas ini jatuh mendadak ke paras lebih parah. Kesan yang ketara dapat dirasai oleh syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit, peneroka Felda serta para pekebun kecil yang bergantung hidup dengan hasil sawit.
Sepatutnya sebagai kerajaan yang prihatin, perdana menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak jelas dan akhirnya meninggalkan persepsi yang negatif terhadap perdagangan kelapa sawit negara. Kerajaan juga perlu peka bahawa terdapat lebih 3.2 juta rakyat Malaysia yang merupakan pekebun kecil, keluarga dan anak mereka serta masyarakat luar bandar bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit sebagai punca pendapatan mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu peka dengan nasib 105,000 orang peneroka Felda yang selama ini merupakan tulang belakang kepada pembangunan serta penyumbang kepada pendapatan negara Malaysia.
Sekiranya perdagangan minyak kelapa sawit gagal selepas ini, kerajaan perlulah bertanggungjawab ke atas semua peneroka Felda dan pekebun kecil. Kerajaan juga perlu menyediakan pelan komprehensif untuk menggantikan perdagangan sebelum ini kepada sesuatu yang dapat mendatangkan hasil yang lumayan serta mengambil proses tuaian yang ringkas seperti penghasilan kelapa sawit.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.