https://critoxium.com/shop/

Terkini

Selangor cambah idea segar dari Timur Tengah

Oleh Amirudin Shari

Minggu lepas saya berkesempatan menyertai rombongan Kerajaan Negeri Selangor ke Timur Tengah yang meliputi lawatan ke tiga buah negara iaitu Morocco, Jordan dan Republik Arab Mesir.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana lawatan ini berjaya mencapai beberapa objektif yang telah ditetapkan. Saya juga gembira kerana lawatan ini juga membuka beberapa peluang baharu dan percambahan idea yang lebih segar terutama dalam aspek perancangan ekonomi dan juga soal pengurusan kebajikan pelajar-pelajar Selangor di sana.

Destinasi pertama kami adalah ke Rabat, Morocco yang merupakan sebuah negara yang berada di Timur Laut benua Afrika. Setibanya di lapangan terbang Casablanca kami terus bergegas ke hotel untuk bersiap sedia dengan temu janji pertama dengan Ms. Rkia Derham, Setiausaha Kementerian Industri, Pelaburan, Perdagangan dan Ekonomi Digital Morocco.

Saya tertarik dengan persediaan Morocco dalam menghadapi perkembangan terkini dengan mewujudkan portfolio khusus berkenaan ekonomi digital. Ms. Rakia juga bercakap tentang pelan pembangunan “Smart Cities” di Morocco yang akan menjadi hab ekonomi baharu di negara tersebut. Saya turut sama berkongsi pandangan tentang wawasan Selangor untuk menjadi “Regional Smart State” menjelang 2025.

Setelah pertemuan pertama, saya langsung menuju ke kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Morocco, Puan Yang Terutama Datuk Astanah Abdul Aziz untuk majlis ramah mesra dengan pelajar-pelajar Selangor di Morocco. Kebanyakan daripada mereka mengambil jurusan agama dan bahasa Arab di sini.

Walaupun jumlah mereka tidak seramai seperti di negara-negara Arab yang lain tetapi saya dapat melihat kesungguhan di wajah mereka untuk mencari ilmu di negara orang ini. Sedikit pesanan yang saya berikan kepada mereka untuk mengambil peluang yang jarang-jarang sekali dimiliki ini untuk mencari sebanyak mungkin pengalaman terutama sekali di negara yang mempunyai sejarah yang menarik seperti Morocco ini. Mereka bukan sahaja berpeluang untuk belajar bahasa Arab tetapi juga bahasa Perancis yang digunakan secara meluas di negara ini.

Keesokan harinya, sebelum berlepas ke Jordan, ada dua temu janji yang perlu saya hadiri. Pertamanya adalah pertemuan dengan Monsiuer Karim Cheikh, presiden Grouping Industries Moroccan Aeronautical and Space (Gimas) di Casablanca, kira-kira satu jam dari Rabat. Tujuan pertemuan ini adalah untuk kami memahami dengan lebih terperinci tentang pembangunan ekosistem industri aeronautik dan angkasa di Morocco.

Saya dibawa melawat beberapa buah kilang berteknologi tinggi yang mempunyai pekerja-pekerja mahir. Apa yang menarik adalah saya dimaklumkan bahawa lebih 50 peratus pekerja di sini terdiri daripada golongan wanita.

Jika di dalam industri aeronautik antarabangsa terdapat 3M yang terkenal iaitu Mexico, Morocco dan Malaysia di Selangor pula terdapat 3S iaitu Sepang, Subang dan Serendah. Lokasi keempat iaitu di Bernam Jaya akan dibangunkan sebagai Bandar Aeorangkasa dan Penerbangan. Selangor telah pun menjadi hab industri aeroangkasa di Malaysia kerana lebih 62 peratus aktiviti aeroangkasa, penerbangan dan pertahanan terletak di Selangor.

Namun, kita tidak boleh selesa dalam dunia yang begitu kompetitif ini. Saya berharap Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor dapat bekerjasama dengan Gimas dalam soal pembangunan kepakaran, R&D, IKS dan juga aspek strategik yang lain.

Sebelum berlepas ke Jordan, saya sempat menghadiri temu janji dengan presiden majlis Casablanca, Mustapha Bakkoury. Seperti Selangor, Casablanca juga mempunyai aspirasi untuk menjadi Smart City. Baru-baru ini Casablanca telah menganjurkan Smart City Expo yang mempersembahkan pelbagai teras-teras penting dalam pembangunan Smart City mereka.

Saya telah meminta Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) untuk melakukan perbincangan awal dan melihat kemungkinan kerjasama strategik dalam pembangunan smart city dengan Casablanca.

Sesampai di Jordan, pertemuan rasmi saya yang pertama adalah dengan Prof Ahed Al-Wahadni, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan. Saya gembira dengan pandangan positif beliau terhadap mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Jordan yang menurut beliau sangat rajin dan mempunyai adab yang tinggi.

Pada sebelah malam pula saya menghadiri majlis ramah mesra dengan mahasiswa Selangor di Irbid, sebuah bandar kira-kira 45 minit daripada ibu kota Amman. Banyak pandangan yang diterima daripada mereka dan ada juga yang menyampaikan proposal-proposal program.

Saya juga telah mengumumkan kepada mereka bahawa sebanyak RM60,000 akan diperuntukkan melalui Atase Pendidikan Selangor (Timur Tengah) hasil daripada sumbangan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Yayasan Selangor.

Peruntukan tersebut boleh dimohon oleh mahasiswa Timur Tengah untuk digunakan bagi menjayakan program dan aktiviti yang mereka anjurkan. Di samping itu juga sebanyak RM50,000 telah disumbangkan oleh Kumpulan Semesta untuk tabung bencana mahasiswa Timur Tengah yang dapat membantu mahasiswa yang ditimpa kesusahan atau kemalangan.

Destinasi terakhir untuk rombongan ini adalah Republik Arab Mesir yang mempunyai mahasiswa Selangor yang paling ramai sehingga mencecah 2,000 orang pelajar. Saya sempat melawat ke pejabat Atase Pendidikan Negeri Selangor (Timur Tengah) dan juga asrama mahasiswa Selangor.

Saya turut menyaksikan pemberian sumbangan CSR MBI untuk menaik taraf kafeteria asrama menjadi pusat aktiviti pelajar. Sudah tentu dengan sumbangan ini kita berharap ianya memberikan manfaat kepada mahasiswa dan menjadikan mereka seorang yang proaktif dan berketerampilan.

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan saya di majlis ramah mesra bersama mahasiswa Mesir, saya menegaskan bahawa penting untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran apatah lagi mereka yang belajar di Universiti Al-Azhar, yang merupakan universiti yang mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia Islam.

Perkara-perkara lain selain belajar adalah sekondari. Apa yang utama adalah suasana keilmuan atau biah ilmiyah perluah dimanfaatkan sepenuhnya. Banyak program misalnya yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ruwaq Jawi dapat menjadi ruang untuk menadah kitab-kitab penting dalam khazanah tradisi Islam.

Banyak maklum balas yang saya terima sepanjang lawatan rasmi ke Timur Tengah ini sama ada daripada mahasiawa ataupun pegawai-pegawai yang terlibat. Saya telah mancadangkan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan meja bulat secara berkala bagi mencari idea-idea baru untuk meningkat kebajikan mahasiswa dan keberkesanan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

Saya juga menyatakan bahawa mahasiswa Selangor perlu mengadakan konvensyen tahunan di kalangan mereka agar dapat menjadi ruang untuk mereka menajamkan pemikiran dan memupuk bakat kepimpinan. Semoga segala usaha untuk kemajuan pendidikan di negeri ini berjalan dengan baik dan diredhai oleh Allah s.w.t.

* Amirudin Shari adalah menteri besar Selangor

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.